
WHITE Hart Lane bakal menyaksikan perlawanan penting dua kelab gergasi bola sepak Inggeris Isnin depan apabila Tottenham Hotspur menentang barisan pimpinan Sir Alex Ferguson dengan masing-masing memiliki misi sama - meraih tiga mata penuh.
Berbekal lapan kemenangan berturut-turut pasukan berpangkalan di Old Trafford itu masih berpeluang merampas kejuaraan daripada tangan Chelsea dengan hanya tujuh mata memisahkannya manakala Tottenham cuba mengintai peluang beraksi dalam saingan elit Liga Juara-Juara Eropah jika mampu berada dalam kedudukan empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Semua pasukan di bawah kami mahu menukar tempat dengan kami. Semua perlawanan selepas ini adalah umpama final bagi kami tetapi jika kami memiliki usaha gigih seperti ketika ini, kami memiliki peluang cerah,” kata pengurus Spurs, Martin Jol mengenai harapan kelab berkenaan di Liga Juara Eropah selepas kemenangan 2-1 mengatasi Manchester City, Sabtu lalu.
Jol sedar, pasukannya semakin tertekan akibat desakan pasukan tetangga dari utara London, Arsenal namun lima mata memisahkan kedua kelab mesti dipertahankan supaya Tottenham mampu kembali beraksi di pentas Eropah buat kali ketiga kerana sejak kali terakhir memenangi Piala UEFA 1984 di bawah pimpinan Keith Burkinshaw, mereka tidak pernah beraksi di pentas tertinggi di era moden sejak 1961.
Jika Spurs memiliki peluang 50-50 untuk layak, United pula tidak mempedulikannya kerana pada Red Devils, hanya juara EPL menjadi idaman dan kunjungan ke Chelsea pada 29 April nanti adalah peluang terakhir mereka melakukannya kerana tiada lagi pasukan lain mampu menghalang Chelsea.
Aksi United semakin menyerlah kebelakangan ini, lebih-lebih lagi jika dilihat kemampuan mereka mencantas kelebihan 18 mata The Blues sejak awal Mac.
“Saya percaya jika kami terus menang, kami memiliki peluang baik. Bagaimanapun, kami terpaksa juga menang di Stamford Bridge.
“Kami mengharapkan mereka tewas dan ia kadangkala berlaku kerana Chelsea akan ke Bolton minggu depan. Adakah anda rasa Bolton akan tewas semua lima perlawanan mereka? Saya rasa tidak,” kata Ferguson berkias mengenai peluang mereka ketika Chelsea bakal berdepan Bolton, Sabtu ini.
Kini segala-galanya terserah kepada pemain di tengah padang dan ia pastinya terarah kepada kelibat penggempur utama United, Wayne Rooney yang beraksi cemerlang dengan menjaringkan satu gol ketika menewaskan Arsenal minggu lalu sambil penyerang utama Spurs, Robbie Keane boleh sekali lagi mencipta kejutan buat The Red Devils selepas mempamer aksi terbaik untuk mengumpul sejumlah 14 gol setakat ini.
DATA
WAYNE ROONEY
UMUR: 21 tahun (24 Oktober 1985)
ASAL: Liverpool, England
POSISI: Penyerang
KELAB: Manchester United (sejak 31 Ogos 2004)
KELAB LAMA: Everton
ROBBIE KEANE
NAMA SEBENAR: Robert Keane
UMUR: 26 tahun (8 Julai 1980)
ASAL: Tallaght, Dublin, Ireland
KELAB: Tottenham Hotspur (sejak 2003)
KELAB LAMA: Leeds United