Kemenangan anak buah Ferguson hanya dimiliki pada hari terakhir
TROFI Liga Perdana Inggeris (EPL) kekal di Old Trafford buat sekurang-kurangnya semusim lagi.
Manchester United bagaimanapun dipaksa bertungkus-lumus hingga ke hari terakhir pertandingan sebelum mengesahkan kejuaraan ke-10 milik pengurus disegani, Sir Alex Ferguson.
Pasukannya berjaya mengekang cabaran Chelsea yang bangkit pada penghujung musim tetapi ketika lawan hanya mampu seri 1-1 dengan Bolton Wanderers, United mampu tersenyum megah dengan kemenangan bergaya 2-0 ke atas Wigan.
United memulakan perlawanan hari terakhir di Wigan terikat mata kutipan dengan Chelsea menyedari kemenangan sudah cukup buat mereka untuk mengekalkan kejuaraan menerusi perbezaan gol yang besar.
Jaringan Cristiano Ronaldo, gol ke-31 buatnya dalam aksi liga musim ini, dan pemain gantian Ryan Giggs membolehkan mereka mempertahankan kejuaraan tatkala kelab dari London itu hanya mampu seri dengan Bolton di gelanggang sendiri.
“Jika kami tumpas dalam persaingan merebut kejuaraan liga, pasti ia satu tamparan paling hebat,” akui Ferguson.
“Saya sudah katakan sebelum perlawanan bahawa saya tidak peduli mengenai rekod,” kata pengendali berusia 66 tahun itu.

Jurulatih berbangsa Scotland itu bagaimanapun merasakan kelompok pemainnya sekarang mampu memenangi satu lagi kejuaraan liga dan menyamai rekod 18 kejuaraan milik Liverpool dalam liga terulung itu.
“Saya rasa ia akan berlaku juga nanti. Pasukan ini masih muda - ia berkembang setiap masa. ia adalah sebuah pasukan muda yang bagus dan mereka masih banyak masa untuk memperagakan aksi. Mereka mampu mengulanginya lagi.”
Giggs, yang memenangi kesemua 10 kejuaraan di bawah tampuk pimpinan Ferguson, berkata: “Saya rasa kami memang berhak memenangi kejuaraan musim ini. Trofi amat bermakna buat saya.”
Pemain berusia 34 tahun itu juga menyamai rekod Sir Bobby Charlton tampil sebanyak 758 perlawanan buat Red Devil selepas masuk sebagai pemain gantian menentang Wigan.
Namun, di sebalik memiliki sebuah pasukan yang kental, United sebenarnya terlalu banyak berterima kasih kepada sumbangan pemain sayap Portugal, Ronaldo, personaliti penting menjurus kejuaraan kali ini.
Ronaldo begitu penting buat Ferguson kerana kelincahannya mampu mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan tetapi dia juga mampu meledakkan jaringan memastikan kemenangan buat United. Sering kali dia menjadi penyelamat ketika rakan serangan kebuntuan jaringan.
Begitu juga penyerang lincah Argentina, Carlos Tevez yang menyumbang 14 daripada 80 gol United sepanjang musim. Jika Ronaldo kebuntuan, giliran Tevez membuktikan dirinya berharga selepas perpindahan dari West Ham pada awal musim.
Namun, Ferguson menyedari saingan sengit bakal dihadapinya musim depan ketika pencabarnya, Chelsea, Arsenal dan Liverpool mampu bangkit menghadirkan ancaman besar.
Sementara itu, Portsmouth, yang dikendalikan Harry Redknapp mencipta sejarah menjuarai Piala FA menundukkan kelab kerdil, Cardiff 1-0 pada final di Stadium Wembley menerusi jaringan tunggal penyerang Nigeria, Nwankwo Kanu pada minit ke-37.
Kemenangan itu membolehkan mereka beraksi di Eropah musim ini, sesuatu yang belum pernah dilakukan, bertanding dalam Piala Uefa.
PENJARING TERBANYAK
31 gol - Cristiano Ronaldo (Manchester United)
24 - Emmanuel Adebayor (Arsenal), Fernando Torres (Liverpool)
19 - Roque Santa Cruz (Blackburn Rovers)
15 - Benjani Mwaruwari (Manchester City), Yakubu Aiyegbeni (Everton), Robbie Keane (Tottenham Hotspur), Dimitar Berbatov (Tottenham Hotspur)
14 - Carlos Tevez (Manchester United)
13 - John Carew (Aston Villa)
12 - Wayne Rooney (Manchester United), Steven Gerrard (Liverpool), Jermain Defoe (Portsmouth)
11 - Gabriel Agbonlahor (Aston Villa), Michael Owen (Newcastle United), Nicolas Anelka (Chelsea)
10 - Frank Lampard (Chelsea), Dean Ashton (West Ham), Dave Kitson (Reading)