Heidfeld, Kubica sedia gegar



Ujian rasmi di Sepang baru-baru ini suntik keyakinan untuk podium GP Malaysia

ANDAI prestasi Nick Heidfeld di Grand Prix Australia dan Robert Kubica pada sesi ujian rasmi Formula Satu (F1) di Litar Sepang baru-baru ini dijadikan ukuran, pasukan BMW Sauber seharusnya tergolong antara pasukan yang perlu diberi perhatian pada Grand Prix Malaysia Petronas 2007 hujung minggu ini.

Ditambah keadaan litar mencabar dan faktor cuaca sukar diramal dengan panas melampau serta hujan lebat yang sukar dijangka yang sering memberi masalah kepada kebanyakan pelumba, ia juga mungkin satu kelebihan buat kedua-dua pemandu pasukan itu - Nick Heidfeld dan Robert Kubica - yang menganggap faktor itu bukan masalah, malah sudah begitu bersedia untuk menghadapinya.

Heidfeld berkata, setakat ini dia belum pernah benar-benar menghadapi masalah berlumba dalam keadaan cuaca panas, tetapi mengakui ia cabaran besar buat kebanyakan pemandu Eropah termasuk dirinya.

“Bagus mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan itu, terutama disebabkan keadaan panas dan lembab yang tinggi di negara ini memerlukan sedikit masa bagi pemandu Eropah untuk menyesuaikan diri.

“Saya tiba di Kuala Lumpur sudah lebih seminggu dan ujian kami di Sepang juga sangat membantu. Saya rasa kami dalam keadaan begitu baik untuk perlumbaan dan dibantu keadaan jentera yang semakin baik, diharap kedua-dua kami dapat menamatkan perlumbaan kali ini,” katanya.

Pada perlumbaan di Melbourne, Heidfeld menduduki tempat keempat untuk menghadiahkan lima mata kepada pasukan, tetapi Kubica gagal menamatkan perlumbaan akibat masalah mekanikal dan kotak gear.

Berdasarkan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologikal Malaysia, hujan dan ribut petir pada sebelah petang dijangka melanda Sepang pada minggu ini.

Namun, Nick Heidfeld menegaskan dia juga tidak ada masalah dengan cuaca basah dan lembap atau berlumba dalam cuaca yang panas dan lembap.

“Saya telah mengalami hujan amat lebat di Sepang sebelum ini. Memandu dalam hujan sentiasa memungkinkan risiko disebabkan jarak penglihatan kurang apa lagi di sini, di mana hujan lebat yang tidak seperti biasa. Namun, secara peribadi, saya sebenarnya seorang yang sukakan cuaca basah,” katanya.

Bagi Kubica yang mencatat masa terpantas pada hari pertama sesi ujian rasmi F1 di Litar Sepang minggu lalu, kegagalan menamatkan menamatkan GP Australia selepas satu ketika dalam kedudukan yang baik sangat mengecewakannya dan berazam untuk menebus kehampaan itu dan cuba meraih beberapa mata berharga.

“Ini kunjungan saya yang kedua ke GP Malaysia, tetapi kali pertama saya mengambil bahagian dalam perlumbaan sebenar.

“Litar ini begitu menarik, tetapi mempunyai karektor berbeza dengan Melbourne. Bagus, kami berpeluang menjalani ujian di Sepang, maka kami boleh mengetahui bagaimana tindak balas kereta dalam keadaan panas, bagaimana cuaca menjejaskan tayar dan sebagainya. Dan ujian itu juga begitu berguna bagi saya secara peribadi untuk menyesuaikan diri dengan keadaan keadaan cuaca,” katanya.

