
PEMINAT Manchester City masih ingat bagaimana begitu hampir pasukan mereka nyaris menumbangkan pasukan tetangga, Manchester United di Old Trafford. Bagi penyerang veteran, Andy Cole, dia begitu hampir tampil mahu memusnahkan bekas pasukannya apabila kembali ke gelanggang saingan memakai jersi biru dan bukan merah.
Sabtu ini, kedua-dua pasukan yang sudah masak dengan persembahan dan taktik permainan masing-masing akan bertembung bersama Joey Barton yang menjaringkan gol di Old Trafford, kira-kira tiga bulan lalu.
Kini, segala-galanya menjurus kepada pengurus, Stuart Pearce mencongak muslihat terbaik untuk menjerat Wayne Rooney dan rakan-rakan buat menyentap lagi cabaran United untuk menyimpan sisa-sisa harapan mahu menandingi Chelsea selaku jaguh liga musim ini.
“Perlawanan bertemu United sentiasa menarik. Saya mengerti permainan mereka dan adalah sesuatu yang menyeronokkan jika dapat menyumbat satu gol masuk ke dalam gawang lawan itu,” kata Cole.
Bagi Pearce, Cole yang menjadi pertaruhan mengerti dia calon terbaik merobek gawang bekas pasukannya itu berdasarkan pengalaman tujuh tahun di bawah kendalian Sir Alex Ferguson selepas dibeli United pada Januari 1995. Cole berjaya menghasilkan 93 gol daripada 161 perlawanan secara keseluruhan bersama United.
Ferguson jelas sudah melupakan jasa Cole sebaliknya menaruh keyakinan tinggi bahawa anak emas barunya, Rooney yang genap 16 bulan bersama United sejak berpindah dari Everton boleh memalit duka kepada penyokong City.
Penyerang England itu berkata: “Saya seperti berada di rumah sendiri. Saya benar-benar sudah bersedia sekarang, penyokong dan setiap orang melayani saya dengan baik. Itu bermakna saya boleh memberi tumpuan baik dan mahu mengejar mata penuh apabila menentang City nanti.”
DATA
ANDY COLE
NAMA SEBENAR: Andrew Anthony Cole
UMUR: 35 tahun (15 Oktober 1971)
ASAL: Nottingham
POSISI: Penyerang
KELAB: Manchester City
KELAB LAMA: Arsenal, Fulham, Bristol City,
Newcastle United, Blackburn Rovers, Manchester United.
WAYNE ROONEY
UMUR: 20 tahun (24 Oktober 1985)
ASAL: Liverpool, England
POSISI: Penyerang
KELAB: Manchester United (sejak 31 Ogos 2004)
KELAB LAMA: Everton