

PERTEMBUNGAN pasukan kelima dan ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Arsenal dan Bolton bakal menyajikan perlawanan menarik minggu ini tatkala kedua pasukan memiliki peluang cerah merapatkan diri di kelompok empat terbaik EPL.
Arsenal antara pasukan dilihat agak kelam-kabut sejak beberapa minggu ini lantaran beberapa masalah membabitkan pemain walaupun berbelanja mewah pada pembelian pemain ditutup Januari lalu sementara Bolton agak sepi namun tetap menyengat bersama bintang yang `kembali digilap'.
Anak-anak buah Sam Allardyce hanya kalah sekali dalam tempoh tiga bulan terakhir iaitu ketika menentang Manchester United pada 31 Disember lalu sementara Arsenal kembali dengan persembahan `ala yoyo' untuk kalah lima daripada 11 perlawanan.
Namun ada nada gembira buat kelab berpangkalan di Highbury itu selepas Thierry Henry melengkapkan gol ke-200 sepanjang kariernya bersama `Gunners' menerusi kemenangan 2-0 mengatasi Birmingham City dan tonggak pertahanan Sol Campbell juga berjanji akan kembali selepas `episod pelik' menghilangkan diri dari kem latihan.
"Saya rasa anda tidak boleh selalu bermain baik dan kemudian tewas seperti kami lakukan. Kami menerima banyak kritikan dan ada satu saja jawapan kepadanya iaitu menerusi persembahan berkualiti di atas padang.
"Kami memiliki lapan pemain di bawah umur 22 tahun (menentang Birmingham) terutama di bahagian pertahanan tetapi menunjukkan persembahan baik. Kami melalui jalan sukar tetapi itu lebih baik, ia bermakna barisan muda ini mula bermain ketika kami bukanlah `Rolls-Royce' dan ia menguatkan mereka.
"Bukanlah sesuatu yang buruk buat mereka untuk memulakan sesuatu bukanlah di permaidani merah," kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger.
Di Stadium Reebok, Sam Allardyce masih menantikan kepulangan penyerang utamanya El Hadji Diouf dan Abdoulaye Faye yang bermain di Piala Negara Afrika namun pasti memiliki ramuan mujarab sebagai bekalan ke Highbury.
Dia sudah membuktikan dia boleh membentuk barisan terkuat daripada kalangan pemain bintang yang hilang arah suatu ketika dulu dan menambah pemain berpengalaman seperti Fernando Hierro, Jay Jay Okocha, Stelios Giannakopoulos, Ivan Campo dan Vincent Candela ke skuad yang penuh dengan pemain tidak ternama itu.
Malah barisan bergelar Trotters itu masih segar selepas menewaskan Arsenal 1-0 pada 28 Januari lalu dalam saingan Piala FA.
DATA
ARSENE WENGER
KELAB: Arsenal
UMUR: 47 tahun (22 September 1949)
ASAL: Strasbourg, Perancis
KELAB LAMA: Nagoya Grampus Eight, AS Monaco, Nancy Lorraine
DATA
SAM ALLARDYCE
KELAB: Bolton Wanderers
UMUR: 52 tahun (19 Oktober 1954)
ASAL: Dudley, West Midlands, England
KELAB LAMA: Notts County