Saya bukan Raja Midas: Rexy


Kien Keat-Boon Heong tidak lahir secara ajaib sebaliknya adalah usaha semua pihak


BERSAMA YAP KIM HOCK

ORANG yang bertanggung jawab sepenuhnya dalam melakarkan keajaiban pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sudah semestinya jurulatih beregu kebangsaan dari Indonesia Rexy Mainaky.

Belumpun sampai dua tahun sejak menabur bakti kepada negara yang pernah menjadi musuh utama dalam perlawanan badminton, Rexy sudah mencetuskan satu fenomena yang cukup menakjubkan dengan kegemilangan Kien Keat-Boon Heong.

Semua sentuhannya tampak bertukar menjadi emas hingga peminat menggelarnya Raja Midas - mengikut cerita dongeng Yunani yang menyaksikan seorang Raja yang mampu menukar setiap benda yang dipegang kepada emas.

“Saya tidak memiliki sentuhan emas,” kata Rexy pujian menggunung itu. “Ia penghormatan terlalu tinggi buat saya. Tatkala saya menghormati penghormatan itu tetapi saya harus menegaskan saya bukan Raja Midas dan saya juga tidak dapat mencipta keajaiban.

“Kien Keat-Boon Heong tidak lahir secara ajaib sebaliknya ia adalah atas usaha semua pihak, sama ada pemain dan barisan jurulatih, ia juga tidak terjadi secara kebetulan.


MENYEMAI semangat setia kawan

“Sebaliknya semua pihak berganding bahu untuk memastikan kejayaan. Saya bukannya bertindak berseorangan tetapi bersama-sama dengan jurulatih lain melakarkan program pada semua pihak.

“Saya juga berbincang dengan jurulatih seperti (Cheah) Soon Kit, yang mempunyai pengalaman lebih banyak berbanding saya untuk meminta pendapatnya. Justeru, bukan saya seorang memikul peranan utama ini,” kata Rexy.

Apapun, Rexy harus tetapi diberi pujian terutama sekali untuk keberaniannya mengambil risiko untuk menggabungkan Kien Keat-Boon Heong dan tegas dengan pendiriannya itu sekalipun dikritik semua pihak.

“Pada awalnya memang sukar untuk meyakinkan semua pihak tetapi selepas saya memberi pandangan dan hujah, tindakan saya itu diterima,” katanya.

Namun, Rexy hampir lagi terpaksa menanggung risiko besar daripada tindakannya itu selepas Kien Keat-Boon Heong gagal menyinar dalam acara berpasukan Sukan Asia sehinggalah jurulatih dari Indonesia itu naik berang dan mengancam meletakkan jawatan.

Tindakannya itu menyedarkan pemainnya terutama Kien Keat-Boon Heong, yang bangkit menyajikan permainan jitu dan membalas kepercayaan jurulatih itu dengan meraih emas beregu Sukan Asia.

Dan selepas itu mereka tidak merenung ke belakang dengan menggegar arena antarabangsa sekali gus membuktikan keputusan Rexy untuk menggabungkan mereka adalah tepat.

Bagi Rexy, dia mungkin tidak mempunyai sentuhan Midas tetapi pada kaca mata peminat dia sudah mencipta keajaiban dalam badminton negara. Sesungguhnya Rexy sendiri adalah keajaiban badminton negara.



DATA

REXY RONALD MAINAKY

Nama Timangan:
Eky
  • Tarikh Lahir: 9 Mac 1968
  • Tempat Lahir: Ternate
  • Tinggi: 173sm
  • Berat: 65kg

    Pertama Kali Menyertai Kem Latihan Nasional (Pelatnas) Indonesia: 1990

    Kejohanan Pertama: Terbuka Kanada (1990)

    Pertama Kali bergandingan dengan Ricky Subadja: 1991 (Copenhagen Masters)

  • Karier Kemenangan:

    1995: Juara Dunia (Lausanne)

    1996: Juara Olimpik (Atlanta)

    1997: Gangsa Kejohanan Dunia (Glasgow)

    1994: Piala Thomas (Juara)

    1996: Piala Thomas (Juara)

    1998: Piala Thomas (Juara)

    2000: Piala Thomas (Juara)

  • Pengalaman Kejurulatihan:

    2003-2005: England

    2005-hingga sekarang: Malaysia





  • Artikel lain:

    Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
    Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768