
SETIAP kali terpandang dua pingat emas Sukan Asia, ia pasti mengembalikan memori indah buat Ku Halim Ku Musa. Kerana dua emas itu Malaysia akhirnya dapat menundukkan keegoan Thailand dengan menyapu bersih acara berpasukan dan regu yang pertama kali dipertandingkan di Sukan Asia 1990 Beijing.
Bergandingan dengan Norani Adnan sebagai tekong dan Raziman Hassan (killer), Ku Halim yang bertindak sebagai feeder membentuk gandingan mantap untuk mengekang barisan pemain Thailand yang diterajui raja tekong mereka, Pakdee Dangwattanapibul.
“Pada waktu itu takraw pertama kali dipertandingkan di Sukan Asia dan kita tidak begitu diberikan harapan tinggi kerana Thailand memang diakui kuat. Tapi kami sebagai pemain masih berkeyakinan untuk menang kerana pada kami kekuatan kita dan mereka adalah seimbang.
“Lagipun sebelum ke Sukan Asia, skuad negara sudah diberi latihan yang cukup kental dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi saingan pasukan Thailand,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurutnya, menjelang kejohanan itu mereka berlatih bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpangkalan di Lumut dengan memberi permulaan lima mata kepada lawan. Jika mata itu melebihi 10 bermakna pasukan negara akan tewas kepada pasukan ATM.
“Ditambah pula dengan sokongan padu kepada ATM, kami berada dalam tekanan untuk menang. Bagaimanapun, latihan secara begitu membantu kami untuk sentiasa peka terhadap perlawanan ditambah pula dengan suasana perlawanan yang bagaikan pertandingan sebenar,” katanya.
Bapa kepada lima cahaya mata ini berkata kejayaan menumpaskan Thailand pada waktu itu menyaksikan musuh tradisi itu memasang dendam membara untuk menundukkan Malaysia pula di Sukan Sea Manila, setahun kemudian.
“Walaupun kita tewas acara berpasukan di Filipina, tapi mereka tidak boleh mendabik dada kerana kita juga memenangi acara regu. Jadi, kira serilah,” katanya. Malaysia selepas itu gagal menyaingi kehebatan Thailand hinggalah ke hari ini apabila sering tumpas dalam kedua-dua acara itu di Sukan Sea.
Ku Halim yang pernah meraih gelaran Olahragawan Majlis Sukan Anggota Kerajaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini mengakui amat merindukan zaman kegemilangan pasukan sepak takraw di peringkat antarabangsa.
“Memang sudah lama kita tidak menyerlah. Sebagai pemain yang pernah mengecapi kejayaan, saya memang berharap zaman kegemilangan itu berulang,” katanya.
Justeru, beliau turut mengharapkan pemain kebangsaan sekarang supaya mengutamakan semangat berpasukan kerana ia penting dengan berbekalkan semangat yang kental, sebarang cabaran akan dapat diharungi.
Mengimbau kenangan pahit, Ku Halim yang masih aktif bergiat dalam sukan ini berkata dikecualikan daripada skuad negara pada saat-saat akhir kerana mengalami kecederaan, adalah antara memori pahitnya sepanjang pembabitkannya dengan pasukan kebangsaan.
Ketika diajukan soalan mengenai perkembangan sepak takraw negara kini beliau berharap minat golongan muda dalam sukan ini harus diterapkan agar lebih ramai golongan muda berminat menceburi sukan tradisi itu.
Data EPG
KU HALIM KU MUSA
ASAL: Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 21 Januari 1969
PENCAPAIAN: Mewakili negara di Sukan Asia dan Sea
PENCAPAIAN TERBAIK: Dua pingat emas di Sukan Asia 1990 Beijing.
BILANGAN ANAK: 5 orang.
PEKERJAAN: Juruteknik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur