MU dan Chelsea sama handal



Everton dan Aston Villa pula boleh berbangga dengan rekod tanpa kalah

MANCHESTER United kembali menduduki tangga teratas carta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Newcastle 2-0 di Old Trafford Ahad lalu apabila juara bertahan, Chelsea sekadar seri 1-1 dengan Aston Villa sehari lebih awal di Stamford Bridge.

Dua keputusan berbeza itu sekali gus meletakkan United dan Chelsea masing-masing mengumpul 16 mata, tetapi skuad Red Devils bimbingan Alex Ferguson lebih berhak di tangga teratas berdasarkan perbezaan jaringan.

Bolton pula di tangga ketiga dengan 14 mata, diekori empat kelab yang masing-masing mengumpul 13 mata - Portsmouth, Everton, Aston Villa dan Reading. Daripada keempat-empat kelab ini, Everton dan Aston Villa masih boleh berbangga kerana belum menanggung kekalahan setakat ini.

Kemenangan United ke atas Newcastle menghentikan sedikit penurunan prestasi United dalam EPL di mana mereka gagal mencatat sebarang kemenangan dalam dua perlawanan terdahulu - tewas kepada Arsenal dan seri dengan Reading.

Dua jaringan penyerang Norway, Ole Gunnar Solskjaer membantu skuad kendalian Ferguson memastikan Newcastle terus gagal mencatat kemenangan di Old Trafford sejak 1972.

“Prestasi amat menakjubkan hari ini,” kata Ferguson selepas kejayaan menewaskan Newcastle itu.

“Kami bermain dengan kesungguhan yang hebat dan mengawal permainan. Hari ini kami kembali ke landasan yang tepat.”

Kali terakhir Chelsea tercicir mata di tempat sendiri ialah pada 22 Januari lalu apabila seri dengan Charlton musim lalu.

Penyerang dari Ivory Coast, Didier Drogba menjaringkan gol pembukaan selepas tiga minit permainan - menolak masuk sepakan percuma Arjen Robben, tetapi Villa menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama menerusi Gabriel Agbonlahor, yang menanduk masuk hantaran Liam Ridgewell.

“Kami melakukan segala-galanya untuk menang, kecuali meletakkan bola ke dalam jaring,” kata Mourinho yang menyifatkan nasib tidak menyebelahi mereka ketika seri 1-1 dengan Aston Villa lalu.

Sementara itu Arsene Wenger yang mengendalikan perlawanan pertama sejak melewati 10 tahun bergelar pengurus Arsenal, meraikannya dengan kemenangan 2-1 ke atas Charlton, kemenangan kelima berturut-turut Arsenal dalam semua saingan yang disertai sejak permulaan yang goyah awal musim.

“Pasukan saya kembali ke landasan yang betul, lebih dahagakan kemenangan berbanding sebelumnya dan tentunya mereka akan lebih cemerlang lagi selepas ini,” kata Wenger.



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768