Ferguson bina tiga pasukan hebat dalam tempoh 22 tahun di Old Trafford
SIR Alex Ferguson sudah mula memikirkan masa depan ketika meraikan kemenangan bersejarah pada awal pagi Khamis di Stadium Luzhniki.
Pengurus Manchester United itu baru saja memenangi kejuaraan keduanya, ketiga bagi kelab itu, dalam Liga Juara-Juara Eropah, tetapi tidak dapat disangkalkan lagi pengendali berusia 66 tahun itu tidak mahu pemainnya bersenang-lenang.
Sesudah meraih kejuaraan sebenua mengalahkan Chelsea menerusi sepakan penalti sesudah terikat 1-1, cabarannya kini adalah untuk mempertahankannya.
“Saya berasa bangga, terlalu, teramat bangga,” kata Ferguson. “Kadang-kadang anda perlu mencubit diri anda, tetapi kami tidak perlu terbawa-bawa dengannya. Esok saya akan memikirkan mengenai musim depan.
“Perasaan gembira itu hampir lenyap. Saat sepakan penalti diselamatkan Edwin van der Sar, itulah masanya, rasa gembira yang amat sangat, kemudian anda hanya terus menyambung kehidupan.”

Selepas 34 tahun sebagai pengurus, beliau masih dahagakan kejayaan yang diibaratkannya sebagai ‘mencipta dadah’. Jurulatih berbangsa Scotland itu memulakan kerjayanya sebagai pengurus, pada usia 32 tahun, dengan East Stirlingshire, dan beliau kelihatan tidak mahu berhenti dalam tempoh terdekat.
Ferguson diminta oleh isterinya untuk keluar daripada persaraan pada 2002 - dan lihatlah hasilnya yang mana beribu-ribu penyokong yang hadir di Moscow pasti terhutang budi kepada Cathy sekarang.
Hanya tiga tahun lalu segelintir penyokong memintanya melepaskan jawatannya itu. Arsenal juara liga ketika itu dengan aksi serangan yang dibanggakan United, manakala Chelsea dan pengurus muda Jose Mourinho, diperkukuhkan dengan kekayaan Roman Abramovich, sudah mula mengembangkan kelab itu sebagai kuasa besar bola sepak Inggeris.
Tiba-tiba persoalan dilontarkan mengenai Ferguson, taktik yang diamalkannya dan pilihan pemainnya.
Betapa pengkritiknya sudah salah sekarang. Daripada serpihan kempen 2005-06, apabila United kalah lapan mata di belakang juara dua kali berturut-turut Chelsea, sebuah lagi pasukan hebat berkembang - tidak dapat dinafikan lebih bagus daripada skuad yang memenangi tiga kejuaraan pada 1999.
Sejak 22 tahun beliau berada di Old Trafford, Ferguson sudah membentuk tiga pasukan hebat: juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 1993 dan 1994 yang menamatkan kemarau 26 tahun kelab itu; skuad yang membawa pulang Piala Eropah ke Old Trafford buat kali kedua pada 1999; dan kini generasi baru yang mungkin mampu mengatasi pencapaian sebelumnya.
Pemain sudah berubah tetapi pengurus kekal sama. Dalam zaman yang menuntut kejayaan segera, keupayaannya untuk bertahan lama amat mengagumkan. Sudah suku abad sejak pengendali berasal dari Glasgow itu mengecapi kejayaan Eropah - Piala Antara Juara bersama Aberdeen pada 1983.
Tuah berada di samping Ferguson apabila pasukannya bangkit daripada ketinggalan dan menjaringkan dua gol pada masa kecederaan untuk mengalahkan Bayern Munich pada 1999; dan di Moscow beliau mengakui turut bertuah apabila John Terry tergelincir dan gagal menyumbat sepakan penalti sekali gus membuka peluang semula buat United untuk menang.
Bagaimanapun, Ferguson, sebenarnya mencipta tuah dengan membina dan menekankan betapa pentingnya akademi belia di Old Trafford sejak 1986 di samping mewujudkan jaringan pencarian bakat.
David Beckham, Gary Neville, Paul Scholes dan Ryan Giggs - satu-satunya pemain yang tampil dalam semua 10 kejuaraan Inggeris milik Ferguson - adalah antara hasil daripada usaha itu.
“Pemain seperti Scholes, Giggs dan Neville, bukanlah dilahirkan secara tiba-tiba tetapi mereka sudah berada lama di sini,” kata Ferguson. “Mereka sedar apa maksudnya bola sepak profesional dan apa juga maknanya Manchester United.”
FAKTA
STATISTIK MAN UTD
(Dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini)
Gol pertama: Cristiano Ronaldo mln Sporting Lisbon (19 September 2007)
Gol terakhir: Cristiano Ronaldo mln Chelsea (21 Mei 2008)
Gol terbanyak: Cristiano Ronaldo (8 gol)
Jumlah penjaring gol: 6
Gol babak pertama: 11
Gol babak kedua: 9
Gol dijaringkan pemain gantian: 2
Kad kuning pertama: Nani mln Sporting Lisbon (19 September 2007)
Kad kuning terakhir: Carlos Tevez mln Chelsea (21 Mei 2008)
Paling banyak kad kuning: Patrice Evra, Owen Hargreaves, Nani, Cristiano Ronaldo (2 kad)
Penalti dimenangi: 2
Penalti dilepaskan: 1
Penampilan terbanyak: 12 - Michael Carrick (11 kesebelasan utama, 1 pemain gantian), Carlos Tevez (6 kesebelasan utama, 6 pemain gantian)
Paling lama dalam padang: Rio Ferdinand (1,020 minit)
Penampilan pemain gantian terbanyak: Carlos Tevez (6)
Pemain gantian pertama: Louis Saha menggantikan Wayne Rooney mln Sporting Lisbon (19 September 2007)
Pemain gantian terakhir: Anderson buat Wes Brown mln Chelsea (21 Mei 2008)
Jumlah pemain digunakan: 26
Kemenangan terbesar: 4-0 mln Dynamo Kyiv (7 November 2007)
Penonton terbanyak gelanggang sendiri: 75,521 mln Olympique Lyon (4 Mac 2008)
Penonton terbanyak gelanggang lawan: 95,949 mln Barcelona (23 April 2008)