Pertabalan Raja Beregu


Kien Keat-Boon Heong menggegar arena badminton antarabangsa dengan empat kejuaraan daripada enam penyertaan


KIEN Keat-Boon Heong mempamerkan kematangan
dalam gelanggang

KOO Kien Keat-Tan Boon Heong mencipta satu fenomena luar biasa di kancah badminton dunia apabila membenam setiap halangan di hadapan mereka untuk ditabalkan selaku raja beregu dunia.

“Keganasan” yang dicipta mereka di sirkit badminton amat menakjubkan hingga menimbulkan sanjungan dan hormati baik dari peminat tempatan atau lawan mereka yang kini mula memberi tabik kepada beregu muda ini.

Siapa sangka dalam tempoh lima bulan digandingkan bersama - atas idea jurulatih terbilang Rexy Mainaky - menyaksikan Kien Keat-Boon Heong sudah merangkul empat kejuaraan dalam enam kejohanan disertai.

Nasib baik kejohanan sirkit Super Siri berhenti seketika untuk memberi ruang berehat jika tidak, Kien Keat-Boon Heong pasti mendominasi semula dan kini tampak menjadikan penampilan dalam final satu kebiasaan.

Sewajarnya kejayaan mereka ini dicemburui lawan. Siapa sangka pasangan ini boleh meraih emas Sukan Asia dengan membenam lawan utama dari China, Korea Selatan dan Indonesia.

Kejayaan pertama mereka itu mungkin di anggap sebagai satu naib di kalangan lawan, tetapi pasangan ini dengan Kien Keat berusia 21 dan Boon Heong pula 19, membuktikan sebaliknya apabila memenangi Terbuka Malaysia, Januari lalu.

Mereka kemudian menyusul dengan kelayakan ke separuh akhir Terbuka Korea Selatan sebelum memastikan pertabalan mereka selaku raja baru beregu lelaki dunia dengan kemenangan di Seluruh England, mengakhiri kemarau 25 tahun negara untuk gelaran ini.

Ia terhenti setakat itu saja, Kien Keat-Boon Heong kemudian mengesahkan kedudukan mereka itu dengan mengungguli Terbuka Switzerland, membenamkan lawan yang cuba menyanggah mereka daripada singgahsana utama.

Pasangan handalan seperti juara dunia Cai Yun-Fu Haifeng dari China, Jens Eriksen-Martin Lundgaarg Hansen. Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto dan Chandra Wijaya-Tony Gunawan semuanya berjaya ditumbangkan

Kelibat Kien Keat-Boon Heong dalam gelanggang mengingatkan peminat kepada beregu handalan dunia yang pernah mendominasi arena iaitu Park Joo-bong-Kim Moon-soo, Razif-Jalani Sidek, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiat (Yap Kim Hock) dan Rexy-Ricky Subadja.

Adakah pasangan muda ini sama handal atau lebih baik? Jawapannya, menurut jurulatih dan pemain beregu lagenda dunia, Rexy, pasangan ini memiliki kekuatan yang tidak ada pada pasangan lain.

“Kien Keat-Boon Heong mampu menyerang dan mempunyai smash kencang,” kata Rexy. “Permainan di jaring juga sama bagus. Berbanding dengan saya bersama Rick atau Joo Bong-Moon Soo hanya seorang saja yang mempunyai smash kencang.

“Dan hanya salah seorang daripada mereka saja boleh bermain di jaring. Tetapi Kien Keat-Boon Heong boleh melakukannya kedua-duanya dan itulah keistimewaan mereka.”

Nyata keistimewaan ini sudah menjulang kejayaan luar biasa mereka. Hakikatnya, Kien Keat-Boon Heong pantas mencipta lagenda sendiri pada usia cukup muda.



Fakta

> Koo Kien Keat

  • Tarikh Lahir: 18 Sept 1985

  • Tempat: Ipoh, Perak

  • Tinggi: 1.77m

  • Berat: 68kg

  • Kali Pertama menyertai skuad kebangsaan: 2002

  • Kejohanan Antarabangsa Pertama: Terbuka Malaysia (2002)

  • Kejuaraan Antarabangsa Pertama: Terbuka Taiwan (2004) bersama Chan Chong Ming

  • Kejayaan Antarabangsa: Terbuka Denmark (Juara 2005)

    : Kejohanan Dunia (Gangsa 2005)

    : Terbuka Swiss (Juara 2006)

    : Sukan Komanwel (Emas 2006)

    : Juara Remaja Asia (2003) bersama Ong Soon Hock



    > Tan Boon Heong

  • Tarikh Lahir: 18 Sept 1987

  • Tempat: Alor Star, Kedah

  • Tinggi: 180sm

  • Berat: 71kg

  • Kali Pertama menyertai skuad kebangsaan: 2005

  • Kejohanan Antarabangsa Pertama: Terbuka Belanda (2005)

  • Kejayaan Antarabangsa: Juara Remaja Dunia (2005) bersama Hoon Thien How

    : Naib Juara Remaja Asia (2006) bersama Hoon Thien How

    : Naib Juara Asia (2006) bersama Hoon Thien How

  • Pencapaian Kien Keat-Boon Heong

    Naib Juara Terbuka Jepun (2006)

    Emas Sukan Asia Doha (2006)

    Juara Terbuka Malaysia (2007)

    Separuh Akhir Terbuka Korea (2007)

    Juara Seluruh England (2007)

    Juara Terbuka Switzerland (2007)


  • Artikel lain:

    Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
    Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768