
SUSUK tubuhnya kecil saja, namun semangat dan keinginannya untuk terus memecut jentera di litar bagi memburu kejuaraan tidak pernah padam walaupun usia hampir mencecah separuh abad.
Umum lebih mengenali bapanya, Bulldog Kuan - legenda sukan lumba motosikal negara yang memang popular sejak 50-an lagi, tapi anaknya Kuan Meng Heng tidak kurang hebatnya.
Meng Heng diingati sebagai pelumba negara pertama yang berlumba dalam kejuaraan Grand Prix Dunia di samping ramai pelumba handalan seperti Luca Cadalora, Carlos Cardus, Helmut Bradl dan Loris Capirossi pada era kegemilangannya kira-kira 12 tahun lalu.
“Dulu saya memang suka berlumba. Tapi sekarang sudah 20 tahun naik motosikal badan sudah tak secergas dulu, sebab itu bersara,” katanya ketika dihubungi di Pulau Pinang baru-baru ini.
Jaguh kelahiran Pulau Mutiara ini bukan setakat handal dalam satu-satu kategori perlumbaan saja malah pernah menyertai semua kelas perlumbaan termasuk 125cc, 250cc selain superbike 750cc.

“Dulu saya satu pasukan dengan Simon Craffar dan Scot Doohan (abang kepada bekas juara dunia 500cc Michael Doohan) dalam pasukan Marlboro Yamaha. Mereka yang banyak beri tunjuk ajar,” katanya yang menyertai perlumbaan di seluruh dunia ketika menyertai acara superbike bermula 1991.
Tubuhnya yang kecil itu tidak menghalang anak pelumba lagenda itu memecut motosikal berkuasa besar dengan kelajuan yang boleh mencecah 300 kilometer sejam.
Meng Heng masih mengingati kejadian yang mana dia terjatuh ketika sedang memecut pada kelajuan 280 kilometer sejam dalam perlumbaan superbike di Litar Shah Alam pada 1992.
Dalam kemalangan itu, motosikal yang ditunggangi Meng Heng terpelanting lalu terbakar namun dia terselamat berikutan tercampak jauh dari motosikal dan hanya cedera ringan.
“Itu perkara biasa. Jika kita minat, tiada apa yang dapat menghalang,” katanya yang kini lebih memberi perhatian terhadap kerjanya yang juga dalam bidang pemotoran dengan menjadi pengurus pasukan 600cc Kejohanan FIM Asia Pasifik bersama Hong Leong Yamaha.
“Saya juga masih tolong bapa uruskan perniagaan kedai motosikal di Pulau Pinang. Dia sudah tua tapi masih boleh bawa motor sambil bersiar-siar,” katanya sambil ketawa apabila ditanya mengenai perkembangan terbaru bapanya yang banyak memberi dorongan untuk memajukan kariernya sejak dulu lagi.
DATA EpG
KUAN MENG HENG
UMUR: 36 tahun (10 Disember 1968)
TINGGI: 165sm
BERAT: 62kg
ASAL: Pulau Pinang
KERJAYA: Pengurus Pasukan Hong Leong Yamaha dan mengusahakan perniagaan kedai membaiki motosikal
MULA TERBABIT: 1985
BERSARA: 2003
PENCAPAIAN:
Penunggang pertama negara dalam Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia dalam kelas 250cc
Menjuarai pelbagai kejuaraan terutama dalam perlumbaan superbike di seluruh dunia bermula sekitar 1992