Undian pusingan kelima buka peluang dua kelab elit ke suku akhir Piala FASELEPAS memastikan kemaraan ke pusingan kelima Piala FA, dua pasukan pilihan, Manchester United dan Chelsea masing-masing beroleh kelebihan untuk meneruskan kemaraan apabila bakal menghadapi lawan mereka seterusnya nanti di tempat sendiri.
Dalam undian pusingan kelima Piala FA Isnin lalu, United akan menjadi tuan rumah kepada lawan sesama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Reading manakala Chelsea menanti kunjungan sama ada Blackpool atau Norwich yang terpaksa mengharungi perlawanan ulangan selepas terikat pada pertembungan pertama pusingan keempat minggu lalu.
Turut terpaksa mengharungi perlawanan ulangan ialah satu lagi kelab gergasi EPL, Arsenal yang bangkit untuk mencatat seri 1-1 dengan Bolton. Perlawanan ulangan Arsenal-Bolton dijadualkan pada 14 Februari di Stadium Reebok dan pemenang akan menjadi tuan rumah kepada Blackburn.
United, kelab paling banyak memenangi Piala FA dengan 11 kali dan berusaha memenanginya semula selepas kali terakhir melakukannya pada 2004, buat kali ketiga berturut-turut berdepan kelab EPL di mana sebelum ini mereka menyingkirkan Aston Villa dan Portsmouth di pusingan ketiga dan keempat.

“Tiada sesiapa mahu diundi menentang Manchester United. Ia undian yang semua orang akan berkata sebagai sukar,” kata pengurus Reading, Steve Coppell selepas undian pusingan kelima Piala FA Isnin lalu.
Reading yang musim pertama menyertai saingan teratas Liga Inggeris itu seri 1-1 dengan United dalam saingan liga di tempat sendiri September lalu, sebelum tewas 3-2 di Old Trafford bulan lalu.
Berbanding United, peluang Chelsea tampak lebih mudah apabila menentang pasukan bukan dari EPL untuk pertembungan di tempat sendiri, menentang pemenang pertembungan ulangan pusingan keempat antara kelab Liga Satu Blackpool dan pasukan Bahagian Dua, Norwich.
Berada di tangga ketujuh dalam saingan Liga Satu, Blackpool ialah kelab ranking terbawah yang masih kekal dalam saingan.
The Blues sudahpun menewaskan pasukan Liga Dua, Macclesfield dan kelab Liga Satu, Nottingham Forest sejak menyertai kejohanan pada pusingan ketiga.
West Bromwich Albion akan menentang sama ada kelab Liga Satu, Bristol City atau Middlesbrough yang turut seri minggu lalu. Perlawanan ulangan dijadualkan pada 13 Februari di Middlesbrough.
Fulham menjadi tuan rumah kepada pencabar sesama London, Tottenham dalam satu lagi pertembungan yang membabitkan pasukan sesama Liga Perdana. Dalam perlawanan lain Watford menentang Ipswich; Preston melawan Manchester City; dan Plymouth menentang Derby.
Pusingan kelima kejohanan Piala FA Inggeris akan berlangsung pada 17 dan 18 Februari.
Tahukah anda?
SAINGAN Piala FA Inggeris ialah kejohanan bola sepak tertua di dunia yang diperkenalkan pada 1871/72. Oleh kerana ia membabitkan saingan kelab dari semua tahap, terdapat kemungkinan besar kejutan terhasil dalam kejohanan, di mana kelab dari divisyen bawah menyingkirkan kelab utama.
Piala FA juga membabitkan penyertaan kelab paling banyak di mana untuk musim 2006/07, rekod baru dicipta dengan jumlah penyertaan 687 pasukan. Sebagai perbandingan, saingan Piala Liga, kejohanan bola sepak Inggeris kalah mati berprestij yang setahap lebih bawah, hanya membabitkan 92 pasukan.