Les Bleus pasti jadi pilihan



Skuad Domenech miliki setiap ramuan diperlukan muncul juara Euro 2008

TUMPAS satu perlawanan kelayakan di tangan pasukan kurang bergaya Scotland mungkin dilihat sebagai satu kebetulan. Namun kalah dua kali mampu ditafsirkan sebagai tanda kelemahan. Namun ketika dua perlawanan itu jelas mahu dilupakan Perancis, kita harus melihatnya dari sudut positif.

Perancis layak agak selesa ke pusingan akhir Euro 2008, dengan berbaki satu perlawanan berikutan kemenangan juara kumpulan Itali ke atas Scotland di gelanggang lawan. Kritik apa sahaja terhadap jurulatih Raymond Domenech, tetapi beliau melaksanakan tugasnya dengan bagus.

‘Les Bleus’ membenarkan hanya tiga gol dibolosi dalam 11 perlawanan sebelum seri 2-2 dengan Ukraine pada hari terakhir kelayakan, dan mereka menjaringkan 25 gol, tiga gol lebih daripada Itali, yang mana mereka meraih empat mata.

Oleh kerana Azzurri adalah juara dunia, sesudah menundukkan Perancis pada final di Berlin, ia dilihat sebagai satu kempen yang amat memuaskan.

Apa yang menarik adalah Domenech lebih gemar mengambil risiko sepanjang kempen kelayakan. Beliau mengurus pasukannya bukan sekadar untuk memastikan mereka layak tetapi memikirkan mengenai pusingan akhir, membentuk pasukan yang mampu bersaing hebat di Austria dan Switzerland Jun ini.

Ada beberapa keputusan yang diambil agak ‘kejam’, tetapi pengendali berusia 55 tahun itu tidak malu melakukannya.

Paling ketara penyingkiran David Trezeguet sebagai penyerang pilihan utama. Sekalipun penyerang Juventus itu beraksi kemas dalam Serie A, Domenech tidak lagi percaya dia mampu membentuk gandingan hebat di samping Thierry Henry.

Ketika tempat Henry terjamin - terutama sesudah melepasi rekod jaringan terbanyak antarabangsa milik Michel Platini ketika kelayakan dan menjaringkan 44 gol - Domenech lebih percaya dengan ‘budak jahat’ Nicolas Anelka dan penyerang meningkat naik Lyon, Karim Benzema sebagai gandingan berpotensi. Kedua-duanya kini cemerlang di bawah jurulatih itu.

Benzema berusia 20 tahun Disember lalu dan Domenech tidak keberatan memberi peluang kepada pemain muda. Perancang Marseille, Samir Nasri, penyerang Lyon, Hatem Ben Arfa dan dua pemain Arsenal, Lassana Diarra dan Abou Diaby juga diberi peluang, dan mereka berusia di bawah 22 tahun.

Menambah kejutan itu, pemilihan Sidney Govou dari Lyon dan Jerome Rothen (Paris St Germain) pada ketika tidak ramai percaya mereka mampu menggalas cabaran antarabangsa lagi, membuktikan betapa Domenech jurulatih yang tegas dengan tanggapannya dan suka membuatkan pemainnya dan media tertanya-tanya.

Berdasarkan kepada apa yang kita lihat Perancis sejak pusingan akhir Piala Dunia 2006, mereka memang berhak hadir di Euro 2008 sebagai satu daripada pasukan pilihan, terutamanya mereka tidak mungkin berdepan pasukan yang bertahan dengan 10 orang serta membuang bola seperti Scotland.

Perancis diundi dalam Kumpulan C dan beraksi di Zurich dan Berne dengan Itali sekali lagi menjadi penghalang, Belanda dan juga Romania pada pusingan akhir nanti.

‘Les Bleus’ sudah memantapkan bahagian serangan dan tengah. Hanya pertahanan boleh dipersoalkan. Mampukah Lilian Thuram - tonggak pertahanan pasukan itu sepanjang kempen kelayakan - berupaya menghasilkan persembahan bermutu tinggi yang diperlukan dalam tempoh tiga bulan lagi? Bolehkah William Gallas mengesahkan dirinya sebagai wira sebenar di kancah antarabangsa? Dan adakah Claude Makelele berterusan menawarkan kawalan ke atas empat benteng yang menyaksikan mereka sukar ditembusi sejak akhir-akhir ini?

Domenech terbukti berkelayakan untuk menjawab kesemua persoalan itu.

Beliau memiliki begitu ramai pemain berbakat - kita belum lagi menyentuh pemain seperti Franck Ribery, Patrick Vieira, Florent Malouda, Gregory Coupet, Patrice Evra, Jeremy Toulalan dan Eric Abidal - jadi tidak hairan Perancis mampu bergelar juara Julai depan.

INFO

SKUAD PERANCIS


Penjaga gol:

Gregory Coupet (Lyon), Sebastien Frey (Fiorentina), Mickael Landreau (Paris St Germain), Ulrich Rame (Bordeaux).

Pertahanan:

Eric Abidal (Barcelona), Francois Clerc (Lyon), Julien Escude (Sevilla), Patrice Evra (Manchester Utd), William Gallas (Arsenal), Philippe Mexes (Roma), Bakary Sagna (Arsenal), Sebastian Squillaci (Lyon), Lilian Thuram (Barcelona).

Tengah:

Abou Diaby (Arsenal), Alou Diarra (Bordeaux), Lassana Diarra (Arsenal), Claude Makelele (Chelsea), Florent Malouda (Chelsea), Samir Nasri (Marseille), Franck Ribery (Bayern Munich), Jerome Rothen (Paris St Germain), Patrick Vieira (Inter Milan).

Serangan:

Nicolas Anelka (Chelsea), Hatem Ben Arfa (Lyon), Karim Benzema (Lyon), Djibril Cisse (Marseille), Sidney Govou (Lyon), Thierry Henry (Barcelona).

Tahukah Anda?

  • Perancis terbabit dalam kesemua 13 pertandingan Kejohanan Eropah Uefa setakat ini. Sehingga berakhirnya kelayakan Euro 2008, mereka beraksi 117 perlawanan, menang 67, seri 29, kalah 21, 236 gol dijaringkan dan 109 gol dibolosi.

  • Sebelum membelasah Azerbaijan 10-0 pada 6 September 1995 di Auxerre, rekod kemenangan terbesar Perancis hadir dalam perlawanan sulung kejohanan mengalahkan Greece.

  • Perancis kecundang 5-1 di tangan Yugoslavia pada suku akhir Kejohanan Eropah 1968. Hingga kini, keputusan itu adalah kekalahan terbesar mereka dalam kejohanan itu.


  • Artikel lain:

    Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
    Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768