Mourinho bersandiwara tinggal Chelsea?


Pengurus itu dikatakan masih kurang yakin kemampuan pemain yang ada

PEMINAT Chelsea sudah mengesan krisis yang melanda di antara pengurus Jose Mourinho dan pengurusan tertinggi pasukan itu, segala-galanya bermula kerana gagal memperkuatkan lagi pasukan bimbingannya ketika tempoh perpindahan Januari.

Kedudukan The Blues yang tercicir enam mata di belakang pendahulu turut membuatkan situasi di dalam pasukannya tertekan dan dari situ, timbul khabar angin mengatakan Mourinho berkira-kira mahu meninggalkan Stamford Bridge penghujung musim nanti.

Nadanya yang tidak menolak sama-sekali spekulasi itu setiap kali diajukan persoalan turut seakan mengesahkan kemungkinan Mourinho akan melalui musim terakhirnya bersama kelab juara liga Inggeris itu.

Pengurus berbangsa Portugal itu dikatakan kurang yakin dengan kemampuan kelab itu setakat ini dan percaya sukar buat Chelsea untuk mencabar empat trofi sasaran selepas permintaannya untuk mendapatkan pertahanan Micah Richards dari Manchester City dan Jermaine Defoe dari Tottenham ditolak bulat-bulat oleh pemilik Russia, Roman Abramovich dan ketua eksekutif Peter Kenyon yang berpendapat mereka sudah memiliki pemain mencukupi untuk musim ini.

Peminat setia Chelsea sendiri dapat merasakan keretakan di dalam skuad kesayangan mereka itu dan menggunakan perlawanan menentang Wigan yang dimenangi 4-0 minggu lalu, sebagai tempat untuk menyatakan sokongan terhadap pengurus itu biarpun situasi retak hanya menanti belah.

Malah turut timbul cakap-cakap mengatakan Mourinho akan berangkat ke Real Madrid dan Inter Milan yang berminat mendapatkan khidmatnya sebaik berakhir musim liga, Mei nanti.

“Saya mempunyai kontrak sehingga 2010 dan saya gembira bekerja dengan Chelsea tetapi bola sepak adalah bola sepak. Dalam bola sepak, kita tidak tahu apa yang akan berlaku.

“Kita hanya boleh menerus dan memberi tumpuan terhadap tugas. Kini, Januari semakin berakhir dan kami masih bersaing dalam empat kejohanan. Ini adalah situasi yang bagus.

“Masa depan saya tidak penting. Chelsea lebih penting, bukan saya. Ramai yang cuba meneka apa akan berlaku. Saya tidak boleh menceritakan satu persatu tetapi kebanyakannya memang tidak berasas sama sekali.

“Saya hanya boleh berkata mengenai apa yang saya katakan sebelum ini. Saya sayangkan Chelsea dan suka bertugas dalam bola sepak Inggeris ini,” kata Mourinho sejurus kemenangan ke atas Wigan itu.

Ketua pasukan, John Terry turut memberi sokongan terhadap jurulatih itu dengan berkata dia tidak mahu Mourinho meninggalkan Chelsea dan sanggup membuat rayuan terhadap pengurusan tertinggi kelab itu.

“Kami semua bersetuju tidak mahu kehilangan Jose dan jika keadaan memerlukan lima atau enam pemain senior untuk berjumpa dengan pengurusan, kami sanggup berbuat demikian,” kata Terry dalam salah sebuah akhbar Britain.

Ketua pasukan skuad kebangsaan England yang baru pulih daripada kecederaan itu berpendapat, Mourinho adalah pengurus terbaik dan mungkin sukar dicari ganti dalam tempoh 20 tahun akan datang, sekali gus menepati hasrat Chelsea mahu memiliki hanya yang terbaik.

“Kami semua setia kepada Jose. Kami sedar apa yang sudah dilakukannya kepada kami sebagai pemain dan kelab ini secara keseluruhannya,” tambah Terry merujuk kepada pengurus yang memastikan dua gelaran liga berturut-turut sejak mengambil alih tugas daripada Claudio Ranieri pada 2004 itu.

DATA

José Mário dos Santos Mourinho Félix


TARIKH LAHIR: 26 Januari 1963
TEMPAT LAHIR: Setubal, Portugal
Nama Gelaran: The Special One
Posisi: Pengurus
Kelab kini: Chelsea
Kelab Terdahulu:
2000-2001 - S.L. Benfica
2001-2002 - U.D. Leiria
2002-2004 - F.C. Porto
2004-sekarang - Chelsea F.C.



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768