Jet terhempas palit memori ngeri buat Flair


PENGGUSTI veteran ini dilahirkan di Memphis, Tennessee tetapi berpindah ke Edina, Minnesota, dan membesar di sana sebelum menyertai gusti profesional selepas mendapat tunjuk ajar legenda gusti - Verne Gagne.

Sebenarnya sejak kecil lagi Flair sudah menunjukkan yang dia adalah seorang atlit berbakat pemain bola keranjang di sekolah tinggi dan pemain bola sepak bahagian pertahanan yang kental di University of Minnesota

Habis pengajian, Flair yang mendapat tunjuk ajar berguna dari Verne Gagne dan Billy Robinson menyertai American Wrestling Association (AWA) menentang lawan pertamanya “Scrap Iron” Gadaski dalam pertarungan pada 10 Disember 1972 yang berakhir dengan keputusan seri.

Berakhirnya perlawanan itu, Flair menyedari yang dia memiliki potensi besar tetapi hanya akan dapat direalisasikan jika mendapat pendedahan lebih banyak di pelbagai kejuaraan lain sejak itu Flair tidak jemu-jemu berusaha ke arah itu.

Bagaimanapun, ketika kehebatannya mula terserlah Flair mengalami tragedi paling menyedihkan dalam hidupnya apabila pada 4 Oktober 1975 jet persendirian yang dinaikinya bersama beberapa penggusti lain terhempas sejurus sebelum tiba di Wilmington, Carolina Utara berikutan kehabisan minyak menyebabkan Flair cedera parah.

Selepas kemalangan, doktor memberitahu Flair yang dia berkemungkinan besar tidak dapat bergusti lagi selain memerlukan tempoh sekurang-kurangnya setahun untuk sembuh sepenuhnya dari kecederaan belakangnya.

Keajaiban bagaimanapun berlaku apabila Flair bukan saja sembuh sepenuhnya kurang daripada tempoh setahun seperti yang dijangkakan bahkan mampu kembali ke gelanggang pertarungan kurang daripada empat bulan selepas kemalangan.

Dia mengalahkan Wahoo McDaniel yang bukan saja menandakan kepulangan Flair tetapi permusuhan sebenar dengan lawannya itu.

Kejayaan demi kejayaan mengiringi kerjaya Flair selepas itu dan boleh dikatakan dia adalah antara penggusti veteran yang masih mampu menyerlah di kaca televisyen walaupun dengan kehadiran ramai jagoan lebih muda dan lasak.

DATA EpG

RIC FLAIR


NAMA SEBENAR: Richard Morgan Fliehr
TINGGI:182sm
BERAT:111kg
TARIKH LAHIR: 25 Februari 1949
PENCAPAIAN: Lapan kali Juara Dunia WCW, Juara WCW antarabangsa, enam kali Juara AS dan dua kali Juara WWF


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768