
FIFA sendiri pening memikirkan ke manakah kejohanan ini sepatutnya dipertandingkan selepas Afrika Selatan 2010
SECARA teorinya mudah - sistem penggiliran mengikut benua. Tetapi setiap kali pemilihan untuk memilih negara penganjur bagi gelanggang Piala Dunia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sering pening kepala.
Segala-galanya kerana setiap negara di benua kini, membuat persiapan lebih awal dengan kempen melobi yang agresif hinggakan FIFA sukar pula untuk membuat keputusan, lebih-lebih lagi timbul cadangan baru untuk menggantikan sistem sedia itu.

Ini sekali gus, menimbulkan lebih banyak kekeliruan buat Presiden FIFA sendiri, Sepp Blatter yang dianggap memegang hak kata putus menentukan negara manakah yang layak menjadi penganjur kejohanan tertua antarabangsa itu.
“Saya bukan Nabi. Memang kadang kala saya ada visi tetapi saya tidak dapat melihat ke manakah Piala Dunia akan pergi (dipertandingkan),” katanya ketika berada di London, baru-baru ini.
Daripada sistem muda apabila Piala Dunia dipertandingkan secara bergilir-gilir di antara benua Eropah dan Amerika Latin yang silih berganti menguasai pertandingan itu, ia kini dipertandingkan di Amerika Utara, Asia dan Afrika.
Begitupun, mencari negara penganjur menjadi satu tugas yang cukup sukar berbanding jangkaan awal.
Piala Dunia 2010 akan diadakan di Afrika Selatan kerana ia sudah ditetapkan tiga tahun lalu dan kemungkinan ia akan menghala ke Brazil 2014 selepas itu di mana gelanggangnya akan ditetapkan Jawatankuasa Eksekutif FIFA apabila bermesyuarat di Durban, November ini.
Selepas itu?
Media di England mula mencanang untuk membida penganjuran 2018. Negara itu yang pernah menjadi penganjur 1966, mempunyai kualiti stadium yang mengagumkan termasuk Stadium Wembley yang mampu memuatkan 90,000 penonton, Old Trafford (76,000) dan Stadium Emirates (60,000). Apabila kerajaan Britain sendiri mengumumkan akan menyokong bida berkenaan, England seolah-olah dilihat sudah setapak di depan. Benar?
Silap kerana Blatter sendiri berkata, sistem penggiliran akan terus digunakan - bermakna giliran untuk 2018 ialah giliran bagi CONCACAF di mana Amerika Syarikat adalah sebahagian daripada anggota gabungan itu yang turut membabitkan Mexico dan Kanada.
Jadi Piala Dunia 2018 akan dianjurkan di negara CONCACAF?
Tidak juga kerana Blatter sendiri pernah berkata CONCACAF tidak akan diberi hak penganjuran 2018 kerana FIFA sendiri memutuskan Piala Dunia tidak wajar dipertandingkan di Amerika Utara selepas dilangsungkan di benua Amerika Selatan.
Mungkinkah Piala Dunia menuju semula ke Asia selepas 2002?
Segala-galanya bergantung sama ada FIFA mahu menggunakan sistem penggiliran itu, atau mula menggunakannya semula selepas 2014. Atau 2018. Atau 2010.
Eropah baru saja menganjurkannya di Jerman tahun lalu mahu Piala Dunia kembali secepat mungkin ke benua itu dan tidak mahu menunggu sehingga 16 tahun, jika sistem penggiliran diguna pakai oleh FIFA.
Jika penggiliran diamalkan, mereka mahu berada di tangga kedua atau ketiga. Jika itu hakikatnya, bermakna Amerika Selatan tidak akan mendapat haknya untuk menjadi penganjur 2014 walaupun kebanyakan ahli gabungan kecuali Colombia, bersetuju kuasa bola sepak dunia itu paling sesuai menjadi penganjur bersempena ulang tahun ke-100 persekutuannya.
“Bagi mereka yang arif dengan sejarah Piala Dunia, kejohanan 1986 sepatutnya dilangsungkan di Colombia tetapi negara itu memberitahu FIFA mereka tidak mampu menganjurkannya.”

Jadi Brazil wajar diberikan hak penganjuran? FIFA jelas kurang yakin kerana masalah stadium yang uzur dan tidak menepati tahap keselamatan, di samping sistem pengangkutan yang buruk mungkin memaksa FIFA mencari haluan baru.
Petunjuk ketika ini menghala ke Amerika Utara dan England, lebih-lebih selepas perjumpaan dengan Menteri Perbendaharaan, Gordon Brown yang disebut-sebut bakal menggantikan Perdana Menteri, Tony Blair.
Berikutan tragedi Stadium Hillsborough 1989, di mana 96 penonton terbunuh ketika perlawanan separuh akhir Piala FA di antara Liverpool dan Nottingham Forest, kebanyakan stadium di England dinaiktarafkan.
“Disebabkan bencana 1989 di Sheffield, kerajaan mengenakan peraturan ketat di semua gelanggang sukan, terutama bola sepak dan ini sepatutnya menjadi contoh semua. Keselesaan dan keselamatan penting di mana penonton duduk di dalam stadium.
“Jika contoh ini diamalkan di semua stadium besar, dalam liga besar di Eropah, pasti negara di benua ini tidak berdepan masalah besar,” kata Blatter yang nyata kagum dengan corak perjalanan Persatuan Bola Sepak England (FA) memasarkan Liga Perdana.
Daripada nada suara Blatter itu, mungkin Piala Dunia menuju ke London semula.