Red Devils hanya perlu menang enam daripada baki perlawanan untuk sah juara

BALLACK meraikan jaringan gol buat chelsea ketika
menentang Sheiffield United
TIADA tanda-tanda sudah mengalah ditunjukkan oleh Chelsea sekalipun masa semakin suntuk untuk menyekat Manchester United daripada merampas kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Berbaki lapan perlawanan, juara bertahan itu masih ketinggalan enam mata kepada United tetapi membuktikan mereka tidak putus harapan apabila mengekori jejak pendahulu itu yang mencatat kemenangan besar hujung minggu lalu.
Seakan tidak tertekan langsung dengan kejayaan United membelasah Bolton 4-1 Sabtu lalu, Chelsea turut menampilkan prestasi cemerlang membenam Sheffield United 3-0 beberapa jam kemudian.
Pengurus Chelsea, Jose Maurinho masih berharap dapat menyaingi United sambil memastikan pasukannya tidak akan mencicirkan sebarang mata dalam baki saingan.
“Mereka lakukan tugas mereka, begitu juga kami,” kata Maurinho yang bangga dengan kejayaan pasukannya menyaingi kemenangan United.
“Tiada apa boleh kami lakukan mengenai mereka. Satu-satunya yang mampu kami kawal ialah perlawanan kami - dan kami boleh percaya jika kami memenanginya, kami boleh meraih tiga mata.”
Wayne Rooney dan Park Ji-sung masing-masing menjaringkan dua gol untuk kejayaan United sambil Chelsea memastikan kemenangan menerusi gol Andriy Shevchenko, Salomon Kalou dan Michael Ballack.
United mengumpul 75 mata dan kelebihan perbezaan gol yang besar milik skuad Red Devils bermakna mereka hampir pasti akan bergelar juara buat kali pertama sejak 2003 jika menang enam daripada baki perlawanan.
Pengurus United, Alex Ferguson juga kini tidak lagi bimbang dengan cabaran Chelsea dan lebih berminat untuk berbicara mengenai pemain sayapnya dari Portugal, Cristiano Ronaldo yang disifatkan tonggak penting kecemerlangan United musim ini dengan himpunan 16 gol liga yang dijaringkannya.
“Dia begitu menakjubkan musim ini. Bagi saya, anda tidak boleh membandingkan aksinya dalam mana-mana perlawanan kerana dia memberikan segala-galanya dalam setiap perlawanan.
“Hari ini, terutama gol kedua, gandingan antara dia dan Wayne Rooney (hantaran Ronaldo untuk gol jaringan Rooney) begitu menakjubkan,” katanya.
Satu-satunya yang mungkin membimbangkan Ferguson kini ialah kecederaan ligamen yang dialami Gary Neville, sama ada kapten pasukannya itu mampu kembali cergas dalam tempoh yang diperlukan untuk menyumbang kepada usaha United memenangi kejuaraan musim ini.
Namun, pengendali warga Scotland itu pantas menyembunyikan keraguan itu dengan mengalihkan perhatian terhadap kecemerlangan anak buahnya di Old Trafford minggu lalu.
“Menjaringkan empat gol di tempat sendiri pada tahap saingan musim seperti ini adalah sangat cemerlang.
“Ia menyerlahkan keyakinan yang dimiliki dalam pasukan sekarang,” katanya.
Penjaring
18 - Didier Drogba (Chelsea)
16 - Cristiano Ronaldo (Manchester United)
12 - Wayne Rooney (Manchester United), Yakubu Aiyegbeni (Middlesbrough), Benny McCarthy (Blackburn Rovers)
11 - Andy Johnson (Everton), Frank Lampard (Chelsea), Robin van Persie (Arsenal)
10 - Thierry Henry (Arsenal), Kevin Doyle (Reading), Nwankwo Kanu (Portsmouth), Obafemi Martins (Newcastle United)
9 - Nicolas Anelka (Bolton Wanderers), Brian McBride (Fulham), Dirk Kuyt (Liverpool), Darren Bent (Charlton Athletic)
8 - Jermain Defoe (Tottenham Hotspur), Bobby Zamora (West Ham United), Dimitar Berbatov (Tottenham Hotspur), Gilberto Silva (Arsenal), Gareth Barry (Aston Villa), Mikel Arteta (Everton), Louis Saha (Manchester United), Rob Hulse (Sheffield United)
7 - Shabani Nonda (Blackburn Rovers), Craig Bellamy (Liverpool), Leroy Lita (Reading), Mark Viduka (Middlesbrough)
Jadual perlawanan
Sabtu, 31 Mac
8.45 pm: Liverpool mln Arsenal
11.00 mlm: Bolton mln Sheff Utd
11.00 mlm: Charlton mln Wigan
11.00 mlm: Fulham mln Portsmouth
11.00 mlm: Man Utd mln Blackburn
11.00 mlm: Newcastle mln Man City
11.00 mlm: West Ham mln Middlesbrough
Ahad, 1 April
1.15 pg: Watford mln Chelsea
12.00 mlm: Tottenham mln Reading
Selasa, 3 April
3.00 pg: Aston Villa mln Everton