
TATKALA beliau bertemu wartawan selepas memenangi Liga Juara-Juara Uefa di Athens jelas sekali Carlo Ancelotti sudah melengkapkan perjalanan peribadinya.
Perjalanan itu terlalu jauh dan menyukarkan, tetapi bagi pengendali berusia 47 tahun itu hakikat bahawa destinasinya tidak dijangkakan menjadikan ianya lebih manis.
Kali terakhir AC Milan bermain di Stadium OAKA Spyro Louis adalah pada November lalu, ketika pasukan Ancelotti menghadapi tempoh paling sukar. Dengan kedudukan ke-16 Serie A, mereka hanya menang sekali selepas empat perlawanan.
Ketika itu mereka hanya mensasarkan sekadar layak sekali lagi dalam Liga Juara-Juara Uefa dan tidak pernah mengimpikan menjadi juara.
“Kami mengukur padang ketika itu kerana tahu kami akan bermain di final di sini,” gurau jurulatih itu ketika mereka tewas di tangan AEK Athens.

“Sebenarnya kami tidak pasti mengenai perkara itu kerana ia adalah tempoh yang amat perit bagi kami.”
Kecederaan Massimo Ambrosini dan Alessandro Nesta mengundang petaka buat Milan. Prestasi Andrea Pirlo dan Gennaro Gattuso pula menjunam selepas kudrat mereka dikerah sepenuhnya ketika membantu Itali menjulang Piala Dunia.
Segala perancangan terpaksa diubah pada saat-saat akhir selepas mata Milan terpaksa dipotong berikutan pembabitan skandal penipuan sukan selain terpaksa mengharungi awal musim serentak dengan pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara.
FK Crvena Zvezda berjaya ditewaskan tetapi perlawanan itu memberi kesan berpanjangan sepanjang kempen terbabit.

Dan apabila Milan tewas kepada AEK November lalu, jawatan Ancelotti umpama telur di hujung tanduk.
“Inilah bola. Saya tidak menghiraukan khabar angin menyatakan saya akan digantikan kerana ini adalah sukan dan apabila ada suatu yang tidak kena, anda terpaksa menanggung akibatnya.
“Bagaimanapun saya tidak pernah berasa terancam. Hakikat kami memenangi Liga Juara-Juara adalah suatu yang tidak dijangkakan dan amat menakjubkan.
“Disember lalu kami terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan kemenangan ini amat bermakna. Kami masih menggenggam keharmonian meskipun pelbagai masalah mendatang,” katanya.
Ancelotti sudah dua kali menggenggam Piala Eropah ketika bermain dengan Milan dan sebagai jurulatih, dia membawa pasukan itu menjuarainya pada 2003. Bagaimanapun tiada yang sehebat kemenangan di Stadium Olimpik Athens.
Jika tewas kepada Liverpool menerusi sepakan penalti selepas mendahului 3-0 pada final di Istanbul dua tahun lalu dianggap tahun paling merudum dalam kerjayanya, kemenangan tahun ini menjadi kemuncak kejayaan beliau.
Ia bukan misi membalas dendam. “Ia adalah kemenangan paling hebat pernah dicapai,” katanya.
“Kami tidak pernah kehilangan tumpuan daripada sasaran. Tidak ramai orang atau peminat menjangkakan Milan akan menang piala paling penting ini pada musim ini, malah sebenarnya mungkin tiada siapa yang menjangka.
“Apa yang saya capai ini adalah berasaskan hakikat saya berasa saya adalah Milan. Saya memakai baju sama seperti pemain dan memenangi piala penting ini dengan memakai baju ini menjadikan perasaan dan hubungan saya dengan Milan amat utuh,” katanya.
Hubungan itu amat kuat bersama pemainnya dan dia merujuk kepada percutian musim sejuk di Malta sebagai titik tolak kebangkitan Milan.
KEPUTUSAN
FINAL LIGA JUARA-JUARA (23 Mei)
AC Milan
2 (Filippo Inzaghi 45, 82)
Liverpool
1 (Dirk Kuyt 89)
Separuh Masa Pertama: 1-0.
Pengadil: Herbert Fandel (Jerman).
AC Milan (4-3-2-1): Dida, Massimo Oddo, Alessandro Nesta, Paolo Maldini, Marek Jankulovski (Kakha Kaladze 79); Gennaro Gattuso, Andrea Pirlo, Massimo Ambrosini; Clarence Seedorf (Guiseppe Favalli 90), Kaka; Filippo Inzaghi (Alberto Gilardino 88).
