Old Trafford bakal bergegar



Nistelrooy (kiri) dan Henry - dua penyerang terbaik
setakat ini dengan 21 gol menjadi penggempur
tumpuan dalam EPL.

PERTEMBUNGAN epik dua gergasi Liga Perdana Inggeris Manchester United dan Arsenal menjadi perlawanan paling hangat minggu depan apabila dua kelab paling berpengaruh di England itu masing-masing mahu mengejar kedudukan liga menepati status besar mereka.

Arsenal, bergelar satu-satunya kelab Inggeris masih melangkah di kejohanan paling utama kelab Eropah, Liga Juara-Juara berada di persembahan terbaik mereka sejak kebelakangan ini mengutip mata demi mata malah menumbangkan banyak gergasi Eropah seperti Real Madrid dan Juventus.

Terakhir, Aston Villa menjadi mangsa kebangkitan kelab bergelar Gunners itu menerusi kemenangan besar 5-0 minggu lalu sementara United terus menguatkan cengkaman di EPL selepas kemenangan 2-1 mengatasi Bolton di tempat lawan ketika menantikan kunjungan Arsenal ke Old Trafford.

Arsene Wenger dilihat bimbang dengan pertemuan itu selepas kemenangan 5-0 mengatasi Villa yang menyebabkan dua tonggaknya Cesc Fabregas dan Emmanuel Eboue mengalami kecederaan tambahan pula terpaksa berdepan Juventus sebelum bertandang ke United.

“Kedua-dua memiliki peluang 50:50 (menentang Juventus pada Rabu), ini bermakna 60:40 selepasnya,” kata Wenger merujuk pertemuan seterusnya menentang anak-anak buah Alex Ferguson.

Ferguson pula yakin pertemuan menentang Arsenal yang berada di kemuncak prestasi akan menentukan sama ada Manchester United benar-benar boleh mencipta tekanan buat Chelsea bagi gelaran juara liga.

“Kami ada pertemuan sengit minggu depan menentang Arsenal, kami bermain baik, mereka bermain baik, seharusnya ada perlawanan menarik nanti.

Jika kami boleh atasi halangan itu, kami memiliki peluang. Kami sedang mengejar mereka, harap-harap kemenangan tidak terlalu cepat hilang.

“Saya selalu merasakan perkara paling penting ialah jika beraksi baik pada April anda akan memiliki peluang, jika tidak anda akan membazirkan peluang itu,” katanya.

Perlawanan itu juga bakal menemukan dua penggempur utama EPL, Thierry Henry menentang Ruud van Nistelrooy yang sudah merekod 21 ja ringan setakat ini, jauh meninggalkan penggempur lain di liga.

Nistelrooy buat United menonjol apatah lagi dia meraikan jaringan ke-150 sejak bersama United minggu lalu manakala Henry disifatkan tiada galang gantinya di Highbury selepas aksi selama lapan tahun sukar digugat.

Pertemuan kedua pasukan ini dikatakan buku bertemu ruas seperti kata pengurus Aston Villa, David O’Leary: “Saya harap Arsenal akan mampu mara ke final Liga Juara-Juara Eropah dan menentang Barcelona, kerana itu adalah perlawanan impian. Mereka adalah dua pasukan bermain paling hebat di Eropah, Manchester United juga adalah pasukan yang mampu bermain seperti dilakukan Arsenal ketika ini.”

DATA
THIERRY DANIEL HENRY

UMUR: 29 tahun (17 Ogos 1977)
ASAL: Chatillon, Paris, Perancis
KELAB: Arsenal (RM75.9 juta, 1999)
POSISI: Penyerang
KELAB LAMA: Ulis (Paris),
Versailles (Perancis), Monaco
(Perancis),Juventus (Itali)

DATA
RUUD VAN NISTELROOY

UMUR: 30 tahun ( 1 Julai 1976)
ASAL: Oss, Belanda
POSISI: Penyerang
KELAB: Manchester United
KELAB LAMA: PSV Eindhoven




Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768