Bakat saja belum cukup buat skuad kendalian Arogones untuk ungguli Euro 208
KETIKA Sepanyol bertemu Itali pada perlawanan persahabatan Mac lalu, ia menghadirkan pertemuan penuh dengan budaya bola sepak, kewujudan sempurna setiap perkara berkaitan bola sepak Sepanyol.
Namun pada masa sama ia juga memaparkan kewujudan segala-galanya yang tidak betul mengenai bola sepak negara itu, satu peringatan terhadap apa yang gagal dicipta skuad kebangsaan negara itu.
Akhbar negara itu memaparkan tajuk utama “tiki-taka” (frasa tepat mengenai corak permainan hantaran dan bergerak Sepanyol menentang bola sepak ‘catenaccio’. Satu lagi tajuk menggambarkannya sebagai “yang cantik bertemu yang buruk”.
Penguasaan bola, hantaran yang licik, menentang kekukuhan dan tiada berhati perut pasukan Itali; kesenian, bola sepak menyerang menentang jaguh bertahan; inspirasi menentang keringat.
“Ramai menganggap kami sebagai Brazil Eropah,” kata seorang kolumnis dan menambah, “bukan kerana pantai kami tetapi kerana bola sepak kami.” Penjaga gol, Iker Casillas berkata: “Mereka menghormati gaya permainan kami.”
Sepanyol bangkit selepas permulaan bermasalah dalam kempen kelayakan - kecundang di tangan Sweden dan Ireland Utara - dan mula bangkit dengan permainan bergaya untuk berjaya dalam beberapa perlawanan terakhir.
Kemenangan hebat di gelanggang lawan ke atas Denmark dan di gelanggang sendiri menentang Sweden bermakna mereka sudah melayakkan diri sebelum perlawanan terakhir kelayakan, dan kemenangan di gelanggang sendiri ke atas Ireland Utara memastikan mereka sebagai juara kumpulan.

Jurulatih Luis Aragones menekan daripada segi keupayaan teknikal, hanya beberapa negara mampu menyaingi bakat Sepanyol. Dan beliau menambah, pasukannya mesti bermain selaras dengan kekuatan mereka.
Akhirnya wujud formasi 4-3-3 (atau 4-5-1, bergantung kepada tafsiran anda mengenai tambahan dua penyerang) yang membolehkannya menyenaraikan kesemua pemain tengah dan mereka masih mengawal pertahanan.
Tugas itu mungkin diambil pemain Villarreal kelahiran Brazil yang memiliki pasport Sepanyol, Marcos Senna (dengan Xabi Alonso satu lagi pilihan) kerana David Albelda disingkirkan oleh Valencia dan tidak mungkin mampu memberi saingan.
Kawalan Senna membolehkan kemasukan Xavi Hernandez dan Francesc Fabregas di bahagian tengah, sekalipun Fabregas belum mampu menghasilkan prestasi dengan Arsenal buat pasukan Sepanyol.
Di bahagian depan Andres Iniesta dan David Silva atau rakan sepasukan di Valencia, David Villa mungkin akan beraksi di samping Fernando Torres.
Jika ia menjadi, keputusannya amat membanggakan, tetapi wujud juga kebimbangan. Aragones sudah lama gagal membentuk semangat juang dalam pasukan kebangsaan dan menghabiskan banyak masa selepas perlawanan dengan Itali (Sepanyol menang 1-0) dengan menegaskan pasukannya masih “perlu banyak belajar” daripada lawan mereka, bahawa mereka perlukan sentuhan kecemerlangan, bahawa apa yang penting dan diambil kira dalam bola sepak adalah kemenangan.
Kebimbangannya berasas kerana bahagian tengahnya belum begitu berfungsi sebaik mungkin manakala benteng pertahanan kelihatan lemah dengan Carlos Marchena di samping Carles Puyol.
Beliau juga berdepan permintaan media yang mahukan kemasukan Raul Gonzales, sekalipun keputusan yang dicapai agak baik tanpanya. Bakat memang ada, tetapi masih ada keraguan.
Seperti biasa, Sepanyol hadir ke satu kejohanan dengan kepercayaan mereka boleh memenanginya tetapi bimbang mereka tidak mampu.