Penganjuran edisi pertama kejohanan capai matlamat sukan pelancongan di Kedah

PENUNGGANG dan kuda bersedia sebelum dilepaskan Sultan Kedah.KEDAH sebelum ini lebih dikenali sebagai Negeri Jelapang Padi. Namun penganjuran Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa DiRaja Kedah 2007 oleh Kedah Communication & Events (KCE) baru-baru ini membuka lembaran baru dalam usaha mempopularkan negeri itu sebagai destinasi baru sukan berkuda di negara ini.
Kehadiran peserta luar negara khususnya kerabat Diraja termasuk dari luar negara bukan saja menjadikan kejohanan itu tambah berprestij, malah membuka peluang ekonomi kepada Kedah menerusi aktiviti sukan pelancongan.
Ikuti temubual epg dengan Ketua Pegawai Eksekutif KCE, Jasni Shafie selaku Pengarah Acara kejohanan mengenai matlamat serta kejayaan yang dicapai menerusi penganjuran kejohanan terbabit.
epg: Siapa yang mencetus idea untuk menganjurkan kejohanan dan apakah matlamat utama penganjuran khususnya kepada Kedah?
Jasni Shafie (JS): Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid pencetus idea ini. Beliau mahukan satu acara antarabangsa dibawa ke Kedah dengan pembabitan peserta dan tokoh dari Negara Arab. Matlamatnya dari sudut sukan dan pelancongan ialah untuk menaikkan imej Kedah sebagai pusat sukan berkuda di utara tanah air. Selain itu, untuk jangka panjang, Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk menarik minat golongan Diraja Arab yang mengambil bahagian dalam acara ini melabur dalam sebarang bidang yang pada pandangan mereka bersesuaian dengan kehendak mereka.
epg: Sebagai kejohanan pertama, berapa jumlah pasukan dan atlit yang mengambil bahagian dan bagaimana maklum balas peserta?
JS: Jumlah peserta yang mengambil bahagian dalam acara ini keseluruhannya ialah 75 iaitu 30 penunggang untuk kategori 120 kilometer; 17 kategori 80km dan 28 untuk kategori 40km. Maklum balas yang kami terima sungguh memuaskan, terutama penunggang antarabangsa. Mereka datang kali ini dengan menggunakan kuda dari Pusat Equin Ar-Raudhah dan sangat berpuas-hati dengan kuda-kuda yang diberikan kepada mereka. Mungkin tahun depan mereka akan datang dengan kuda sendiri bersama pasukan dan krew yang lebih ramai.
epg: Apakah cabaran paling besar yang dihadapi dalam menganjurkan kejohanan kali pertama ini?
JS: Cabaran memang banyak, namun paling mencabar ialah kami perlu bersedia untuk menerima tetamu Diraja, iaitu DYMM Seri Paduka Yang DiPertuan Agong serta rombongan Diraja dari Negara Teluk. Antara yang datang ialah Raja Abdullah Bin Fahd Al-Saud dari Arab Saudi dan kerabat Diraja Qatar serta Emiriyah Arab Bersatu. Semua kerabat Diraja dari tiga negara itu berjumlah 14 orang.
epg: Bagaimana pihak penganjur melayan kerabat Diraja Arab ini kerana mereka adalah VVIP dan mahu yang terbaik dalam segala segi?
JS: Kami telah membuat ‘home work’ sebulan sebelum kedatangan mereka. Disebabkan tiada hotel bertaraf lima atau enam bintang di Alor Setar, kita terpaksa membawa mereka menginap di Hotel Four Season dan Tanjung Rhu di Langkawi. Kita juga menempah pesawat khas untuk menerbangkan Kerabat Diraja Arab ini dari Langkawi ke Alor Star. Kami bersyukur mendapat kerjasama dan nasihat daripada pihak protokol Istana Kedah dan Kerajaan Negeri di mana pegawai-pegawainya bertungkus lumus untuk memastikan semuanya berjalan lancar.
epg: Apakah keistimewaan penganjuran kali pertama ini dan adakah perancangan lain untuk menjadikannya lebih menarik pada penganjuran akan datang?
JS: Paling menarik ialah keberangkatan SPB Yang DiPertuan Agong ke majlis perasmian, bukan untuk merasmikan acara, tetapi sebagai peserta. Perasmian kejohanan dilakukan oleh DYMM Tuanku Sultan Kedah. Di sini banyak konflik yang timbul dari segi protokol, tetapi berjaya diatur lancar selepas perbincangan dan nasihat antara pihak Istana Negara dan Protokol Kerajaan Negeri Kedah. Majlis berjalan sempurna dan kelihatan menarik dengan penuh semangat kesukanan.
epg: Umum menganggap kejohanan berkuda hanya untuk golongan elit, justeru bagaimana pihak KCE mahu menjadikan ia sebagai satu sukan yang boleh diterima secara umum oleh pelbagai lapisan masyarakat?
JS: Memang pada pandangan awal ramai menganggap sukan ini untuk golongan elit, seperti juga sukan golf suatu ketika dulu. Tetapi lihat sekarang bagaimana golf telah dimainkan oleh pelbagai golongan masyarakat dan perkara sama juga untuk sukan berkuda. Malah, Kementerian Belia dan Sukan dan Menterinya, Datuk Azalina Othman sendiri mahu memupuk minat berkuda di kalangan belia.
Saya percaya lama kelamaan sukan ini tidak akan hanya untuk golongan elit saja. Contohnya, lihat saja penunggang dari Pusat Ekuin Kedah, Amir Asyraf Zainuddin yang memenangi tempat ketiga kategori 40 kilometer dalam acara ini - dia bukan anak orang kenamaan, tetapi mempunyai minat mendalam dan berjaya mengalahkan peserta lebih dewasa dan berpengalaman.
epg: Selain penganjuran sukan itu sendiri, adakah aktiviti lain turut dianjurkan sepanjang kejohanan berlangsung?
JS: Kami mengatur beberapa acara sampingan dalam usaha memeriahkan acara ini. Melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Kedah, kami menganjurkan pertandingan mewarna untuk murid sekolah rendah. Mereka diminta mewarna berdasarkan pandangan mereka di Pusat Equin Darul Aman di mana acara berlangsung.
Kita juga mempunyai acara hiburan di sebelah malam sebagai pengisian kepada penonton sambil mereka menanti kuda-kuda yang masuk semula ke trek dan ke pusat pemeriksaan veterinar. Tahun depan kita merancang lebih banyak `pre-event' sebagai usaha untuk memberi pengetahuan kepada masyarakat dan peminat sukan mengenai acara kuda lasak ini.
epg: Akhir sekali apakah harapan pihak KCE terhadap kejohanan ini?
JS: Harapan KCE sebagai penganjur ialah menjadikan acara tahun depan lebih menarik lagi. Kami sebenarnya memikul tugas besar selepas Menteri Besar Kedah mengumumkan untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan dalam kalendar sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah. Kami akan menulis surat kepada badan antarabangsa, FEI untuk memasukkan acara ini dalam kalendar antarabangsa mereka tahun depan.