Ledakan Manila penuh debaran


SEMBILAN das tembakan sudah berakhir dan hanya satu butir peluru saja lagi yang tinggal dan jika diikutkan kepada pungutan mata ketika itu, penembak handalan Thailand Samarn Jongsuk yang juga peserta pilihan kejohanan sudah mendahului.

Namun perjuangan masih belum selesai, walaupun wajah Samarn sudah terpancar keceriaan seakan pingat emas sudah berada di tangannya tetapi itu bukan penyudah buat Mejar Jasni Shaari di Kejohanan Menembak Asia Tenggara (Seasa) di Manila 1998.

Hanya satu saja lagi peluru yang tinggal di tangannya begitu juga Samarn dan itulah peluru penentuan buat mereka berdua.

Dengan tekad mahu melakukan kejutan ke atas Samarn, Jasni memberi tumpuan penuh dan dilarasnya dengan betul senapang miliknya.

Pang! kedua-dua tembakan terakhir berbunyi dan kedua-dua mereka berdebar menanti untuk mengira berapakah markah yang bakal diterima. Jantung berdegup dan doa tidak lepas dipohon agar emas menjadi miliknya.

Sebaik saja kiraan selesai dilakukan, Jasni sungguh terkejut kerana dengan kelebihan 0.01 mata dia disahkan sebagai pemenang pingat emas di kejohanan itu.

“Seasa adalah penyertaan terbaik saya apatah lagi saya terpaksa mengharungi aksi sengit dengan penembak dari Thailand selepas masing-masing terikat dengan catatan 591 mata sebaik berakhirnya acara final membabitkan lapan peserta dan saya peserta tunggal negara.

“Samarn adalah peserta pilihan di kejohanan itu kerana dia memenangi emas di Sukan Sea tetapi penampilan saya juga tidak dipandang mudah kerana saya juga berada di ranking yang baik,” katanya yang menggalas jawatan sebagai Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Malaysia.

Menurut Jasni catatan 591 itu bukan terbaik miliknya kerana dia kerana masih belum dapat mengatasi rekod kebangsaan miliknya 597 yang dilakukan di Kejohanan Kebangsaan pada 1994.

Bagaimanapun andai kiraan itu dijadikan perbandingan dengan kemampuan penembak negara ketika ini kebanyakan daripada mereka melakukan catatan kurang daripada jumlah itu dan markah penuh untuk acara itu ialah 600 mata.

Kesukaran penembak untuk mendapat catatan hampir 600 mata itu berikutan acara itu terlalu teknikal di samping beberapa faktor lain menjadi penentu seperti peralatan, peluru, cuaca dan keadaan penembak ketika itu.

Berbanding penembak lain, Jasni mungkin mempunyai kelebihan kerana pernah menjalani latihan di luar negara bagi acara itu.

Apapun nasihatnya agar penembak perlu rajin menjalani latihan dan paling penting perlu membaiki kesilapan mereka.

“Saya perhatikan penembak lebih suka melihat markah berbanding mencari kesilapan mereka dan inilah kelemahan yang perlu diatasi sekiranya mahu meningkatkan prestasi mereka,” katanya mengakhiri perbualan.

DATA EpG
MEJAR JASNI SHAARI
TARIKH LAHIR: 26 Oktober 1958
ASAL: Muar, Johor
JAWATAN: Pegawai Tentera (dipinjamkan ke Persatuan Menembak Malaysia sebagai Setiausaha Eksekutif)
PENCAPAIAN:

  • 1995 - Sukan Sea Chiangmai - 1 perak dan 3 gangsa;
  • 1994 - Seasa Kuala Lumpur - 1 emas dan 1 perak;
  • 1997 - Menembak Komanwel Langkawi - 1 emas;
  • 1998 - Seasa Manila - 2 emas dan 1 perak, Menembak Komanwel di New Delhi - 1 perak dan 1 gangsa


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768