MUKADIMAH
ANDAI statistik pencapaian diambil kira, tidak dinafikan banyak kejayaan sukan negara adalah hasil sumbangan atlit wanita dan ia terbukti menerusi kecemerlangan beberapa atlit negara yang mencipta nama di peringkat dunia dalam pelbagai acara.
Begitupun tanpa usaha, segala kejayaan yang nikmati tidak akan kekal dan untuk mencungkil bakat di samping menjadikan sukan sebagai cara hidup, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan Sukan Wanita Kebangsaan (SWK) dua tahun lalu.
Tanpa penganjuran pada musim 2006, temasya wanita terunggul itu kembali lagi Jun ini. Untuk mengetahui intipati penganjurannya, ikuti temubual wartawan epg, Haryani Ngah bersama Pengarah Bahagian Sukan Wanita, Majlis Sukan Negara (MSN), Dr Shamala Subramanian.
epg: Terlebih dulu tahniah diucapkan selepas lebih setahun tidak diadakan, Sukan Wanita Kebangsaan kembali lagi.
Dr Shamala Subramanian (DSS): Terima kasih di atas sokongan anda.
epg: Bagaimana bermulanya idea untuk menganjurkan sukan ini?
DSS: Sukan Wanita Kebangsaan (SWK) adalah antara projek terawal dianjurkan untuk mengangkat penyertaan wanita dalam sukan dan penganjurannya ditujukan buat wanita yang cintakan sukan. Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman, ia diadakan bertujuan untuk menyuntik motivasi di samping menarik minat penyertaan wanita dan menjadikannya sebagai satu gaya hidup.
epg: Penganjuran sukan ini pastinya membabitkan banyak pihak dan badan manakah yang bertanggungjawab menjayakannya?
DSS: Yayasan Kecergasan Sukan dan Wanita (WSFFM) bertanggungjawab menganjurkan temasya ini dengan mendapat kerjasama KBS, MSN, Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Sukan Kebangsaan.
epg: Apa yang membezakan penganjuran kali ini berbanding 2005?
DSS: Pada penganjuran pertama, kita hanya menjemput pasukan negeri bertanding termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dengan mempertandingkan lapan sukan teras iaitu akuatik, olahraga, badminton, bowling, bola sepak, gimnastik, hoki dan skuasy serta turut menyertakan bola jaring.
Bagaimanapun untuk penganjuran kali ini, terdapat beberapa perubahan iaitu kita membuka peluang buat syarikat korporat mengambil bahagian, manakala sukan yang dipertandingkan pula hanya olahraga yang membabitkan sukan teras manakala selebihnya adalah bukan kategori sukan itu.
Selain sepak takraw yang akan diperkenalkan buat kali pertama, Sukan Wanita Kebangsaan membabitkan acara bola tampar pantai, triatlon, angkat berat dan catur kerana acara itu dipertandingkan di Sukan Olimpik Beijing nanti.
epg: Kenapa bukan sukan teras lain?
DSS: Kita melihat banyak acara daripada bukan sukan teras berpotensi untuk menyumbangkan pingat di kejohanan dan temasya besar. Inilah peluang untuk mencungkil bakat dan pencarian atlit untuk mewakili negara dalam acara tertentu manakala bola jaring pula adalah sukan yang dimainkan secara meluas oleh golongan wanita di mana setiap kontinjen mempunyai pasukan.
Apapun penganjur tidak meminggirkan kesemua sukan teras kerana kita juga menyenaraikan olahraga atas permintaan banyak pihak yang mahu acara ini dipertandingkan.
epg: Anda adalah Pengarah Bahagian Wanita dan Sukan di MSN. Apakah hubung kait temasya ini dengan peranan yang dimainkan unit anda?
DSS: Bahagian Sukan dan Wanita ditubuhkan pada 19 Jun 2006 dengan bervisikan kepentingan kerajaan terhadap peningkatan sukan wanita dengan fokus kepada peningkatan penyertaan, penyelidikan dan pembangunan serta program bersepadu.
Justeru, dalam melakukan penyelidikan, Sukan Wanita akan menjadi platform dalam menilai kejayaan dan kelemahan wanita dalam bidang sukan.
epg: Pada penyertaan edisi pertama SWK, didapati ada pasukan yang menghantar peserta tangkap muat bagi memenuhi setiap acara yang dipertandingkan dan ini sekali gus menggugat kualiti penganjuran. Tidakkah anda berasakan ia akan berulang lagi?
DSS: Diakui pada penganjuran pertama, terdapat beberapa kelemahan disebabkan tempoh persiapan yang pendek serta kekurangan pengalaman. Namun untuk kali ini, saya yakin ia tidak akan berulang memandangkan kita turut membuka peluang kepada badan korporat, menjadikan ia kini lebih terbuka.
