Misi hidup mati Chelsea



Pertemuan dengan United Sabtu ini mampu tentukan juara EPL

MISI sebenar Chelsea Sabtu ini bukannya sekadar untuk mempertahankan rekod hebat di gelanggang sendiri sebaliknya menjurus kepada menafikan usaha pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United mempertahankan kejuaraan mereka.

Namun ia bukannya mudah tatkala pengurus United sendiri, Alex Ferguson sudah tidak sabar untuk menamatkan rekod Chelsea di Stamford Bridge yang sekali gus mampu secara kasarnya memastikan kejuaraan buat Red Devils.

United lega satu mata di Blackburn hujung minggu lalu apabila tandukan Carlos Tevez menyamakan kedudukan dua minit sebelum tamat bagi memadamkan gol pendahuluan Roque Santa Cruz pada minit ke-21.

Anak buah Ferguson akan bertandang ke Stamford Bridge Sabtu ini dengan sasaran untuk memusnahkan rekod cemerlang tuan rumah di stadium itu, yang bermegah dengan rekod tanpa kalah sejak Februari 2004.

Jika mereka mampu melaksanakan tugas itu, pengurus United, yang pasukannya mendahului Blues dengan perbezaan tiga mata ketika musim berbaki tiga perlawanan sahaja lagi, percaya kejuaraan menjadi milik mereka.

“Kami perlu memikirkan mengenai kemenangan di Chelsea. Saya sedar mereka tidak kalah di sana kira-kira 100 perlawanan, tetapi ia memang mungkin begitu. Rekod memang untuk dipecahkan,” katanya.


Pengurus Blackburn, yang pernah beraksi buat kedua-dua pasukan United dan Chelsea, enggan berbicara pasukan mana yang memiliki kelebihan.

“Chelsea perlu mengalahkan United. Ia adalah perlawanan genting. United perlu hilang beberapa mata lagi dan mereka juga kehilangan beberapa mata menentang kami,” katanya.

“Siapa yang boleh kata mereka tidak akan kehilangan beberapa mata dari sekarang? Chelsea kini memiliki peluang untuk menekan United dan kita harus tunggu dan lihat apa yang akan berlaku.”

Chelsea berjaya merapatkan jurang dengan United selepas mengatasi Everton 1-0 minggu lalu menerusi jaringan kemenangan bintang Ghana, Michael Essien, dan kini perlu memenangi kesemua baki perlawanannya jika mahu menang kejuaraan liga kali ketiga dalam tempoh empat musim.

Tidak hairan pertahanannya, Ricardo Carvalho percaya kelab London itu berupaya memenangi kejuaraan sesudah mempamerkan karektor dalam perlawanan kebelakangan ini.

“Kami perlu terus memperagakan karektor dan membuktikan bahawa masih ada kemungkinan buat kami untuk memenangi kejuaraan.

“Kami perlu menang sesuatu, satu trofi kini amat penting buat kami dan kami masih berada di landasan yang baik untuk merealisasikannya,” katanya.

Anak buah Avram Grant pasti tampil bergaya selepas kempen separuh akhir Liga Juara-Juara dengan memiliki kelebihan rehat 24 jam berbanding lawan mereka yang turut bersaing di peringkat sama menentang kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

PENJARING TERBANYAK

28 - Cristiano Ronaldo (Manchester Utd)

22 - Fernando Torres (Liverpool)

21 - Emmanuel Adebayor (Arsenal)

16 - Roque Santa Cruz (Blackburn Rovers)

15 - Dimitar Berbatov (Tottenham Hotspur)

14 - Robbie Keane (Tottenham Hotspur), Benjamin Mwaruwari (Manchester City)

13 - Yakubu Aiyegbeni (Everton), Carlos Tevez (Manchester Utd)

12 - Jermain Defoe (Portsmouth), John Carew (Aston Villa)

11 - Wayne Rooney (Manchester Utd), Steven Gerrard (Liverpool), Nicolas Anelka (Chelsea)

10 - Michael Owen (Newcastle Utd), Gabriel Agbonlahor (Aston Villa), Frank Lampard (Chelsea)


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768