
NAMA Helen Chow cukup gah di persada renang tanah air apatah lagi pernah beberapa kali memenangi emas pada Sukan Sea sekitar 1980-an selain menjadi Olahragawati Kebangsaan pada 1981.
Namun kehebatan perenang wanita berasal dari Sabah ini belum cukup meyakinkan di persada sukan tertinggi dunia – Sukan Olimpik walaupun pernah mengambil bahagian di Sukan Olimpik Los Angeles, Amerika Syarikat pada 1984.

Mengimbas detik Sukan Olimpik 1984, Helen yang menyertai 20 atlit daripada kontinjen negara ke sukan berkenaan menjadi satu-satunya atlit renang membawa cabaran negara yang majoritinya diwakili peserta acara hoki.
Dalam saingan awal, Helen yang masih mentah ketika itu terkeluar dari saingan 100m gaya bebas di kolam renang Universiti California dengan hanya menduduki tangga ketujuh daripada lapan perenang terbaik dalam acara berkenaan.
Dia mencatatkan 1:02.53 saat, catatan yang jauh tersasar daripada masa terbaiknya 1:01.40 saat yang dilakukannya pada 1982 mungkin disebabkan kurangnya keyakinan diri untuk bersaing dengan jaguh-jaguh handalan dunia yang memang menantikan kehadiran acara itu untuk mempamerkan aksi terbaik mereka.
Perenang muda yang berusia 19 tahun ketika itu juga mengambil bahagian dalam acara 100m kuak lentang, acara kedua yang disertainya tetapi tetap gagal menyerlah apabila menamatkan saingan di tempat terakhir daripada 31 peserta.
Kegagalan berkenaan terlalu besar untuk diterima Helen yang mengalirkan air mata sebaik saja saingan tamat tetapi tidak mematahkan semangatnya untuk bergelar jagoan dalam acara itu walaupun tidak berupaya membuktikannya di Sukan Olimpik.
DATA EpG
HELEN CHOW
UMUR: 39 tahun
ASAL: Sabah
PENCAPAIAN:
Dua emas Sukan Sea Manila 1981
Olahragawati Kebangsaan 1981
Emas 100m kuak dada Sukan
Sea Singapura 1983
Olimpik Los Angeles 1984