Capello adun bintang Real raih kejuaraan kali ke-30
REAL Madrid mencuri kejuaraan dalam persaingan paling menarik kejuaraan bola sepak Sepanyol sejak beberapa dekad lalu berbekalkan kepada semangat berpasukan baru ditemui, corak permainan yang pragmatik, tekad yang tinggi dan juga bernasib baik.
Juara sembilan kali Eropah itu memenangi trofi utama mereka dalam empat tahun apabila bangkit untuk mengalahkan Real Mallorca 3-1 di Bernabeu dalam perlawanan terakhir menarik Ahad lalu.
Pada pertengahan musim ini hanya sebahagian peminat akan memberikan skuad Madrid sebarang harapan untuk menafikan musuh azalinya Barcelona daripada memenangi kejuaraan liga ketiga berturut-turut.
Ronaldo sudah dijual kepada AC Milan kerana dia dilihat sebagai mengancam kestabilan dalam bilik persalinan, David Beckham disingkirkan sekadar menjadi penonton selepas menyaksikan perpindahan AS$250 juta (RM8590 juta) ke LA Galaxy dan jurulatih Fabio Capello hampir lagi dipecat.
Malah, Real juga di anggap umum mempamerkan antara permainan bola sepak paling membosankan dalam liga. Mereka mengalami lima kekalahan dalam lapan perlawanan dan kelab itu tampak dalam huru-hara.
Presiden Real Ramon Calderon melepaskan kemarahannya Januari lalu apabila menuduh pemain “ego dan angkuh” kerana gagal mempamerkan aksi bertenaga dan bersemangat dan atas padang.
Hakikat bahawa Real berjaya mengubah nasib mereka adalah disebabkan sebahagiannya oleh kelemahan lawan mereka tetapi juga kepada semangat, tekad dan kepercayaan diri Capello dan pemain-pemainnya.

Jurulatih Itali itu, yang dilantik untuk melakukan tugas kotor dan membersihkan kelab ini daripada Galacticos, melakukan beberapa kesilapan besar tetapi juga tegas dan cukup berpengalaman untuk memperbaiki kesalahannya.
Tidak dinafikan dia tepat dalam menjual Ronaldo dan menggugurkan pemain panas baran Antonio Cassano tetapi dia salah sangka terhadap Beckham, penyerang Brazil Robinho, pemain tengah Guti dan bek tengah Ivan Helguera.
Kuartet ini semuanya diketepikan pada awal musim tetapi Capello terpaksa menelan balik keputusannya mengenai pemain ini dan mereka memainkan peranan penting dalam membantu Real meraih kejuaraan Primera Liga.
Selepas bermula goyah awal musim, pembelian baru Ruud van Nistelrooy, Emerson, Mahamadou Diarra dan Fabio Cannavaro semuanya menjustifikasinya perpindahan mereka. Penyerang Belanda itu memainkan peranan paling penting dengan 25 gol liga.
Real mempunyai peluang memenangi La Liga pada babak pertengahan musim ini adalah disebabkan oleh kelemahan Barcelona dan juga hakikat bahawa Sevilla terpaksa mengharungi kempen memenatkan di Eropah dan Piala Raja.
DATA
Real Madrid
Diasaskan: 1902
Presiden: Ramon Calderon
Jurulatih: Fabio Capello (Ita)
Stadium: Santiago Bernabeu (kapasiti 76,354)
Kejayaan:
Primera Liga: 30 (1932, 1933, 1954, 1955, 1957, 1958, 1961, 1962, 1963, 1964, 1965, 1967, 1968, 1969, 1972, 1975, 1976, 1978, 1979, 1980, 1986, 1987, 1988, 1989, 1990, 1995, 1997, 2001, 2003, 2007)
Piala Sepanyol: 17 (1905, 1906, 1907, 1908, 1917, 1934, 1936, 1946, 1947, 1962, 1970, 1974, 1975, 1980, 1982, 1989, 1993)
Piala Eropah/Liga Juara: 9 (1956, 1957, 1958, 1959, 1960, 1966, 1998, 2000, 2002)
Piala UEFA: 2 (1985, 1986)
Piala Antara Benua/Piala Kelab Dunia: 3 (1960, 1998, 2002)
Piala Super Eropah: 1 (2002)
Primera Liga 2006/2007
Juara Primera Liga: Real Madrid (Liga Juara)
Naib Juara: Barcelona (Liga Juara)
Tempat Ke-3: Sevilla (Liga Juara, kelayakan pusingan ketiga)
Tempat Ke-4: Valencia (Liga Juara, kelayakan pusingan ketiga)
Tempat Ke-5: Villarreal (Piala UEFA)
Tempat Ke-6: Real Zaragoza (Piala UEFA)
Tempat Ke-7: Atletico Madrid (Piala Intertoto)
Tercicir: Gimnastic Tarragona, Real Sociedad, Celta Vigo
Piala Raja: Sevilla mln Getafe, 23 Jun (Getafe layak ke Piala UEFA memandangkan Sevilla mara ke Liga Juara)
Kenaikan: Valladolid, Almeria, Real Murcia
Penjaring Terbanyak: Ruud van Nistelrooy (Real Madrid) - 25