Selamat Datang Reading, Sheffield, Watford ke EPL



PENYERANG Reading, Kevin Doyle (kanan) bakal mewarnai
kancah EPL musim depan.

LIGA Perdana Inggeris (EPL) musim 2006/2007 bakal menyaksikan tiga pasukan baru yang dinaikkan taraf - Reading, Sheffield United dan Watford - bagi menggantikan tiga pasukan yang turun pangkat - Birmingham City, West Bromwich Albion dan Sunderland.

Mungkin nama Sheffield dan Watford biasa didengar di kalangan peminat tetapi bagaimana pula Reading? Mungkinkah pasukan ini tidak akan bertahan dalam saingan paling mencabar di Liga Perdana seperti yang dipelajari Wigan Athletics musim lalu?

Jika itu andaian yang dibuat, peminat mungkin tersilap besar kerana kehadiran kelab Reading dari Berkshire buat kali pertama dalam sejarah 135 tahun mereka, membawa bersama rekod cemerlang yang dicipta sepanjang musim lalu.

Barisan kendalian jurulatih Steve Coppell menjadi pasukan paling awal menempah tiket ke EPL selepas seri 1-1 dengan Leicester, 25 Mac lalu sambil rekod tanpa kalah dalam 33 perlawanan turut menyamai pencapaian lama Liverpool di bahagian dua di penghujung abad ke-19.

Bukan itu saja, pasukan diberi jolokan The Royals yang beraksi di gelanggang sendiri Stadium Madejski itu turut mencatat rekod baru bahagian itu dengan 106 mata terkumpul hasil 31 kemenangan dan 13 kali seri - mengatasi satu mata yang dicatat Sunderland pada 1999.

Penyerang Reading yang masih berusia 22 tahun, Kevin Doyle yang mengutip caps pertama mewakili Republik Ireland Januari lalu, juga terpilih sebagai Pemain Profesional Terbaik Liga Championship 2005 selepas mengumpul 19 jaringan.

Coppell juga dijangka mengekalkan tonggak pasukan itu seperti penjaga gol Marcus Hahnemann, pertahanan Ibrahima Sonko dan Nicky Shorey serta pemain tengah Steve Sidwell sambil cuba mencari pemain baru bagi memperkuatkan kelab itu menjelang aksi sulungnya di Liga Perdana.

Bagi pengurus Sheffield United, Neil Warnock, dia cukup optimistik kelab jolokan The Blades dari Bramall Lane itu akan lebih menyerlah selepas 12 musim tersingkir daripada kancah teratas Liga Inggeris.

Sumbangan tonggak Chris Morgan, Phil Jagielka, Michael Tonge, Danny Webber dan Nick Montgomery, memastikan peningkatan mendadak kelab itu musim ini sambil kini memancing empat atau lima pemain baru bagi menggantikan pemain veteran Craig Short dan Brian Deane yang bersara.

Senario sama dikongsi pengurus Watford, Adrian Boothroyd yang percaya kelab jolokan The Hornets dari Vicarege Road yang mengetepikan mengatasi Preston dan Leeds di tangga ketiga itu kini menjadi model buat kelab bawahan lain untuk berjaya mencari tempat ke Liga Perdana.

Dengan corak permainan menyerang yang menarik, Boothroyd yang mengambil alih tugas Ray Lewington 14 bulan lalu dijangka akan berbelanja secara bijak dengan peruntukan 40 juta pound yang disediakan pengerusi kelab, Graham Simpson untuk memastikan Watford kekal beberapa musim dalam EPL, bukan seperti Sunderland, Leicester, Norwich dan West Brom yang hanya hadir semusim.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768