
NAMA legenda badminton 1970-an ini muncul kembali selepas negara memenangi emas dalam acara badminton wanita Sukan Sea Vietnam tahun lalu, kemenangan bersejarah di bandaraya Ho Chi Minh itu sekali gus menyingkap kembali detik 1977 - kali terakhir Malaysia meraih emas di Sukan Sea - 27 tahun lalu.
Tapi tidak ramai yang sedar, Sylvia Ng, nama besar dalam kamus badminton negara yang pernah menggegar dalam pelbagai pertandingan antarabangsa satu ketika dulu adalah pemain yang bertanggungjawab memahat rekod itu untuk sekian lama sebelum dapat disamakan generasi baru, Wong Mew Choo.
Mengimbas kembali rentetan sejarah kemenangannya, Sylvia pastinya tidak akan melupakan kemenangan ke atas seteru utama, Wirawati dari Indonesia dalam Sukan Sea 1977 Kuala Lumpur yang rekodnya terus kukuh terpahat di kamus badminton negara.

“Perlawanan akhir itu sangat menarik. Ketika itu kontinjen badminton sudah kalah dalam semua acara, perlawanan akhir acara perseorangan wanita itu adalah harapan terakhir dan saya adalah satu-satunya pemain negara yang tinggal bagi memastikan sebutir pingat emas dalam genggaman.
“Mereka memang harap saya dapat emas, jadi tekanan amat tinggi. Apatah lagi bermain di gelanggang sendiri,” kata Sylvia mengingati detik-detik bersejarah perlawanan berkenaan ketika dihubungi di Johor Bahru, baru-baru ini.
Kekalahan dalam acara berpasukan kepada musuh yang sama sebelum itu dijadikan iktibar kepada Sylvia supaya lebih berhati-hati tetapi Wirawati tetap dibuai keyakinan tinggi, apatah lagi mudah meratah pemain kelahiran Johor Bahru itu dalam dua set ketika acara berpasukan.
“Memang dia yakin boleh menang tapi saya juga sudah bersedia. Penonton pula semuanya memberikan sokongan kepada saya. Saya sendiri sudah tidak sanggup kalah lagi, cukuplah apa yang dialami dalam acara berpasukan,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Sylvia yang berumur 28 tahun berjaya membalas dendamnya apabila menang dalam pertarungan sengit tiga set dan penonton yang berada di Stadium Negara ketika itu semuanya berdiri untuk memberi penghormatan kepada beliau.
“Kejayaan itu bukanlah sesuatu yang mudah dicapai, segala penat lelah saya dalam latihan sudah berbayar,” katanya yang hanya berlatih bersama abang dan ayahnya di Johor sebelum Sukan Sea memandangkan beliau satu-satunya pemain negara yang berasal dari selatan tanah air.
Namun Sylvia bernasib baik kerana dua abangnya, Billie yang pernah mewakili negara dalam Piala Thomas 1967 dan Roland yang juga bekas pemain negara sudi menjadi rakan pelatih manakala ayahnya Ng Ngoh Yee sebagai jurulatih.
Sylvia yang bersara dan mengakhiri zaman bujangnya tidak lama selepas itu kini sudah berusia 54 tahun tetapi tetap mengharapkan pemain wanita negara akan lebih menyerlah di arena badminton antarabangsa setanding seteru seperti Indonesia dan China yang begitu mendo-
minasi.
Data EPG
SYLVIA NG
UMUR: 54 tahun
ASAL: Johor Bahru, Johor
SUKAN: Badminton
MULA WAKILI NEGARA: 1966 (berumur 16 tahun)
BERSARA: 1978
KERJAYA: Pegawai Kerani Kanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Johor Bahru
PENCAPAIAN:
1969 - Emas Sukan Seap di Rangoon
1973 - Emas Sukan Seap di Singapura
1977 - Emas Sukan Sea Kuala Lumpur
1978 - Emas Sukan Komanwel Montreal
ANUGERAH
Olahragawati Kebangsaan 1975 dan 1978
Pingat AMN daripada Yang di-Pertuan Agong pada 1982
Pingat PIS dari Sultan Johor 1978