Malaysia mampu bangkit



Alberts yakin pasukan kebangsaan akan sama taraf dengan Jepun dan Korea dalam tempoh lima tahun

PROGRAM ‘Scout The Best’ Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) untuk mengenal bakat muda di peringkat akar umbi mampu melonjak bola sepak negara ini untuk menyaingi dua gergasi Asia - Jepun dan Korea Selatan - dalam tempoh lima tahun akan datang.

Asalkan, program ini mendapatkan sokongan dan dorongan semua pihak serta pendedahan meluas di peringkat antarabangsa diberikan kepada skuad muda daripada pelbagai umur bagi membina kekuatan fizikal, mental dan kematangan.

Itulah pertaruhan yang dilakukan oleh Pengarah Teknikal FAM Robert Alberts, yang menganggap program ‘Scout The Best’ adalah langkah pertama dan tepat untuk memartabatkan kembali serta menghilangkan kelesuan sambil menyuntik kesegaran dalam pasukan kebangsaan negara ini.

“Jika program ini berhasil dalam tempoh kurang dari sepuluh tahun, mungkin lima tahun akan datang pasukan kebangsaan Malaysia akan dapat menyaingi Jepun dan Korea,” kata Alberts, yang dalam proses mengenal bakat muda di seluruh negara.

“Bakat ini muda ini menjadi pelaburan tinggi kerana di peringkat akar umbi perlu diberi tumpuan dan hasilnya akan datang jika ia dilakukan dengan betul teratur. Sering kali peringkat akar umbi ini diketepikan serta dipinggirkan.

“Itu satu kesilapan dan kita kini sedang memperbetulkannya dengan kini FAM mengambil inisiatif pergi mencari bakat muda daripada menunggu mereka datang kepada pasukan kebangsaan.

“Selain itu, pasukan muda yang dibentuk ini perlu diberi pendedahan meluas beraksi di peringkat antarabangsa seperti yang dilakukan Jepun dan Korea Selatan bersama skuad remaja ini bagi meningkatkan kematangan pemain mereka.


“Kita harus mencontohi dan meniru program yang dilakukan oleh Jepun dan Korea Selatan tetapi kita menyesuaikannya dengan keadaan di Malaysia dan kita wujudkan model Malaysia sendiri yang bersesuaian tanpa mencedok sepenuhnya daripada gergasi Asia itu,” kata Alberts.

Malaysia satu ketika cukup berbangga dengan pasukan kebangsaannya yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali iaitu pada 1972 di Munich dan 1980 di Moscow dengan diterajui pemain seperti Syed Ahmad, James Wong, Hassan Sani dan Soh Chin Aun.

Selain itu, Malaysia turut berjaya memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1962 di Jakarta dan 1974 di Teheran dan empat kali muncul juara Sukan Sea pada 1961, 1977, 1979 dan 1989 tetapi selepas itu menuju 1990 dan kemudian 2000, bermulalah kemerosotan bola sepak negara.

Alberts mengakui bahawa wujud ruang kosong serta kejayaan antara pasukan remaja dan kebangsaan yang memerlukan perhatian yang serius.

“Kita lihat sekarang Malaysia memiliki skuad remaja di peringkat umur bawah-14, 16 dan 20 yang bagus dan meraih kejayaan dalam kejohanan yang mereka sertai,” kata Alberts. “Tetapi masalah timbul apabila mereka mula melangkah ke skuad senior dengan beraksi bersama pasukan negara.

“Mereka tidak dapat menterjemahkan persembahan baik di peringkat remaja ke peringkat senior. Seolah-olah seperti ada satu kekangan dan saya akui ini ia menjadi salah satu masalah yang cukup besar kepada bola sepak negara.

“Justeru, FAM perlu memperbaiki keadaan ini dengan melihat apakah masalah sebenarnya yang membelenggu pemain ini hingga gagal menyerlahkan di peringkat senior berbanding di peringkat remaja.

“Jika kita boleh mengenalpasti puncanya dan mengambil langkah memperbaikinya, saya pasti kita akan dapat membangunkan pasukan kebangsaan untuk menyaingi gergasi bola sepak rantau ini. Kita perlu terlebih dahulu mengambil langkah pertama.”

DATA
ROBERT ALBERTS

Umur:
53
Jawatan: Pengarah Teknikal FAM
Status: Berkahwin dengan dua anak: lelaki (23 tahun) dan perempuan (20 tahun)
Karier bola sepak: Ajax Amsterdam (skuad kedua dari 1973-75
Clermond Seriand, Perancis (1975)
Vancouver Whitecaps - Liga Amerika Utara (1975-1976)
Tranmere Rovers, England (1977)
Raais, Sweden (1977-80)
Sweden Hittirbs (pemain-jurulatih) 1980-1988
Astrops Sweden (1988)

Karier Kejurulatihan: Menjadi jurulatih pada 1977
: Jurulatih Kedah (1992-2000)
: Jurulatih bawah-17 tahun Korea Selatan (2004)

Kejayaan: Membimbing Kedah muncul juara Divisyen 2 (1992)
Juara Liga Perdana dan Piala Malaysia (1994)

INFO
Cadangan Robert Alberts


  • 2006 - Perubahan sikap dan pendekatan dalam pengurusan bola sepak negara
  • 2006 - 2010 - Menempatkan Malaysia dalam kelompok 70 teratas ranking dunia
  • 2011 - 2014 - Memanfaat peluang menentang pasukan di tangga ke-30 hingga ke-50 dunia
  • 2014 & 2018 - Muncul antara lima pasukan utama benua Asia bersaing
    merebut tempat ke pusingan akhir Piala Dunia

    Kejayaan Bola Sepak Malaysia

    Kelayakan Olimpik: 1972 Munich
    1980 Moscow

    Sukan Asia: 1962 Jakarta (Gangsa)
    1974 Teheran (Gangsa)

    Sukan Sea: 1961 (Emas)
    1977 Kuala Lumpur (Emas)
    1979 Jakarta (Emas)
    1989 Kuala Lumpur (Emas)



  • Artikel lain:

    Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
    Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768