Portsmouth muncul pasukan pilihan



AKSI LuaLua ketika menjaringkan gol semasa Portsmouth menewaskan Charlton Sabtu lalu.


Kepercayaan Redknapp terhadap pemain buangan mula membuahkan hasil

MUSIM lalu mereka hampir tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi Portsmouth kini dilihat antara pasukan yang mempamerkan kebangkitan paling hebat dan mampu menjadi pencabar serius untuk kejuaraan EPL.

Skuad kendalian Harry Redknapp (gambar) itu yang hanya berjaya mengelakkan penyingkiran pada detik-detik terakhir musim lalu, kini mendahului carta EPL musim ini berbekalkan 13 mata hasil kejayaan mengekalkan rekod bersih dengan empat kemenangan dan satu seri.

Portsmouth juga adalah pasukan tunggal dalam EPL yang masih belum dibolosi sebarang gol selepas lima perlawanan hasil kemantapan benteng pertahanan yang diterajui tonggak baru ditandatangani seperti penjaga gol, David James dan bek tengah, Sol Campbell.

Namun, Redknapp lebih memuji sumbangan rangkaian penyerang Afrika yang disifatkannya menjadi tunjang kepada kebangkitan skuad itu musim ini.

Seminggu selepas pemain Zimbabwe, Benjani Mwaruswari menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Wigan, penyerang Congo, Lomana LuaLua masuk dari bangku simpanan untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Charlton Sabtu lalu, sekali gus membolehkan Pompey melonjak ke tangga teratas carta EPL, selepas satu lagi pencabar, Everton sekadar mampu seri 2-2 dengan Wigan Athletic.

Kekalahan 1-0 Manchester United kepada Arsenal di Old Trafford sehari kemudian membolehkan Portsmouth terus mengekalkan kedudukan teratas itu.

Redknapp memuji jaringan kemenangan LuaLua Sabtu lalu, tetapi dia lebih gembira dengan persembahan bintang Nigeria, Nwankwo Kanu, yang sememangnya berhak menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan.

Pemain berusia 30 tahun itu yang juga baru ditandatangani selepas dilepaskan West Bromwich Albion hujung musim lalu, sudah mengumpul empat gol dan menjadi tonggak kecemerlangan skuad Redknapp.

“Saya gembira dengannya kerana ketika saya menandatanganinya, tiada sesiapa yang mahukannya dan ramai orang datang dan bertanya, apa yang saya lakukan dan berkata dia (Kanu) tidak lagi mampu bermain.

“Tetapi saya menaruh kepercayaan kepadanya dan dia memberi reaksi balas yang baik.”


DATA: Portsmouth
  • NAMA PANGGILAN: Pompey, The Blues
  • DITUBUHKAN: 1898
  • STADIUM: Fratton Park
  • KAPASITI : 20,220
  • PENGERUSI: Milan Mandaric
  • PEMILIK: Alexandre Gaydamak
  • PENGURUS: Harry Redknapp
  • KEDUDUKAN EPL MUSIM LALU: Tempat ke-17


  • Artikel lain:

    Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
    Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768