Man United, Chelsea, Liverpool, Arsenal dan Celtic layak ke peringkat kedua, Giggs ukir nama sebagai penjaring setiap tahun sejak 12 tahun laluKELAB Inggeris mencatat sejarah dalam Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu apabila kesemua empat pasukan melayakkan diri ke pusingan kedua peringkat kalah mati selepas muncul juara kumpulan masing-masing.
Ia kali pertama dalam sejarah kejohanan di mana empat kelab dari satu negara menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas setiap kumpulan.
Mengetuai senarai ialah Chelsea yang menewaskan Levski Sofia 2-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan mereka Selasa untuk menduduki tangga teratas Kumpulan A dengan himpunan 13 mata daripada enam perlawanan, dua mengatasi juara bertahan, Barcelona.
Juara Eropah empat kali, Liverpool mengungguli Kumpulan C, juga dengan 13 mata - tiga di depan PSV Eindhoven, manakala Manchester United dan Arsenal muncul juara kumpulan masing-masing selepas mengharungi situasi penuh dramatik.
Kemaraan United suatu ketika tampak tidak pasti apabila ketinggalan kepada Benfica 1-0 di Old Trafford Rabu lalu, namun bangkit mencatat kemenangan 3-1, sekali gus membolehkan anak buah Alex Ferguson menamatkan saingan selaku juara Kumpulan F dengan 12 mata - tiga mengatasi Celtic yang tewas 3-1 kepada FC Copenhagen.
Arsenal yang seri 0-0 di Porto pada hari yang sama, menduduki tangga teratas Kumpulan G dengan 11 mata, sama dengan Porto, tetapi barisan Arsene Wenger di tangga teratas berdasarkan kelebihan rekod keputusan lebih baik dalam pertembungan dengan juara Eropah 2004 itu.

Mengiringi kemaraan empat kelab Inggeris itu selaku juara kumpulan ialah Bayern Munich (Kumpulan B), Valencia (Kumpulan D), Lyon (Kumpulan E) dan AC Milan (Kumpulan H), manakala juara bertahan Barcelona, Inter Milan, PSV Eindhoven, AS Roma, Real Madrid, Celtic, Porto dan Lille mara selaku naib juara kumpulan.
Dengan Celtic juga layak ke peringkat kalah mati bersama United, keseluruhannya lima kelab British mara ke kelompok 16 terbaik itu, juga jumlah penampilan terbanyak kelab British ke peringkat itu dalam sejarah kejohanan.
Ferguson meramalkan kelab British mampu menjuarai Liga Juara-Juara kali ini.
“Ia sesuatu yang menakjubkan bagi bola sepak British,” kata pengendali warga Scotland itu.
“Saya rasa, satu daripada pasukan British boleh memenanginya dan saya berharap ia adalah pasukan kami. Saya rasa pemain yakin dengan kemampuan mereka sekarang dan sedar mereka mampu memenangi perlawanan besar.”
Selain rekod itu, pemain veteran United, Ryan Giggs yang menjaringkan gol pertamanya di peringkat Eropah musim ini dalam kemenangan ke atas Benfica, menjadi pemain pertama dalam sejarah Liga Juara-Juara menjaringkan gol di kejohanan selama 12 tahun berturut-turut.
Undian bagi peringkat pertama kalah mati itu akan diadakan di Nyon, esok.
Tahulah anda?
Real Madrid paling banyak menjuarai Liga Juara-Juara apabila memenanginya sembilan kali, diikuti AC Milan enam kali dan Liverpool yang menjulang kejohanan utama kelab Eropah itu untuk kali kelima pada 2005.