
KEPANTASAN melepasi benteng lawan memikat
hati panel pemilih.Pemain Terbaik Asia kini jadi buruan kelab ternama Liga Inggeris
KEJAYAAN kapten dan penyerang utama Arab Saudi, Yasser Al Qahtani dinobat sebagai Pemain Terbaik Asia baru-baru ini, membuka pintu buatnya untuk berkelana ke England apabila kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea menjemputnya untuk menghadiri ujian pemilihan selama dua minggu di London.
Ia adalah sebahagian daripada komitmen kerjasama kelab gergasi Inggeris itu bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), yang membolehkan pemain terbaik benua Asia diberi peluang pendedahan bersama Chelsea.
Namun, bagi Yasser dia menyedari bukan mudah untuk merebut tempat di Eropah, apatah lagi hakikat kebanyakan pemain dari negara Arab sukar meraih kejayaan di Eropah.
“Kebanyakan pemain Arab sukar melakukan impak di Eropah, tetapi saya yakin dan sedar saya perlu melipatgandakan usaha untuk memecah tradisi itu supaya berada sebaris bersama pemain elit dunia.
YASSER (kiri) bersama
Nashat Akram
dari Iraq.“Saya juga sudah mempunyai beberapa tawaran, tetapi saya harus meneliti dulu tawaran itu dan berbincang bersama ejen dan pihak pengurusan kelab saya, Al Hilal sebelum membuat keputusan terbaik bagi masa depan saya,” kata Yasser.
Jika berjaya mendapat tempat di Chelsea, dia bakal menjadi pemain kedua negaranya selepas Sami Al-Jaber untuk beraksi di England. Namun, Sami yang beraksi bersama Wolverhampton Wanderers pada 2001, tidak bertahan lama di negara itu dan terus kembali ke Arab Saudi selepas gagal menyesuaikan diri.
Yasser memulakan karier bersama kelab Al-Qadisiya sebagai pemain skuad belia pada tahun 2000, tiga tahun kemudian berjaya diserapkan ke skuad utama ketika berusia 21 tahun.
Penyerang berbisa itu kemudian berhijrah ke kelab gergasi Arab Saudi, Al Hilal pada tahun 2005, dengan wang perpindahan bernilai AS$5.3 juta (RM17.5 juta). Selepas perpindahan ke Al Hilal, Yasser terus mempamerkan peningkatan di peringkat antarabangsa bersama Arab Saudi.
Yasser menjaringkan satu gol pada Piala Dunia 2006 di Jerman, ketika membantu Arab Saudi seri 1-1 dengan Tunisia, dan kemudian muncul penjaring terbanyak bersama pada Piala Asia 2007 dengan empat gol selain membantu pasukannya muncul naib juara.
Dalam 54 penampilan antarabangsa buat Arab Saudi, Yasser sudah berjaya menjaringkan 44 gol yang juga membolehkannya berada di ranking keenam, Penjaring Gol Dunia 2007 yang dikeluarkan Persekutuan Sejarah dan Statistik Bola Sepak Antarabangsa.
Kelebihan pemain kelahiran Al Khubar itu ialah kepantasannya dalam kawasan lawan, selain kemampuannya untuk kerap menjaringkan gol pada waktu pasukannya amat memerlukannya melakukan jaringan.
Pemain itu juga mempunyai karektor di dalam padang, dan ia jelas sesuai dengan peranannya sebagai kapten skuad negaranya. Dalam pertemuan getir berdepan Indonesia pada Piala Asia, Yasser memainkan peranan penting membantu pasukannya menang 2-1 yang mencerahkan peluang ke suku akhir.
Yasser disifatkan sebagai penyerang bintang yang diwarisi Arab Saudi, sebelum ini negara Arab itu pernah berbangga dengan kelibat Sami, Saeed Owairan pada pertengahan dan lewat 90an, dengan sebelum itu Majed Abdullah yang dikenali sebagai Pele Padang Pasir menjadi sandaran negara itu.
DATA
YASSER AL QAHTANI
Tarikh Lahir: 10 Oktober 1982
Tempat Lahir: Al Khubar, Arab Saudi
Tinggi: 1.77 meter
Berat: 72 kg
Nama jolokan: “Sniper”, Robin Hood
Kelab: Al Qadisiya (2000-2005), Al Hilal (2005-sekarang)
Nombor jersi: 20
Posisi: Penyerang
Cap Antarabangsa: 54 cap buat Arab Saudi
Gol Antarabangsa: 44 gol
Mula mewakili negara: 2002
SENARAI PEMAIN TERBAIK ASIA 1988-2007
Tahun Pemain Negara Kelab
1988 Ahmed Radhi Iraq Al-Rasheed
1989 Kim Joo-sung Korea Selatan Daewoo Royals
1990 Kim Joo-sung Korea Selatan Daewoo Royals
1991 Kim Joo-sung Korea Selatan Daewoo Royals
1992 Tiada anugerah
1993 Kazuyoshi Miura Jepun Verdy Kawasaki
1994 Saeed Owairan Arab Saudi Al-Shabab
1995 Masami Ihara Jepun Yokohama Marinos
1996 Khodadad Azizi Iran Bahman
1997 Hidetoshi Nakata Jepun Bellmare Hiratsuka
1998 Hidetoshi Nakata Jepun Perugia
1999 Ali Daei Iran Hertha Berlin
2000 Nawaf Al Temyat Arab Saudi Al-Hilal
2001 Fan Zhiyi China Dundee
2002 Shinji Ono Jepun Feyenoord
2003 Mehdi Mahdavikia Iran Hamburg SV
2004 Ali Karimi Iran Al-Ahli
2005 Hamad Al-Montashari Arab Saudi Al-Ittihad
2006 Khalfan Ibrahim Qatar Al-Sadd
2007 Yasser Al Qahtani Arab Saudi Al-Hilal