YANG di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan tetamu
kehormat di Pentas Diraja.KEJOHANAN Kuda Lasak Antarabangsa DiRaja Kedah 2007 bukan saja berjaya mengetengahkan negeri Kedah sebagai destinasi baru sukan berkuda tanah air tetapi turut menyajikan platform kepada Malaysia untuk menjadi penganjur sukan berkuda terbaik di peringkat antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman, berkata acara itu adalah ujian awal kepada negara untuk menganjurkan kejohanan berkuda bertaraf antarabangsa di negara ini pada tahun depan.

“Selepas ini kejohanan sama akan diadakan di Terengganu dan Johor dan kita akan membuat kajian (post mortem) dari semasa ke semasa termasuk menilai maklum balas peserta mengenai taraf penganjuran,” katanya ketika menyaksikan kejohanan itu minggu lalu.
Kejohanan yang dilangsungkan di Pusat Equin Bandar Darul Aman, Jitra itu dilepaskan Sultan Kedah dengan seramai 48 peserta mengambil bahagian yang dibahagikan kepada acara 120 dan 80 kilometer.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin turut mengambil bahagian di mana peserta luar negara pula adalah dari Australia, Belgium, Indonesia, Belanda, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Amerika Syarikat. Arab Saudi dan UAE diwakili kerabat diraja negara berkenaan.
Kedua-dua acara itu menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM49,000 di samping trofi dan sijil penyertaan.

Tuanku Mizan yang menunggang kuda bernama Magna Thor adalah antara 31 peserta dalam acara 120 kilometer manakala bakinya adalah bagi acara 80 kilometer.
Sebanyak enam kuda dari Majlis Sukan Negara (MSN) turut dihantar menyertai acara 120 kilometer tetapi ditunggang peserta jemputan luar negara sebagai ujian kelasakan bagi haiwan berkenaan sebelum menghadapi pertandingan peringkat antarabangsa di Malaysia tahun depan.

"Laluan diharungi peserta begitu mencabar apabila hanya 14 pelumba kategori 120km dan lima pelumba kategori 80km berjaya menamatkan perlumbaan
Seramai 16 pelumba kategori 120km gagal menamatkan perlumbaan termasuk Sultan Mizan apabila kuda baginda `Magna Thor’ gagal meneruskan perlumbaan, manakala bagi kategori 80km, seramai 12 pelumba gagal menamatkan perlumbaan.
Penunggang negara menyapu bersih kedudukan tempat pertama hingga sembilan kategori 120km dan lima tempat teratas kategori 80km.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kerajaan negeri akan menjadikan acara itu sebagai acara tahunan dan tahun depan ia akan dikenali sebagai Kejohanan Berkuda Antarabangsa Terbuka Diraja Kedah 2008 (Royal Kedah International Open Ride 2008).