Nistelrooy lerai ikatan MU



SAH...Nistelrooy sewaktu diikat pengurusan Real Madrid secara sah.

Mendedahkan hubungan keruh dengan Ferguson sebagai punca ke Real Madrid

KEMERIAHAN pemain yang keluar masuk dalam pasaran perpindahan pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah sampai ke kemuncaknya sebelum perlawanan pertama 19 Ogos, seterusnya menghadapi musim panjang di Eropah.

Jika dulu Chelsea berbelanja mewah mendapatkan pemain terbaik untuk skuad berpangkalan di Stamford Bridge itu, kini seteru utama Manchester United pula mencuri tumpuan apabila beberapa pemainnya mahu keluar selepas berakhirnya Piala Dunia 2006 di Jerman, bulan lalu.

Ruud van Nistelrooy ialah bintang terbaru United yang berdepan saat sukar dengan pengurus Sir Alex Ferguson, satu nama yang cukup menakutkan untuk ditentang dan pastinya akan ditunjukkan jalan keluar dari Old Trafford jika berlaku perbalahan.

Ferguson pernah menendang keluar Jaap Stam, David Beckham mahupun Roy Keane apabila mereka tidak sehaluan lagi dan kali ini sikap penyerang antarabangsa Belanda itu mencetuskan permulaan ketika dia dijual ke Real Madrid walau memiliki rekod hebat 150 gol dalam 219 perlawanan.

Pengurus itu mengakui dia tidak faham mengapa Van Nistelrooy merasakan dia tidak selesa di United sehingga meminta dilepaskan sejurus selepas kekalahan Piala FA kepada Arsenal musim lalu.

Kelibat Van Nistelrooy semakin terhad menjelang berakhir musim lalu terutama selepas Ferguson menyatakan dengan jelas bahawa pemain itu akan menjadi pilihan kedua selepas Louis Saha dalam cabaran Piala Liga menentang Wigan.

Apapun, dia tetap kekal sebagai pemain terbilang apabila menjaringkan 21 gol dalam 35 perlawanan liga, kedua terbanyak di belakang Thierry Henry.

Selepas semuanya terlaksana dengan bayaran kira-kira RM70.3 juta, barulah Nistelrooy mendedahkan sebab utama dia meninggalkan England dan betapa hubungannya yang semakin keruh dengan Ferguson.

“Hubungan saya dengan Ferguson tamat dengan cara yang amat menyakitkan. Ia tiada kena mengena dengan kelab atau penyokong. Saya rasakan jalan terbaik ialah meninggalkan kelab ini,” katanya.

Bagaimanapun penyerang prolifik EPL itu tetap tidak melupakan jasa Ferguson dengan berkata: “Saya melalui tempoh lima tahun menakjubkan di Manchester dan saya akan sentiasa ingat masa saya di sana dan sambutan tidak berbelah bagi penyokong.

“Saya tidak dapat mengucapkan selamat tinggal kepada Ferguson tapi masih ada banyak masa untuk itu. Saya banyak terhutang budi kepadanya, kerana itu pemergian ini amat menyakitkan.”

DATA
RUUD VAN NISTELROOY
NAMA SEBENAR: Rutgerus Johannes Martinius van Nistelrooij
UMUR: 30 tahun (1 Julai 1976)
ASAL: Oss, North Brabant, Belanda
KELAB: Real Madrid
KELAB LAMA:
1993 –1997: FC Den Bosch (kelab remaja)
1997–1998: SC Heerenveen
1998–2001: PSV Eindhoven
2001–2006: Manchester United
PENCAPAIAN:
Piala Eredivisie Belanda - 1999-2000, 2000-2001
Piala Super Belanda - 1999, 2000
Liga Perdana Inggeris - 2002-03
Piala FA - 2004
Piala Liga Inggeris - 2005-2006
Perisai Kemasyarakatan - 2003
Penjaring Terbanyak Liga Belanda - 1998-1999, 1999-2000
Penjaring Terbanyak Liga Perdana Inggeris - 2002-2003
Penjaring Terbanyak Liga Juara-Juara Eropah - 2001-2002, 2002-2003
Pemain Terbaik Belanda - 1999, 2000
Pemain Terbaik PFA - 2002
Pemain Paling Bernilai Liga Juara-Juara Eropah - 2001-2002

TAHUKAH ANDA?
Ruud Van Nistelrooy adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman Manchester United di peringkat Eropah dengan sejumlah 38 gol. Pemain United paling hampir dengan catatan itu ialah Denis Law dengan 28 gol.




Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768