Jurulatih: Carlo Ancelotti.
Liverpool (4-5-1): Jose Reina; Steve Finnan (Alvaro Arbeloa 88), Jamie Carragher, Daniel Agger, John Arne Riise; Jermaine Pennant, Javier Mascherano (Peter Crouch 79), Xabi Alonso, Steven Gerrard, Boudewijn Zenden (Harry Kewell 59); Dirk Kuyt.
Jurulatih: Rafael Benitez.
Kad kuning: Milan - Gattuso 40, Jankulovski 54.
Liverpool - Mascherano 58, Carragher 60.
KRONOLOGI FINAL
1 SEPAK MULA - Liverpool memulakan perlawanan.
10 AKSI - Pemain sayap Liverpool, Jermaine Pennant merembat leret dari jarak dekat selepas kesilapan Marek Jankulovski tetapi Dida tenang menyelamatkan keadaan.
17 AKSI - Penyerang Milan, Kaka mendada bola dan merembat dari jarak 20 meter memaksa penjaga gol Liverpool, Jose Reina melayangkan badannya ke sebelah kanan.
27 AKSI - Rembatan leret pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso sedikit tersasar dari jarak 25 meter selepas percubaan Boudewijn Zenden dihalang ketua pasukan Milan, Paolo Maldini.
32 AKSI - Pertahanan kiri Liverpool, John Arne Riise kecewa apabila rembatannya melepasi palang dari jarak 25 meter selepas gerakan hebat membabitkan ketua pasukan Steven Gerrard dan Pennant.
36 AKSI - Percubaan jarak dekat penyerang Liverpool, Dirk Kuyt dihadang Alessandro Nesta selepas Gerrard mengumpan kepada pemain Belanda itu di dalam kotak penalti.
40 KAD KUNING - Pemain tengah Milan, Gennaro Gattuso menerima kad kuning pertama kerana kekasaran lewat terhadap Alonso.
45 GOL - AC MILAN 1 LIVERPOOL 0 - Filippo Inzaghi menampan bola melepasi Reina dengan bahunya berikutan sepakan percuma Andrea Pirlo dari jarak 22 meter sesudah kekasaran ke atas Kaka oleh Alonso.
45+1 SEPARUH MASA - AC MILAN 1 LIVERPOOL 0
46 SEPAK MULA - Milan membuat sepak mula babak kedua.
54 KAD KUNING - Pertahanan kiri Milan, Milan Jankulovski dilayangkan kad kuning selepas menerjah Pennant dari belakang
56 AKSI - Kaka berjaya menembusi benteng pertahanan lawan tetapi kecewa apabila dikatakan ofsaid.
58 KAD KUNING - Pemain tengah Liverpool, Javier Mascherano menerima kad kuning kerana membentes keras Pirlo dari belakang.
59 GANTIAN - Penyerang Liverpool, Harry Kewell menggantikan Zenden.
60 KAD KUNING - Pemain Liverpool, Jamie Carragher dilayangkan kad kuning kerana menghadang Kaka selepas berlaga dengan pertahanan tengah Daniel Agger.
63 AKSI - Gerrard meluru melepasi pertahanan Milan selepas merampas bola dari Gattuso dan mengatasi Nesta sebelum menyepak leret diselamatkan Dida.
78 GANTIAN - Penyerang Liverpool, Peter Crouch menggantikan Mascherano ketika mereka memburu gol penyamaan.
79 GANTIAN - Pemain Milan, Kakha Kaladze masuk menggantikan Jankulovski.
82 GOL - AC MILAN 2 LIVERPOOL 0 - Inzaghi meraih gol keduanya dengan rembatan leret yang cantik di bawah badan Reina yang lewat merebahkan badannya selepas mendapat umpanan hebat Kaka.
85 AKSI - Crouch menguji Dida dengan tendangan kaki kanan dari jarak 25 meter yang menyebabkan penjaga gol Brazil itu menolak bola melepasi palang.
89 GOL - AC MILAN 2 LIVERPOOL 1 - Kuyt menanduk masuk dari jarak dekat selepas Agger menanduk bola sepakan sudut ke arahnya.
90+2 GANTIAN - Giuseppe Favalli menggantikan Clarence Seedorf di bahagian tengah.
SEPENUH MASA - AC MILAN 2 LIVERPOOL 1