Larsson ibarat jelmaan Cantona



Penyerang Sweden itu tambah kekuatan Red Devils untuk rampas kejuaraan EPL musim ini

PENAMPILAN sulung penuh bergaya Henrik Larsson ketika membantu Manchester United menewaskan Aston Villa dalam pusingan ketiga Piala FA Inggeris hujung minggu lalu menerbitkan pujian pengurusnya, Alex Ferguson yang percaya penyerang Sweden itu mampu menghadirkan sesuatu yang berkesan buat kelab itu.

Ferguson memuji persembahan Larsson yang membuat kemunculan pertamanya untuk kelab itu sejak tiba atas pinjaman untuk 10 minggu daripada Helsingborgs dengan menjaringkan gol pembukaan pasukan barunya itu dan kini mula membandingkannya dengan legenda Old Trafford, Eric Cantona.

“Eric Cantona melakukan yang sama dan saya rasa Henrik juga mampu menampilkan impak yang besar ke atas kelab ini,” katanya.

United menang 2-1 ke atas Villa dalam perlawanan itu hasil jaringan pada masa kecederaan oleh Ole Gunnar Solskjaer selepas penyerang Republik Czech, Milan Baros menyamakan kedudukan.

Ferguson tidak mampu menyembunyikan kegembiraannya terhadap prestasi Larsson dan menegaskan bekas pemain Barcelona dan Celtic itu akan menjadi tonggak penting buat United yang turut berhasrat merampas kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Chelsea musim ini.

“Saya gembira dengan prestasi Henrik,” kata Ferguson. “Saya mahu mengetahui mengenai kecergasan dan ketajamannya dan dia membuktikannya dengan prestasi yang dipamerkan.

“Saya rasa dia boleh menjaringkan beberapa gol penting sepanjang bersama kami.”

Walaupun Larsson menepis kemungkinan dia akan kekal melebihi tempoh pinjaman 10 minggu di Old Trafford, kelabnya di Sweden membayangkan kesudian mereka melanjutkan kontrak pinjaman pemain itu melewati Mac seperti sepatutnya.

United menduduki tangga teratas EPL dan skuad Red Devils itu di landasan selesa untuk memburu kejuaraan liga dengan mengekalkan kelebihan enam mata ke atas Chelsea selepas 22 perlawanan.

The Blues turut mara ke pusingan keempat Piala FA selepas membelasah Macclesfield 6-1 minggu lalu tetapi juara bertahan itu sedang mengalami rentetan prestasi terburuk mereka dalam liga sejak di bawah kendalian Jose Mourinho apabila gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Kecederaan beberapa pemain utama termasuk kapten mereka John Terry memburukkan lagi keadaan tetapi Mourinho masih bersikap yakin.

“Ia membuatkan saya ketawa besar apabila ramai orang di sini dan di Portugal berkata sekarang ini ialah ‘detik hitam saya’,” kata Mourinho.

“Itu bermakna detik hitam karier saya ialah tiga seri, di tempat kedua liga, ke suku akhir Liga Juara-Juara; kemudian layak ke separuh akhir Piala Carling dan pusingan keempat Piala FA.”

Kedua-dua pasukan akan kembali meneruskan saingan liga Sabtu ini dengan United akan menjadi tuan rumah kepada Villa, manakala Chelsea menanti kunjungan Wigan.





Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768