Biar sukan dinilai dari sudut rasional

Oleh V Ashok

PENGKRITIK sukan ada kalanya mudah terjebak dengan bicara mengenai tahap kualiti dalam saingan daripada menilai keputusan terpuji dicapai atlit atau pun pasukan negara. Keputusan dalam sesuatu kejohanan akan dirakamkan dalam buku rekod dan di sini biarlah kita terima hakikat, kemenangan tetap kemenangan walau dengan apa cara pun ia dipersembahkan.

Baru-baru ini, 10 anak muda negara mencipta nama buat Jalur Gemilang dengan mengekalkan mahkota kejuaraan apabila mengungguli Formula Future Dunia di Ravenna, Itali. Secara konsisten disiplin ini menuai hasil baik setiap kali ‘angkatan kerdil’ ini beraksi sejak 2004.

Malah, ini adalah kejuaraan kali keempat selepas menepis cabaran dari enam negara lain - Jerman, Slovakia, Britain, Russia, Republik Czech dan tuan rumah, Itali.

Untuk pengetahuan, kita adalah pasukan negara tunggal di Asia Tenggara yang giat mempromosikan sukan air ini dan di antara yang popular di Asia.

Ada pengkritik yang menghujahkan kejayaan itu menyusul kerana angka yang kecil dari negara penyertaan yang membantu laluan skuad Malaysia muncul juara, tambahan apakah kualiti sebenar dalam saingan itu. Bicara seperti itu tidak harus wujud kerana apa lebih penting wira-wira kecil negara itu berjaya mengharumkan nama negara dan secara tidak langsung menjual nama negara dari segi perspektif pelancongan.

Orang yang hadir menyaksikan saingan itu pasti tertarik dan mungkin tampil untuk mendapat maklumat tambahan mengenai Malaysia. Secara tidak langsung itu satu kejayaan untuk negara.

Tiga pingat emas diraih dari kategori Kelas 1 (8-9 tahun), Kelas 2 (10-11 tahun) dan Kelas 3 (12-13 tahun) menceritakan kita memiliki ahli sukan kerdil bersemangat waja yang dahagakan kejayaan. Jelas mereka sudah belajar erti kejayaan di peringkat antarabangsa pada usia muda.

Usah kita mudah menghujahkan kejayaan itu ala kadar sahaja kerana seperti sukan lain, atlit ini gigih berlatih dan memberi fokus untuk menjuarai kejohanan ini sehingga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail menyuarakan komitmen kementeriannya untuk menjadikan program Formula Future itu dalam kegiatan ko-kurikulum sekolah rendah secepat mungkin.

Tidak salah usaha itu dicanang kerana di peringkat akar umbi seperti ini lazimnya sukan akan bercambah, tambahan kesungguhan dan disiplin awal dipupuk di kalangan pelajar muda yang sentiasa mahu menjadi juara dunia.

Difahamkan, Formula Future juga akan menjadi acara demonstrasi di Sukan Olimpik Beijing dan akan diperkenalkan di Sukan Remaja Dunia di Singapura pada 2010. Jadi, dengan pengiktirafan antarabangsa kepada acara ini, adalah amat menceriakan mendengar nama Malaysia sudah dikenali sebagai jagoan disiplin ini membabitkan anak muda kita.

Kejayaan ini harus dinilai besar dan marilah kita bersama-sama memberi dorongan kepada anak muda ini untuk terus berjaya daripada melihat kepada satu sudut negatif betapa kecil sukan ini di mata dunia ketika kemasyhuran dirakamkan ‘angkatan kerdil’ ini sudah menjulang martabat sukan dan pelancongan negara.

Majulah sukan untuk negara!


Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768