Benjamin bijak tumbang lawan


TIDAK ramai penggusti hebat dalam dunia gusti hari ini dapat menandingi Shelton Benjamin yang memiliki keunikan tersendiri apabila menguasai kemahiran ketika bertarung di gelanggang selain tindakannya yang pantas dan lincah ketika menjatuhkan lawan.

Faktor ini menjadikan Benjamin antara lawan yang digeruni di World Wrestling Entertainment (WWE) kerana dengan mudah dia boleh menangkap lawannya dengan kepantasan yang menakjubkan sebelum menjatuhkannya ke lantai gelanggang.

Kombinasi kedua-dua kemahiran ini menjadikan Benjamin antara penggusti yang sering menjadi sebutan walaupun baru saja menyertai sukan berkenaan dan namanya masih tidak sehebat nama-nama yang sudah lama bertapak di WWE.

Namun tidak ramai yang menyedari atlit yang dilahirkan di Orangeburg, Carolina Selatan pada 9 Julai 1976 itu sudah menjadi seorang atlit yang hebat sejak awal ke-munculannya lagi dengan menjadi juara kelas heavyweight peringkat junior dan senior di Sekolah Tinggi Orangeburg-Wilkinson di tempat kelahirannya.

Atlit sasa ini juga hebat di trek dan arena bola sepak dengan menjadi juara acara 100 meter pecut dan dua kali terpilih untuk pemilihan peringkat negeri dalam permainan American Football ketika masih bersekolah.

Selepas menamatkan pengajiannya, Benjamin yang meminati sukan berbentuk hiburan itu kemudiannya men-yertai Kolej Lassen Community di Susanville, California yang menjadi gelanggang pertamanya bergiat dalam sukan itu hingga bergelar juara NJCAA pada 1996 selain juara kolej dalam acara 100 meter pecut.

Benjamin kemudiannya memasuki Universiti Minnesota dan selepas menamatkan pengajian dia menghabiskan dua musim di institusi pengajian tinggi itu sebagai penolong jurulatih sukan gusti tempat dia pernah melatih juara WWE - Brock Lesnar.

Tidak lama selepas itu, di Ohio Valley Wrestling dia bersama pasangan-nya – Lesnar berjaya memperoleh gelaran tag team dengan panggilan Minnesota Stretching Crew lantas menerima tawaran menyertai World Wrestling Entertainment (WWE).

DATA EpG

SHELTON BENJAMIN

UMUR: 28 tahun
TINGGI: 188sm
BERAT: 111kg
ASAL: Orangeburg, South Carolina
PENGGUSTI KEGEMARAN: Sting, Steiner Brothers, Undertaker


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768