Dengan lebih banyak pasukan bertanding, sudah pasti tiap pasukan akan menghantar peserta terbaik mereka.
epg: Akhir-akhir ini, sukan futsal dilihat begitu digemari golongan wanita tetapi mengapa acara ini tidak dipertandingkan kali ini?
DSS: Berbalik kepada objektif asal kejohanan, kita mahu mencari atlit mewakili negara ke temasya besar. Acara futsal pula dilihat tidak mampu membawa peserta wanita jauh kerana perkembangannya setakat ini hanya berkisar di karnival sedangkan tidak dipertandingkan di temasya utama.
Sehubungan itu, ada baiknya kita tumpukan kepada sukan yang mampu menaikkan nama atlit ke pentas antarabangsa. Begitupun, kita sedia menimbang untuk menyenaraikan acara ini semula sekiranya ada ruang dan peluang yang lebih besar buat peserta di masa akan datang.
epg: Akhir sekali, apa harapan anda untuk temasya kali ini?
DSS: Saya berharap akan akan lahir atlit wanita yang berjaya mewakili Malaysia dan mendapat tempat ke Sukan Olimpik menerusi penganjuran SWK ini.
epg: Terima kasih dengan kerjasama anda dan diharapkan sukan wanita terus maju.
DSS: Sama-sama.
Sepak takraw wanita jadi tarikan baru SWK
“SERONOK melihat pemain wanita sepak takraw Thailand dan Vietnam beraksi di Sukan Asia lalu dan negara kita juga mampu membawa cabaran dalam acara itu di temasya akan datang,” kata Timbalan Pengerusi Yayasan Kecergasan Sukan dan Wanita Malaysia (WSFFM), Dr Tengku Fadilah Tengku Kamalden
Berdasarkan kaji selidik ke atas 100 buah syarikat korporat, didapati ada empat badan memiliki pasukan sepak takraw dan ia memberi petanda positif untuk Malaysia mencari wakil wanita ke temasya sukan lebih besar lain.
Sepak takraw wanita akan mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kali dipertandingkan di negara ini di dalam Sukan Wanita Kebangsaan (SWK) di mana jadual dan gelanggang perlawanan dijangka dilangsungkan di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Selain sepak takraw, SWK juga memberi tumpuan kepada acara bola tampar pantai, triatlon, angkat berat dan catur kerana acara itu dipertandingkan di Sukan Olimpik Beijing.
“Kita melihat atlit wanita mempunyai potensi dalam acara tertentu dan mampu menyumbang pingat buat negara. Seharusnya kita memulakan usaha mengesan dan mencungkil bakat daripada sekarang,” katanya.
Tambahnya, penganjur melihat SWK dalam perspektif yang luas iaitu tidak hanya membuka lebih ruang buat wanita aktif bersukan tetapi mengharapkan ia menjadi medan kelahiran atlit dalam acara tertentu bagi mewakili negara di kejohanan besar.
Menurut Dr Tengku Fadilah lagi, ia juga diharap dapat membantu persatuan sukan kebangsaan melahirkan lebih ramai atlit di kalangan wanita.
SWK terbuka kepada sesiapa saja termasuk wanita berkerjaya tanpa had umur dengan tujuan menggalakkan sukan buat golongan yang meninggalkan bangku persekolahan untuk meneruskan aktiviti dalam acara sukan.
Bagi memberi keadilan kepada peserta, temasya itu tidak membenarkan atlit kebangsaan menyertainya. Sehubungan itu kaum wanita yang berminat memperkembangkan bakat dan berhasrat mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi, mereka digalakkan untuk menyertainya.
FAKTA
ACARA: Sukan Wanita Kebangsaan kali kedua
TARIKH: 1 hingga 9 Jun 2007
PENYERTAAN: 7,000 (peserta dan pegawai)
ACARA - LOKASI
Bola tampar pantai - Sunway Lagoon
Silat - Dewan Sultan Salehuddin, UPM
Biliard/Snuker - MSN
Triatlon - Port Dickson
Kenu/Kayak - Putrajaya
Angkat Berat - Stadium Putra
Catur - Stadium Putra
Golf - UPM
Lawn Bowl - Kompleks Sukan Bukit Kiara
Olahraga - Stadium Nasional, Bukit Jalil
Bola Jaring - Stadium Juara, Bukit Kiara
Sepak Takraw - Stadium Putra
PERTANYAAN:
Sekretariat Sukan Wanita Kebangsaan Ke-2
Bahagian Wanita dan Sukan,
Tingkat 3 Majlis Sukan Negara
Bukit Jalil, Sri Petaling, 57000 Kuala Lumpur
Tel: 603-8992 9840 / 8992 9839
Faks: 603-8996 8354
e-mel: secretariat.nwg@gmail.com
Laman web: www.wsffm.com
TAHUKAH ANDA?
Sukan Wanita Kebangsaan pertama berjaya menarik penyertaan 3,000 atlit dan pegawai dari seluruh negeri di Malaysia serta PDRM dan ATM.