

KEJAYAAN merangkul tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa dalam Sukan Sea Jakarta 1987 masih kekal dalam ingatan bekas pelumba basikal negara era 80-an dan 90-an, M Kumaresan yang nyata cukup gagah untuk menewaskan ramai pelumba handalan Asia Tenggara yang lain.
Kumaresan yang ketika itu berumur 20 tahun membuktikan dia mampu menewaskan ramai pelumba handalan lain seperti Nobelto dari Filipina serta jaguh dari Indonesia dalam tiga acara yang disertainya.
“Sukan Sea 1987 tidak akan luput dalam ingatan saya. Saya menyertai tiga acara dan menang tiga emas (perlumbaan mata, juara peringkat kedua dan individu keseluruhan jalan raya), dua perak dan dua gangsa,” katanya.
Bagi Kumaresan, lawan yang dihadapinya pada kejohanan dwi tahunan itu adalah lawan biasa yang selalu bersaing dengannya dalam mana-mana kejohanan tetapi kejayaan menewaskan mereka di Jakarta adalah yang paling sukar dilupakan.
“Kami sudah saling kenal mengenali sejak 1985 lagi. Ketika itu mereka lagi kuat dan saya hanya mampu dapat dua perak dalam penyertaan pertama. Saya masih dikira junior ketika itu dan hanya kayuh untuk acara berpasukan memandangkan ada ramai pelumba negara yang lebih baik seperti Ishak Amin,” katanya.

Di sebalik pencapaian yang membanggakan itu, pelbagai pengorbanan terpaksa dilakukan Kumaresan dan pemuda yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu tidak pernah mengenal erti susah dengan berusaha berkali ganda demi memastikan hasratnya mewakili negara tercapai.
“Jika ada latihan jam 4 petang, saya akan pastikan turun dulu berlatih bermula jam 2 petang, saya tidak beritahu kawan-kawan dan jurulatih, saya lakukan bersendirian supaya saya lebih bersedia kerana niat saya hanya untuk mewakili negara dan mendapat pingat emas.
“Latihan seperti itu sudah sebati dalam diri saya, ketika di tingkatan tiga, saya berkayuh sehingga 80 batu setiap hari, cuti pada Sabtu dan Ahad pula saya berkayuh sehingga 100 batu,” katanya yang mula wakili negara pada 1983 dalam Kejohanan Basikal Remaja di Paris.
Walaupun pelbagai kejayaan diraih sepanjang tujuh Sukan Sea yang disertainya, Kumaresan bagaimanapun tidak dapat melupakan kenangan pahit apabila gagal memenuhi harapan rakyat negara ini untuk memiliki emas pada Sukan Sea 1997.
“Kadangkala persembahan kita akan turun secara tiba-tiba dan saya sangat sedih ketika itu kerana gagal membawa pulang emas hinggakan ibu saya menyuruh saya berhenti dari sukan ini,” katanya yang mengambil keputusan untuk bersara tidak lama selepas itu ketika berusia 31 tahun.
Kini Kumaresan lebih bahagia menguruskan keluarga dan perniagaan kereta miliknya, MKS Auto di Klang selain turut terbabit dalam politik bersama MIC. Namun jauh di sudut hati dia tetap merindui sukan yang sudah menjadi sebahagian dari darah dagingnya itu.
Data EPG
KUMARESAN MURUGAYAN
TARIKH LAHIR: 13 Januari 1967
ASAL: Batu Pahat, Johor
STATUS: Berkahwin
ISTERI: R Stephanie Puvaneswary
ANAK: Soniyah (10 tahun), Teiaajman (8), Keischman (3)
ACARA:Perlumbaan mata, 4km kejar-mengejar individu (IP), ujian masa individu (ITT) dan lebuh raya
MULA BERGIAT: 1982
BERSARA: 1998 (selepas Sukan Komanwel XVI Kuala Lumpur '98)
KERJAYA: Pengarah Urusan MKS Auto
ANUGERAH: Olahragawan Kebangsaan 1987
PENCAPAIAN SUKAN SEA:
1985: 2 perak (4km IP dan 4km kejar-mengejar individu - TP)
1987: 3 emas (perlumbaan mata, juara peringkat kedua dan individu keseluruhan jalan raya), 2 perak dan 2 gangsa
1989: 3 emas (4kmIP, individu dan berpasukan lebuh raya)
1991: 2 emas (perlumbaan mata dan 4km IP)
1993: 1 emas (berpasukan lebuh raya)
1995: 1 gangsa (50 km ITT)
1997: 1 gangsa (perlumbaan mata)