Arsenal mengorak langkah



PEMAIN Arsenal meraikan gol ketiga melalui
William Gallas ketika menentang Arsenal.

Bangkit daripada permulaan lembap pada awal musim untuk berada di tangga ketiga liga

TATKALA tumpuan lebih diberi terhadap Manchester United dan Chelsea untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, satu lagi kelab gergasi, Arsenal mula mengorak langkah untuk mencabar.

Pasukan bergelar The Gunners itu menyerlah apabila melonjak tiga anak tangga Ahad lalu untuk menduduki tempat ketiga carta EPL, selepas menewaskan Liverpool 3-0, dan kini berada di belakang pendahulu, Manchester United dan juara bertahan, Chelsea.

Dua pasukan teratas itu juga mencatat kemenangan sehari sebelumnya di mana Louis Saha menjaringkan gol tunggal ketika Red Devils menewaskan Blackburn 1-0, manakala Didier Drogba mencipta hatrik dan Andriy Shevchenko menyumbang satu lagi gol ketika membantu Chelsea menang 4-0 ke atas Watford.

Sekalipun masih ketinggalan agak jauh - tujuh mata terpisah dengan Chelsea yang mengumpul 28 mata dan United tiga mata lagi di atas - Arsenal dalam keadaan selesa untuk bersaing kerana beraksi kurang satu perlawanan berbanding dua pasukan teratas itu.

Malah, kemenangan Ahad lalu itu juga melegakan pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang menyifatkan anak buahnya bangkit tepat pada masanya untuk memadam kekecewaan daripada kekalahan 1-0 kepada West Ham, seminggu sebelumnya.

“Saya jangka pasukan ini akan mencabar kejuaraan liga, tetapi kami mahu menunjukkan bahawa kami mampu mengulangi prestasi seperti ini minggu depan,” kata Wenger selepas kejayaan pasukannya menewaskan Liverpool.

Arsenal akan menentang Newcastle United di gelanggang sendiri Sabtu ini, United pula bertandang ke Sheffield United manakala Chelsea menanti kunjungan Aston Villa.

Kekalahan satu lagi kelab gergasi, Liverpool yang sebelum bermula musim diramal antara pencabar kejuaraan liga musim ini, menyaksikan harapan mereka semakin pudar.

Ia kekalahan kelima berturut-turut dialami Liverpool dalam saingan EPL musim ini - semuanya di gelanggang lawan dan kini di tangga ke-10 dengan 17 mata.

United, sekalipun sekadar mencatat kemenangan tipis minggu lalu, menguasai sebahagian besar perlawanan menentang Blackburn dengan penyerang England, Wayne Rooney terlepas sekurang-kurangnya dua peluang keemasan menjaringkan gol.

Ia juga menunjukkan bahawa pasukan itu tidak menunjukkan sebarang tanda terjejas akibat tersingkir daripada saingan Piala Liga susulan kekalahan kepada pasukan bahagian kedua, Southend beberapa hari sebelumnya.

“Keputusan itu membuktikan bahawa kami mempunyai peluang tahun ini.

“Yang bagusnya adalah kami berjaya untuk terus mengatasi Chelsea,” kata pengurus United, Alex Ferguson.



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768