Nistelrooy, Kewell ghairah lakar nama




PERTEMPURAN epik Manchester United menentang Liverpool, Ahad ini bakal mengungkapkan siapakah antara dua pasukan gergasi bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Eropah itu benar-benar menepati status mereka sebagai pasukan bangsawan bola sepak England.

Jika United lebih dilihat bergelut dalam beberapa pertemuan terakhir mereka terutama selepas tumpas 1-3 kepada musuh setempat, Manchester City, Liverpool pula secara tenang merekodkan kemenangan kelapan berturut-turut di gelanggang sendiri selepas mengatasi Tottenham Hotspur 1-0 di Anfield.

Liverpool harus berterima kasih kepada pemain sayap mereka, Harry Kewell yang menjaringkan gol tunggal itu lantas menaikkan kembali namanya dalam senarai pemain cemerlang buat pengendali Rafa Benitez.

Penyerang berasal dari Australia itu disifatkan rakan sepasukan, Jamie Carragher sebagai seorang 'pemain baru' buat The Reds jika dilihat masalah kecederaan dialami pemain berkenaan sejak final Liga Juara-Juara Eropah di Istanbul, Mei tahun lalu.

“Apa yang terjadi di Istanbul memang menyedihkan tetapi dia berjaya meyakinkan kembali penyokong.

Lebih hebat gol kemenangan ketika menentang Spurs banyak membantu. Ketika ini dia tidak 100 peratus cergas tetapi sudah boleh bermain sebaik ini. Dengan bermain lebih banyak perlawanan dan lebih cergas, dia akan bertambah baik,” katanya.

Benitez pula menyedari hakikat pasukannya beraksi baik ketika ini dan berkata bahawa perlawanan pada Januari dan Februari bertemu Tottenham dan minggu depan Manchester United akan menjadi petunjuk penting kekuatan mereka.

“Kami akan menentang Manchester United, Chelsea dan Arsenal dalam tempoh pendek ini. Jika anda menang perlawanan ini anda pasti berada di kelompok empat terbaik. Jika kami berada di kelompok itu dengan cara permainan ditunjukkan ketika ini, saya yakin kami akan lebih gagah musim depan,” kata Benitez.

Di kem United, minggu lalu agak sibuk buat Sir Alex Ferguson apatah lagi dia dan penyerang, Wayne Rooney terpaksa berdepan siasatan FA England kerana mengkritik pengadil Steve Bennett ketika mereka tewas 3-1 di tangan Manchester City.

Skuad berpangkalan di Old Trafford itu juga terpaksa melupakan khidmat Cristiano Ronaldo kerana dilayangkan kad merah namun tonggak pencari gol mereka, Ruud van Nistelrooy ternyata tidak menghampakan.

Dengan16golsebagaipenjaring terbanyak EPL, nyata Nistelrooy perlu diawasi barisan Liverpool jika mahu terus mencatat kemenangan kesembilan buat mereka.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768