England berdepan prospek gagal layak ke Euro ‘08 selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Israel

TONGGAK tengah England, Gerrard berebut bola dengan
pemain Israel Tamuz Temile
ENGLAND berada dalam kedudukan genting yang menyaksikan peluangnya untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan Eropah 2008 semakin tipis apabila hanya sekadar seri 0-0 dengan Israel di Tel Aviv, Sabtu lalu.
Ia meneruskan rentetan persembahan buruk England dan kini skuad bimbingan Steve McClaren kini gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan terakhir mereka - lakaran paling buruk pasukan itu dalam 26 tahun.
Skuad dengan jolokan Tiga Singa menduduki tangga ketiga Kumpulan E dan ketinggalan lima mata kepada Croatia selepas lima perlawanan.
Kegagalan England menyumbat sebarang gol membangkitkan kemarahan McClaren yang menyalahkan penyudah tumpuan jentera serangannya yang boleh menghancurkan peluang England untuk beraksi di Switzerland dan Austria tahun depan.

Frank Lampard sekali lagi menjadi petualang tatkala England menguasai rentak, terutama dalam babak pertama, di tengah-tengah persembahan membosankan dengan Israel.
“Untuk mendominasi perlawanan seperti itu, untuk mempunyai peluang yang kita perolehi dan tidak menjaringkan gol, ia amat mengecewakan dan tidak cukup bagus,” kata McClaren. “Kami sepatutnya memenangi perlawanan itu dan sekarang kami sudah menggugurkan dua mata di sini.
“Kami berjaya meletakkan bola dalam petak dan melakukan percubaan menepati sasaran. Sama ada nasib kita tidak begitu baik ataupun kualiti kita buruk dan keputusan yang tidak memihak kepada kita menjadi penyumbang kepada kegagalan ini.
“Ia amat membimbangkan (gagal menjaringkan gol. Saya akan lebih berasa bimbang jika kami tidak mencipta peluang tetapi pada peringkat ini anda perlu menjaringkan gol dan kami mempunyai pemain yang boleh menyumbat gol.
“Kami perlu merapatkan barisan semula dan memastikan kami memungut tiga mata dalam perlawanan berikutnya tetapi masih ada banyak perlawanan untuk diharungi.”
Hakikatnya, tekanan semakin memuncak ke atas McClaren, berdepan prospek gagal membawa England ke pusingan akhir dan juga kemungkinan kehilangan tugasnya.
Persembahan menentang Israel bukan hanya buruk, tetapi ia juga penuh dengan persembahan kurang meyakinkan dan tidak sempurna, serta corak permainan England mudah untuk diramalkan.
Penyokong England yang berjumlah lebih 7,000 berhak untuk disajikan persembahan lebih baik berbanding keputusan seri membosankan menentang lawan yang lebih banyak berlari dan bertahan sepanjang malam.
Aaron Lennon sedikit menyinar, Steven Gerrard dan Phil Neville bergabung agak baik di sebelah kanan dalam babak pertama dan Lampard mempunyai beberapa peluang dalam separuh masa kedua. Tetapi, secara keseluruhannya ia satu persembahan mengecewakan.
England bergelut untuk menemui rentaknya. Andy Johnson mensesiakan peluang depan gawang dan Lennon, beraksi di sebelah kini - dengan pengkritik menganggap dia tidak sesuai di posisi itu, mengambil masa untuk mencari rentaknya.
Keputusan Perlawanan England
England 5 Andorra 0
Macedonia 0 England 1
England 0 Macedonia 0
Croatia 2 England 0
Israel 0 England 0
Baki Perlawanan England
28/03/07: Andorra mln England
06/06/07: Estonia mln England
08/09/07: England mln Israel
12/09/07: England mln Russia
13/10/07: England mln Estonia
17/10/07: Russia mln England
21/11/07: England mln Croatia
Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA)
Presiden: Geoffrey Thompson
Ketua Jurulatih: Steve McClaren
Pegawai Media: Adrian Bevington
Ditubuhkan: 1863
Keahlian UEFA: 1954
Keahlian FIFA: 1905
Stadium: Wembley
Kapasiti: 78311
Alamat: 25 Soho Square London W1D 4FA
Telefon: +44 20 7745 4545
Faks: +44 20 7745 4546