|
FAM perlu fikir kesan tanpa 'awang import'
Oleh V Ashok
TEMPOH hari, ada seorang pembaca menghubungi epg bertanya khabar kenapa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak lagi mahu menggunakan khidmat pemain import dalam kancah Liga Malaysia, musim depan.
Secara terus terang dia berkata tindakan itu bukan satu rumusan bahawa skuad negara akan kembali mantap secara mendadak. Sebagai peminat dia beranggapan penonton tempatan masih menagih kelibat pemain bergelar awang import itu sebagai pentas hiburan mereka.
Rata-rata ramai sudah tidak berapa pedulikan kemajuan skuad negara kerana setiap tahun, jalan cerita tetap sama - mengecewakan.
Jadi, pembaca itu beranggapan kesilapan pengurusan pihak FAM membentuk pasukan kebangsaan harus tidak menjadi satu hukuman kepada pemain import diketepikan - hanya kerana mahu pemain tempatan diberikan peranan lebih utama dalam kesebelasan pasukan negeri.
Dia turut mengutarakan kenapa Liga Jepun (Liga-J) atau Liga Korea Selatan, umpamanya tetap meriah dan ketika sama pengurusan kedua-dua persatuan negara berjaya membentuk skuad negara mantap yang boleh layak ke Olimpik atau Piala Dunia.
Di sini, mana silap agaknya di pihak FAM? Dulu, pegawai kanan mereka juga berkata penyertaan pemain import adalah satu cara untuk membentuk pemain tempatan kualiti dan kemudian dapat membentuk pula pasukan negara yang kualiti.
Eksperimen mereka jelas gagal nampaknya atau pun secara terus terang tidak ada satu perancangan baik dari peringkat akar umbi membentuk pemain tempatan bermutu, khususnya dari peringkat sekolah.
Dalam menyelami pendapat pembaca tadi, epg juga turut terasa ada kebenaran, cuma kita tidak dapat memilih pihak mana yang benar kerana soal bola sepak dan FAM sentiasa mengelirukan kita.
Ketika bola sepak antarabangsa - sama ada terumbang ambing atau merudum sejak lebih dua dekad lalu, peminat tempatan jelas lebih peka mengenai pasukan negeri masing-masing kerana itulah pentas yang membuat mereka seronok.
Bagi mereka, kejayaan pasukan disokong, umpamanya Kedah atau Selangor membawa kepuasan dan jika pemain import menjadi wira, mereka akan menjulang tenaga asing itu sama seperti mereka sayangkan pemain tempatan. Dari segi kutipan jualan tiket di stadium, kehadiran pemain import jelas ada sumbangan masing-masing.
Jadi, FAM perlu merenung apakah keputusan mereka tidak mahu menggunakan khidmat pemain import satu tindakan bijak.
Dalam ruangan kali ini, epg juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Misbun Sidek diatas anugerah diterima baru-baru ini selepas sekian lama menabur jasa dan sumbangan kepada badminton negara.
Majulah sukan untuk negara!
|