Bayar 20 sen sejam sewa basikal



DISEBABKAN kedudukan rumah yang agak sukar dicari, saya dan jurugambar diminta menunggu di jalan luar Kampung Berembang, Ampang.

Tidak pun sampai dua minit kelibatnya sudah kelihatan dengan menunggang basikal BMX. Sungguh tidak percaya walaupun berusia 64 tahun yang sudah melebihi separuh abad itu tegap bergaya mengayuh basikal.

Susuk badan yang kecil membuatkan dirinya kelihatan seperti golongan remaja dan mungkin jika diajak berlumba beliau masih mampu untuk menamatkan perlumbaan. Beliau yang dimaksudkan ialah Rosli Kader atau juga dikenali dengan panggilan Na Rosli.

Jaguh lumba basikal negara ini yang berjaya melakarkan namanya seiring dengan jaguh pelumba negara yang lain seperti Ng Joo Ngan, adiknya Ng Joo Pang, Nordin Puteh, Shahrudin Jaafar dan Andrew Michael di waktu bintangnya bergemerlapan.

Sejarah hidupnya yang berjaya dalam lumba basikal menjadikan dua daripada lapan anaknya iaitu Nor Effendy dan Noor Azahar mengikut jejak langkahnya, bak kata pepatah Melayu, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Menurutnya beliau cuba untuk menghalang kedua-dua anaknya ini, tapi darah yang mengalir dalam tubuh dan bakat mereka dalam sukan berbasikal memang tidak dapat diubah.

“Saya lebih suka kalau Effendy main bola sepak sebab dia pernah berada dalam pasukan Selangor bawah 16 tahun tapi kemudiannya dalam diam-diam dia sudah pun membeli sebuah basikal, jadi saya dah tak boleh menghalang niatnya lagi untuk berkecimpung dalam dunia basikal ini,”katanya ketika ditemui di rumahnya kampung Berembang, Ampang Selangor.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejarah hidup pelumba negara ini serta bagaimana beliau mengutip pengalaman dalam acara berbasikal ini. Kerana minat yang mendalam dan hanya berbekalkan RM3 pada usia 14 tahun beliau mengayuh basikal daripada Kota Baharu, Kelantan ke Kuala Lumpur untuk menyertai pertandingan.

“Tiga hari baru saya sampai Kuala Lumpur, saya naik feri 12 kali, tidur di masjid dan surau, saya terpaksa buat macam tu, sebab di Kelantan waktu tu tak banyak pertandingan jadi keupayaan sebenar tak dapatlah diuji jika sering bersaing dengan pelumba yang sama,” katanya yang meminati acara lebuh raya.

Basikal yang mula digunakannya hanyalah basikal sewaan dengan harga 20 sen untuk satu jam, dan kemudian barulah datuknya membelikan sebuah basikal yang bernilai RM 300.

Bukan senang untuk mereka yang ingin berjaya dalam sukan berbasikal ini katanya disiplin sangat penting serta mempunyai mental yang kuat kerana pelumba basikal mesti bangun seawal 5 pagi untuk membuat latihan.

Beliau yang menamatkan bidang kerjaya ini pada usia 33 tahun berkata pelumba negara mempunyai potensi yang besar untuk lebih berjaya jika mereka diberi peluang yang sama menjalani seperti atlit-atlit lain di luar negara seperti eropah.

“Kalau pelumba muda negara ini diberi peluang saya percaya kemampuan mereka untuk pergi lebih jauh lagi kerana mereka ini berbakat besar, kita tengok saja pelumba luar negara mereka tetap mampu bergelar juara dan cuaca tidak pernah menjadi masalah yang penting ialah pendedahan,” katanya yang kini gemar menghabiskan masa dengan berkebun.

DATA EpG

NAMA: Rosli Abdul Kader
TARIKH LAHIR: Jun 1940
ASAL: kota Bahru Kelantan
ISTERI: Kamariah Shukor
ANAK: 6 lelaki dan 2 perempuan
KERJAYA: Mewakili negara tahun 1962 hingga 1973
KEJAYAAN:

  • 1962- Sukan Asia 100km berpasukan (pingat gangsa)
  • 1963- Sukan Komanwel di Australia 100km (pingat emas), 200km berpasukan (pingat gangsa)
  • 1964- Sukan Olimpik di Jepun
  • 1966- Sukan Asia di Thailand
  • 1967- Sukan Seap 100km berpasukan
  • 1970- 200km lebuh raya Asean (pingat gangsa)
  • 1971- Sukan Seap 100km (pingat perak)



  • Artikel lain:

    Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
    Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768