

KARIER Ishtiaq Mubarak dalam bidang olahraga bermula sebagai budak suruhan sekitar tahun 60-an. Ketika itu beliau hanya mampu melihat atlit berlatih, tapi jauh disudut hati Ishtiaq tahu beliau mampu melakukan lebih baik daripada mereka.
Kata-katanya itu kemudian dibuktikannya. Ishtiaq berjaya melakarkan rekod kebangsaan dalam acara 110 meter - rekod yang dipegangnya selama 15 tahun sebelum dipecahkan Nur Herman Majid di kejohanan Trek dan Asia (ATF) ke-9.
Namanya terus mewarnai dunia sukan olahraga tanah air sehingga menjadi antara salah seorang peserta yang pernah bersaing bersama atlit bertaraf dunia selepas pelari Datuk M Jegathesan dalam pusingan separuh akhir di sukan Olimpik .
Kehebatannya terus menjadi igauan pencabarnya dan sejak daripada itu muncul peserta negara silih berganti cuba mengulangi kehebatan Ishtiaq antaranya, Thalata Mahadi, Nasaruddin Nor, Hassan Ayob, Badrul Hisham, Zulkifli Yatim dan Hanafiah Nasir.
Walaupun pada zamannya tidak banyak kemudahan disediakan, namun semangatnya tetap kuat untuk terus memilih sukan olahraga ini yang dianggapnya sebagai 'ibu segala sukan'.

Ketika diajukan soalan mengapa sukan olahraga ini menjadi pilihannya, pelari ini berkata sukan adalah sesuatu bidang yang baik, kerana ia boleh membantu kita meneruskan perjalanan hidup di kemudian hari dan juga kerana olahraga asas kepada semua sukan lain.
“Untuk berjaya tak perlu ada sebarang alasan, usaha adalah tangga kejayaan. Kita perlu kreatif untuk memikirkan peralatan yang boleh digunakan untuk buat latihan sebab masa saya dulu mana ada kemudahan macam sekarang ini.
“Saya gunakan buluh yang ditanam dalam tanah untuk buat palang lompatan, roda kereta api, tong minyak untuk latihan angkat berat. Tapi sekarang dah banyak kemudahan disediakan oleh kerajaan, jadi tiada lagi alasan untuk tidak melakar kejayaan,” katanya yang kini adalah jurulatih Program Pembangunan MSN.
Tahun 1970 tidak dapat dilupakan sama sekali daripada lipatan hidupnya serta keluarga apabila beliau bagaikan seperti diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan selepas mengalami kemalangan yang hampir meragut nyawanya.
Sesungguhnya peluang kedua yang diberi kepadanya digunakan sebaik mungkin untuk terus melakarkan kejayaan. Bakatnya tidak dipersiakan dan 1971 menyaksikan kepulangannya dalam bidang olahraga dengan mencipta rekod sukan Seap.
Kerana cintanya pada olahraga amat menebal, beliau meneruskan kerjayanya dalam olahraga dengan menyumbangkan baktinya melatih pelajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil dalam program pembangunan sukan.
“Program yang dibuat oleh kerajaan kini sudah mula menampakkan hasilnya pada sukan Sea Vietnam yang lalu apabila lima daripada lapan pemenang pingat emas adalah daripada program pembangunan sukan,” katanya yang pernah mewakili benua Asia di Jerman.
Sebagai nasihat 'orang lama' dalam bidang ini, bapa kepada dua cahaya mata ini berkata: "Gunakan peluang yang diberikan untuk berjaya kerana sukan memberi pelbagai kelebihan. Jangan cepat berpuas hati pada satu tahap seperti Sukan Sea, tapi berusaha ke tahap yang lebih tinggi."
DATA EpG
Ishtiaq Mubarak
Umur: 56
Asal: Melaka
Status: Berkahwin
Anak: Shahmiz, 16; Shahkira, 13 | Isteri Samini Abdullah
Kerjaya: Koordinator Pembangunan Majlis Sukan Negara
Pencapaian:
1966 - Sukan Asia Bangkok - pingat gangsa
1967 - Sukan Seap - Pingat gangsa Lompat kijang
1969 - Sukan Seap - Pingat emas 110m lari berpagar
1971 - Rekod baru Sukan Seap 110m lari berpagar.