Kapten Wales menamatkan karier antarabangsa selepas peroleh 64 caps dan jaring 12 gol
RYAN Giggs menunjukkan gaya tersendiri dalam perlawanan terakhir buat negaranya.
Kapten Wales itu menampilkan permainan menarik terutama pada babak kedua yang hampir memusnahkan peluang Republik Czech untuk layak ke pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro 2008).
Satu larian solo oleh Giggs menggembirakan kira-kira 30,000 penyokong tetapi pemain hebat itu gagal mencipta sentuhan bermakna sebagai tambahan buatnya mengakhiri karier.
Selepas keputusan seri 0-0 itu, Wales mungkin tidak lagi berpeluang layak tetapi barisan muda bimbingan pemain Manchester United itu buat kali terakhir menghasilkan permainan terbaik mereka dalam kumpulan berkenaan.
Itulah detik penamat karier buat Wales dan dia juga memperoleh 64 caps dan menjaringkan 12 gol buat pasukan kebangsaannya.
Bagaimanapun karier antarabangsa miliknya dipenuhi kekecewaan sama seperti dialami bintang seperti Alfredo Di Stéfano dan George Best apabila dia tidak pernah dapat bermain dalam Kejohanan Eropah apatah lagi Piala Dunia disebabkan Wales sentiasa gagal dalam kejohanan paling berprestij itu.
Sebelum ini, Giggs turut menerima kritikan kerana tidak mahu terbabit dalam perlawanan persahabatan antarabangsa malah sejak penampilan pertamanya pada 1991 ketika bertemu Jerman Barat, Giggs gagal menghadiri perlawanan antarabangsa sehinggalah sembilan tahun kemudian ketika dia kehilangan lebih 18 perlawanan.
Namun pada September 2006, Giggs menampilkan persembahan menakjubkan ketika bertemu Brazil di White Hart Lane dan walaupun perlawanan itu dimenangi Brazil 2-0, jurulatih Brazil Dunga memuji Giggs yang menurutnya sama hebat dengan pemain seperti Kaka dan Ronaldinho.
Bekas rakan sepasukan Giggs, Gary Pallister pula mengingati pertama kali dia melihat Giggs bermain bola sepak lantas terus mengaguminya.

“Ketika itu saya baru menyertai Manchester United. Saya menetpa di hotel dan tiada apa yang boleh dilakukan, jadi saya pergi melihat kejohanan Piala Remaja FA di Old Trafford. Paul Ince dan saya duduk bersama Alex Ferguson dan dia berkata: ‘Budak itu akan bermain malam ini yang akan menjadi sesuatu yang istimewa.’
“Ketika itu Ryan masih bersekolah. Saya rasa dia baru berumur 15 tahun, dan kami melihat dia memang hebat di sebelah sayap kiri. Dari situ anda boleh melihat dia memiliki anugerah istimewa,” katanya.
Biarpun sudah berusia 33 tahun, segala-galanya seakan tidak berubah di Old Trafford dengan kehadiran Giggs dalam kesebelasan utama pilihan Ferguson.
Ketika statusnya sudah berubah kepada pemain veteran, Giggs terus melalui musim terbaiknya dalam memberi ruang buat pemain-pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Paul Scholes sehingga United mampu kembali ke persada Liga Perdana Inggeris.
DATA
RYAN JOSEPH GIGGS
UMUR: 33 tahun (29 November 1973)
ASAL: Cardiff, Wales
POSISI: Sayap kiri
KELAB: Manchester United (1990-sekarang)
PENAMPILAN: 504 (98 gol)
PASUKAN KEBANGSAAN: Wales (1991-2007)
PENCAPAIAN:
- Liga Perdana Inggeris - Juara (9): 1992-93, 1993-94, 1995-96, 1996-97, 1998-99, 1999-00, 2000-01, 2002-03, 2006-07

- Naib juara: 1994-95, 1997-98, 2005-06
- Juara Piala Remaja FA - 1992
- Juara Piala FA - 1994, 1996, 1999, 2004
- Naib juara Piala FA 1995, 2005, 2007
- Juara Piala Liga - 1992, 2006
- Naib juara Piala Liga - 1994, 2003
- Juara Liga Juara-Juara Eropah - 1998-99
- Juara Piala Antara Benua - 1999
- Juara Piala Super UEFA - 1991
- Naib juara Piala Super UEFA - 1999
- Juara Perisai Kemasyarakatan - 1993, 1994, 1996, 1997, 2003
- Naib juara Perisai Kemasyarakatan - 1998, 2000, 2001, 2004
ANUGERAH
- Pemain Bulanan Terbaik EPL - Ogos 2006, Februari 2007
- Pemain Terbaik Piala Antara Benua - 1999
- Pemain Terbaik Manchester United - 2005/2006
- Pemain Terbaik Bawah 21 Tahun Eropah - 1993
- Pemain Terbaik Wales - 1996, 2006
- Disenarai dalam Dewan Kemasyhuran Pemain Bola Sepak Terbaik Inggeris - 2005
- Disenarai dalam Pasukan EPL Terbaik Sepanjang Zaman - 2003
- Jaringan Terbaik dalam Piala FA
- Pemain tunggal Manchester United yang bermain dan menang 9 gelaran liga
- Menjuarai lebih banyak gelaran berbanding pemain lain
- Disenarai sebagai Pemain Terbaik Persatuan Bola Sepak Inggeris - 2007