Mencari penawar bisa



Mampukah program “Scout The Best” FAM memartabatkan kembali bola sepak negara

BOLA sepak Malaysia sudah lama berada dalam keadaan parah, hanya belum sampai ke tahap nazak atau tenat - satu keadaan yang amat merisaukan peminat seluruh negara.

Melihat kepada ranking dunia Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) ketika ini, menunjukkan bola sepak Malaysia semakin merudum, hingga menimbulkan persoalan mampukah bola sepak negara kembali dimartabatkan dan kembali menemui zaman kegemilangannya seperti ketika era 60an, 70an, dan 80an.

Justeru, adakah pelancaran program ‘Scout The Best” Selasa lalu, mencari bakat yang terbaik mampu membangkitkan serta mendaulatkan kembali bola sepak negara ke tahap kegemilangan atau adakah program ini akan menyaksikan sinar di hujung terowong buat bola sepak Malaysia?

Hanya masa yang dapat memberi jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan itu. Apapun, usaha untuk memartabatkan semula bola sepak negara perlu diberi sokongan dan dorongan semua pihak.

FAM dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga Kementerian Pelajaran mengadakan program mencari bakat ini selama dua bulan bagi memastikan bakat berterusan pemain untuk pasukan kebangsaan dalam pelbagai peringkat umur.

Selain wakil FAM, program ini juga akan membabitkan 122 jurulatih yang menghadiri program kejurulatihan Sukan Teras serta juga pentadbir dan wakil daripada persekutuan negeri.

Matlamat utama program ini ialah untuk memastikan semua maklumat disalurkan dengan tepat melalui khusus dan juga memastikan corak latihan di seluruh negara mengikuti sistem yang sudah diselaraskan bagi memastikan matlamat tercapai.

Dengan tumpuan kepada bakat muda pada peringkat umur 12, 14, 16 dan 18 tahun, empat jurulatih - Robert Alberts, Aminuddin Hussin, R Gopalkrishnan dan Kok Keng Lin - akan bertebaran di seluruh negeri dan daerah dengan harapan mencari bakat baru.

Pemain berbakat yang dicungkil melalui program ini akan diserapkan terus kepada dua sekolah sukan negara ini iaitu – Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Kuala Lumpur dan Sekolah Sukan Bandar Penawar di Johor Baru.

Sebagai sebahagian daripada matlamat keseluruhan program ini, ada keperluan penting untuk mendedahkan pasukan muda ini kepada pelbagai kejohanan antarabangsa sebagai sebahagian daripada perkembangan dan pembelajaran supaya mereka akan dapat menyaingi pasukan dari Jepun dan Korea.

Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata ketika majlis pelancaran program kejurulatihan Sukan Teras baru-baru ini: “memiliki jurulatih yang berkelayakan dalam menerapkan program ini adalah penting kerana mereka akan berada di peringkat akar umbi dan mereka perlu menunjukkan kepada pemain muda ini teknik yang betul - mereka perlu menguasai asas-asas permainan.

“Maka, kami mengimplementasikan program Sukan Teras pada pada akar umbi kerana kami berpendapat ia akan menyediakan batu loncatan yang tepat untuk masa depan bola sepak Malaysia.”

Mungkin dalam pencarian ini akan ditemui pengganti kepada Abdul Ghani Minhat, Allahyarham Mokhtar Dahari dan Soh Chin Aun. Mungkin dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, pemain muda daripada program ini akan membangkitkan bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman, ketika melancarkan program kejurulatihan Sukan Teras, berkata bola sepak perlu agresif di mana beberapa program sudah dirangka untuk memperbaiki kualiti pasukan kebangsaan supaya menjadi lebih kompetetif.

“Ciri-ciri fizikal adalah penting dalam pemilihan pemain untuk program “Scout The Best” di mana kita memerlukan pemain dengan bentuk fizikal yang sempurna supaya mereka akan lebih kompetetif di peringkat dunia.”

