Muncul juara Piala Asia tewaskan Arab Saudi 1-0 beri harapan pada negara yang berpecah akibat perang
IRAQ menerbitkan saat mengharukan dalam sukan dengan memenangi Piala Asia 2007 dengan kejayaan 1-0 ke atas Arab Saudi dalam perlawanan akhir Ahad lalu, menjadi penyuluh harapan kepada negara yang berpecah akibat perang.
Skuad yang dihimpun bersama secara tergesa-gesa dan sementara daripada semua pelusuk Teluk, dengan pemainnya dipisahkan oleh perbalahan etnik dan fahaman, bagaimanapun mampu menerbitkan kejayaan luar biasa berdepan semua rintangan.
Dan ia bukannya kejayaan bersandarkan kepada nasib. Iraq mendominasi perlawanan akhir menentang pasukan pilihan Arab Saudi, juara tiga kali Piala Asia.
Sebaik wisel penamat, ketua pasukan dan penjaring gol Younis Mahmoud memecut di tengah padang bersama-sama rakan sepasukan sebelum mereka bersama-sama terbaring berpeluk, bergembira dengan kemenangan mereka.
Saya mempunyai kepercayaan dalam diri saya bahawa kami mampu melakukan sesuatu hari ini, kata jurulatih Iraq dari Brazil Jorvan Vieira, yang kemudian mengumumkan peletakkan jawatannya. Saya datang ke sini untuk menang dari mula kerana saya tidak suka kalah.
Pemain saya mempunyai banyak keyakinan dan begitu yakin. Mereka mahu meraih kejayaan ini untuk diri, rakyat dan negara mereka, katanya.
Iraq bermula garang dan Mahmoud hampir menjaringkan gol dalam minit kelapan apabila sepakan guntingnya dari sebelah kanan hanya sedikit tersasar.

Pertengahan babak pertama, Karrar Jassim Mohammed hampir memecahkan kebuntuan buat Iraq apabila dia menewaskan dua pertahanan lawan ketika diasak di tepi garisan, dan rembatan kencangnya dari sudut sukar, memaksa penjaga gol Saudi Yasser Al Mosailem untuk menjatuhkan badan menyelamatkan keadaan.
Arab Saudi akhirnya melakukan gerakan merbahaya pada minit ke-44 apabila bintang penyerang Yasser Al Qahtani meluru ke arah gol tetapi rembatannya tinggi melewati palang.
Iraq memulakan babak kedua menunjukkan banyak inisiatif berbanding barisan Saudi yang tampak bingung dengan kegagalannya untuk menguasai permainan dan mengatur gerakan merbahaya.
Tetapi Arab Saudi memperoleh peluang pertama pertengahan babak kedua, dengan rembatan jarak jauh Taisir Al Jassam memaksa tindakan cantik penjaga gol Iraq Noor Sabri, menyelamatkan keadaan.
Kemudian pada minit ke-72 hadir gol yang akan tersemat dalam lagenda bola sepak Iraq. Sepakan percuma Hawar Mulla Mohammed dilayangkan tinggi ke penjuru gawang.
Penjaga gol Arab Saudi Al Mosailem keluar dari posisi untuk memintas bola dan menghayun tangan ttanpa menyentuhnya, memberikan peluang mudah kepada Younis yang tidak dikawal untuk menanduk masuk ke dalam gawang.
DATA
Younis Mahmoud
Posisi: Penyerang/Kapten
Kelab: Al Gharafa (Qat)
Tarikh Lahir: 2 Mac 1984
Umur: 24
Tinggi: 1.86m
Berat: 80kg
Younis Mahmoud memulakan kariernya pada 1997 di Al Dibs sebelum berpindah ke Kirkuk kelab gergasi Baghdad Al Talaba. Calon Pemain Muda Terbaik AFC 2003 itu menyertai kelab UAE Al Wahda atas pinjaman sebelum dipindahkan ke kelab Qatar Al Khor, di mana dia memenangi Piala Putera Mahkota pada 2005. Dia kekal di Qatar bersama kelab Al Gharafa, memenangi Kasut Emas musim ini dengan sejumlah 19 gol. Dia menjadi pemain gantian Iraq dalam tiga perlawanan pertama Piala Asia 2004, menjaringkan gol kemenangan dalam kejayaan 2-1 ke atas Arab Saudi.
INFO
Keputusan Piala Asia
Final (Jakarta)
Iraq 1 (Younis Mahmoud m-71) Arab Saudi 0
Tempat 3/4 (Palembang)
Jepun 0 Korea Selatan 0
Separuh Akhir
(Kuala Lumpur)
Korea Selatan 0 Iraq 0
(Iraq menang penalti 4-3 selepas masa tambahan)
(Hanoi)
Jepun 2 (Yuji Nakazawa m-37, Yuki Abe m-53) Arab Saudi 3 (Yasser Al Qahtani m-35, Malek Maaz m-47 & 57)
Suku Akhir
(Hanoi)
Australia 1 (John Aloisi m-69) Jepun 1 (Naohiro Takahara m-72)
(Jepun menang penalti 4-3 selepas masa tambahan)
(Bangkok)
Iraq 2 (Younis Mahmoud m-2 & 66) Vietnam 0
(Kuala Lumpur)
Iran 0 Korea Selatan 0
(Korea Selatan menang penalti 4-2 selepas masa tambahan)
(Jakarta)
Arab Saudi 2 (Yasser Al Qahtani m-3, Ahmed Al Mousa m-75) Uzbekistan 1 (Pavel Solomin m-82)
Juara Piala Asia
1956 Korea Selatan
1960 Korea Selatan
1964 Israel
1968 Iran
1972 Iran
1976 Iran
1980 Kuwait
1984 Arab Saudi
1988 Arab Saudi
1992 Jepun
1996 Arab Saudi
2000 Jepun
2004 Jepun
2007 Iraq