Ivory tidak sayang muka


JIKA wajah cantik boleh membunuh, Ivory adalah seorang daripadanya. Diva gusti ini kerap membuatkan orang berpaling melihat wajahnya sejak menyertai WWE.

Sebagai juara tiga kali kategori wanita, Ivory dianggap sebagai ahli gusti wanita paling berpengalaman. Lebih daripada itu, Ivory turut bertanggungjawab terhadap kebangkitan wanita dalam bidang gusti selain mengembalikan semula perhatian peminat kepada ahli gusti wanita.

Sebelum beraksi di WWF, Ivory mempunyai pengalaman dan pendedahan dengan pertubuhan gusti yang kini sudah tidak wujud. Ketika itu dia bergusti untuk GLOW (Gorgeous Ladies of Wrestling) sebagai Tina Ferrari dan meraih beberapa kejayaan dalam sirkit itu. Apabila GLOW `tutup kedai’ berikutan merudumnya era gusti wanita pada pertengahan 1990an, dia mengambil keputusan bekerja sebagai ahli `stunt’ wanita serta menjadi mekap artis Revlon.

Tapi, dia kemudian sedar yang dirinya sebenarnya rindukan gelanggang dan aksi lasak gusti, lantas mengambil keputusan untuk mengetuk pintu WWF pada Februari 1999 sebagai Ivory. Apa yang berlaku selepas itu menyaksikan wirawati bertubuh sasa dan seksi yang mempunyai skil serta pengalaman itu menjulang kategori wanita ke tahap lebih tinggi yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

Ivory yang nama sebenarnya Lisa Moretti berkata: “Kebanyakan orang yang saya jumpa memberitahu usah rosakkan muka cantik kamu. Tapi saya tak peduli kerana hidup saya hanya untuk gusti!”

Dia yang bertubuh atletik dan kerap kalah kepada dua abangnya ketika mereka bergumpal semasa kecil turut memberitahu yang `abang-abangnya sudah tidak berani bergusti dengan saya lagi’.

Ivory pernah mengalami kecederaan bibir yang memerlukan 12 jahitan kerana terjatuh ketika beraksi di gelanggang.

“Kecederaan seperti itu yang menakutkan emak saya. Dia selalu memberitahu saya supaya jangan cedera! Tapi bapa saya tak kisah sangat. Begitupun, saya rasa bapa saya sepatutnya tinggal di India. Dia tidak begitu faham apa yang saya buat. Baginya, saya perlu berkahwin dan mempunyai anak ramai,” katanya.

Bercakap mengenai calon suami, Ivory yang jelas lebih selesa berada di kalangan ahli gusti lelaki berkata: “Lelaki lain tak begitu memahami saya. Jadi hubungan kami selalunya tidak kekal lama. Hanya mereka yang menjadi ahli gusti lebih memahami perasaan saya.”

Mengenai pemakanannya, Ivory yang berkata dia makan lima kali sehari lebih gemar memakan sayur-sayuran dengan mengetepikan langsung daging daripada dietnya.

”Melalui pemakanan seimbang, baru boleh saya tumpukan latihan kardiovascular untuk menghadapi pertandingan,” katanya.

Selepas sekian lama bergiat aktif dalam sukan itu, Ivory menasihatkan orang ramai supaya tidak memandang rendah keupayaan ahli gusti wanita dan kepada wanita yang mahu menjadi ahli gusti, nasihatnya: “Anda patut masuk gelanggang segera!”

IVORY
NAMA SEBENAR: Lisa Mary Moretti
TARIKH LAHIR: 26 November 1961
TEMPAT LAHIR: Inglewood, California,
TINGGI: 165sm
PENDIDIKAN: Memiliki Ijazah Perhubungan Awam dari University of Southern California pada 1984.
KEMUNCAK KERJAYA: 3 kali juara kategori wanita
PENCAPAIAN: Dikenali sebagai Tina Ferrari dalam GLOW (Gorgeous Ladies of Wrestling) dan Tina Moretti dalam PWOW (Powerful Women of Wrestling) pada tahun 1980an dan 1990an. Turut bekerja sebagai model Revlon, ahli lagak ngeri wanita di Universal Studios, mengajar kelas kecantikan di kolej kemasyarakatan Los Angeles serta menjadi ketua kumpulan sorak untuk Los Angeles Express di USFL.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768