DATA
Nick Heidfeld


Tarikh lahir: 10 Mei 1977
Tempat lahir: Monchengladbach
Negara: Jerman
Tinggi: 164 sm
Berat: 59 kg

Karier F1
Menang: 0
Mata yang diraih: 83
Jumlah GP : 117
Petak pertama: 1
Podium: 5

GP pertama: 2000 (Melbourne)
Keputusan terbaik: Tempat ke-2
Kejuaraan 2005: Tempat ke-11
Kejuaraan 2006: Tempat ke-9

Robert Kubica
Tarikh lahir: 7 Disember 1984
Tempat lahir: Krakow
Negara: Poland
Tinggi: 184 sm
Berat: 73 kg

Karier F1
Menang: 0
Mata diraih: 6
Jumlah GP: 7
Petak pertama: 0
Podium: 1
GP pertama: 2006 (Hungaroring)
Keputusan terbaik: Tempat ke-3
Kejuaraan 2005: -
Kejuaraan 2006: 16

Kuasa Ferrari, McLaren dicemburui

MUNGKINKAH Renault sudah berjaya mengatasi masalah kemerosotan prestasi dan bersedia untuk mencabar Ferrari dan McLaren yang menguasai podium kemenangan pada perlumbaan pembuka tirai musim 2007 di Grand Prix Australia dua minggu lalu?

Persoalan itu kian menarik selepas juara bertahan itu tampil dengan prestasi mantap menerusi Heikki Kovalainen yang mencatat masa terpantas pada hari terakhir sesi ujian rasmi F1 selama empat hari di Litar Sepang minggu lalu, menjelang Grand Prix Malaysia Petronas hujung minggu ini.

Di Melbourne pemandu Renault, Giancarlo Fisichella dan Kovalainen masing-masing menamatkan saingan ketinggalan seminit dan satu pusingan di belakang pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen, tetapi dengan perkembangan terbaru itu, dominasi Ferrari dan McLaren yang menguasai podium kemenangan di Australia mungkin boleh tergugat.

Ferrari dan McLaren menguasai podium kemenangan di Melbourne selepas juara dunia, Fernando Alonso menduduki tempat kedua, diikuti rakan sepasukannya Lewis Hamilton di tempat ketiga.

Raikkonen bagaimanapun turut mencatat masa sepusingan terpantas pada hari kedua sesi ujian rasmi di Sepang itu - sekali gus meletakkan dirinya sebagai pemandu pilihan menjuarai perlumbaan hujung minggu ini dan calon menggantikan juara dunia tujuh kali Michael Schumacher untuk diiktiraf ‘Raja Litar Sepang’.

Pemandu diberi jolokan ‘The flying Finn' yang mengisi kekosongan Schumacher yang tiga kali menjuarai GP Malaysia dalam kem Ferrari itu tetap yakin cuaca panas yang sering dikaitkan dengan perlumbaan di Sepang bukan penghalang baginya untuk meraih kemenangan keduanya musim ini.

“Kami cukup pantas dalam perlumbaan lalu dan kami akan bermati-matian untuk mengejar kemenangan di sini,” kata Raikkonen yang memenangi GP Malaysia 2003 ketika bersama McLaren.

Jika Raikkonen berhasrat mencari kemenangan kedua berturut-turut musim ini dan mengulangi pencapaian 2003, dia juga seharusnya sedar, juara dunia Fernando Alonso yang menduduki tempat kedua di Australia turut mengintai kemenangan pertamanya musim ini bersama McLaren selepas berhijrah daripada Renault yang membantunya muncul juara dunia dua kali berturut-turut.

Alonso yang mengungguli perlumbaan di Sepang ketika bersama Renault pada 2005 dan muncul naib juara kepada Fisichella tahun berikutnya menegaskan dia dan McLaren berpuas hati dengan kedudukan kedua dan ketiga yang mereka catat di Australia dan sedang berusaha keras untuk memperbaiki lagi prestasi itu.

“Ia permulaan mantap di Australia sekalipun kami sedar belum sepantas Ferrari. Pada peringkat awal musim seperti ini, penting untuk terus meraih mata dan menamatkan saingan di atas podium,” kata Alonso.

Alonso berkata, Litar Sepang begitu teknikal dan kereta perlu mantap dalam semua aspek untuk menjamin kemenangan.

“Semua selekoh penting adalah berkelajuan tinggi, maka anda perlukan sebuah kereta sempurna dari segi keseimbangan dan aerodinamik yang bagus.

“Semua orang dalam pasukan berusaha begitu keras sejak GP Australia untuk cuba merapatkan jurang,” katanya.





Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768