Setelah sekian lama, bakat di peringkat akar umbi tidak diberi perhatian, mungkin Scout The Best adalah penawar kepada racun yang semakin memamah kehancuran bola sepak negara di peringkat antarabangsa.

FAKTA
Jadual Scout The Best/Program Pengenalan Bakat

Sarawak/Langkawi/Negeri Sembilan
Robert Alberts/Jurulatih B-12/Bawah-15/Pegawai Persatuan Negeri

21 Mac (8pg-5ptg) - SMK Lake Bau, Kuching
23 Mac (8pg-5ptg) - SMK Sacred Heart, Sibu
25 Mac (8pg-5ptg) - SMK Bintulu, Bintulu
27 Mac (8pg-5ptg) - SMK Teknik, Miri
2 April (8pg-5ptg) - SMK Tengku Putra, Langkawi
5 April (8pg-5ptg) - SMK STAD, Seremban
6 April (8ptg-5ptg) - SMK Dato’ Mansor, Bahau

Labuan/Sabah/Kuala Lumpur/Selangor
Aminuddin Hussin/Jurulatih B-12/Bawah-15/Pegawai Persatuan Negeri

21 Mar (8pg-5ptg) - SMK Mutiara, Labuan
23 Mac (8pg-5ptg) - SMK Teknik, Tawau
24 Mac (8pg-5ptg) - SMK Likas, Kota Kinabalu
26 Mac (8pg-5ptg) - SMK Muhibah, Sandakan
28 Mac (8pg-5ptg) - SMK Keningau 2, Keningau
29 Mac (8pg-5ptg) - SMK Beaufort
31 Mac–1 April (8pg-5ptg) - SMK Cochrane, Kuala Lumpur
5 April (8pg-5ptg) - SMK Sri Bedena, Sungai Besar
6 April (8am-5ptg) - SMK Seksyen 9, Shah Alam

Kelantan/Terangganu/Pahang/Melaka/Johor
R Gopalkrishnan/Jurulatih B-12/Bawah-15/Pegawai Persatuan Negeri

22 Mac (8pg-5ptg) - SMK Chabang Tiga, Kuala Terengganu
23 Mac (8pg-5ptg) - SMK Bukit Mentok, Kemaman
25 Mac (8pg-5ptg) – Padang MPK, Kuantan
27 Mac (8pg-5ptg) – Padang Bandaran, Bentong
31 Mac (8pg-5ptg) – SMK Sri Kota, Melaka Tengah
1 April (8pg-5ptg) - SMK Dol Said, Alor Gajah
2 April (8pg-5ptg) - SMK Sri Gading, Batu Pahat
3 April (8pg-5ptg) - SMK Pasir Gudang 1, Johor Baru

Perlis/Kedah/P Pinang/Perak
Kok Keng Lin/Jurulatih B-12/Bawah-15/Pegawai Persatuan Negeri

24 Mac (8pg-5ptg) - SMK Dato’ Jaafar Hasan
25 Mac (8pg-5ptg) - SMK Syed Alwi, Kangar
26 Mac (8pg-5ptg) – SMK Syed Omar, Alor Star
27 Mac (8pg-5ptg) – SMK Syed Abu Bakar, Kupang, Baling
28 Mac (8pg-5ptg) – SMK Guar Perahu, Seberang Perai
29 Mac (8pg-5ptg) - SMK Penang Free, George Town
31 Mac (8pg-5ptg) - SMK Clifford, Kuala Kangsar
1 April (8pg-5ptg) – SM Teknik Pertanian, Teluk Intan

Data
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
Diasaskan:
1933
Presiden: Sir Andrew Caldecott
M Shelley
Dr J Webster
S Scott
R Williamson
Adrian Clark - hingga 1940
J King - bermula 1945
H Bryson
Dr C Rawson
1951: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
Keahlian: Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) 1954
: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 1957



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768