Lita diva seksi pandai main gitar


AMY Christine Dumas atau lebih dikenali sebagai Lita dalam dunia gusti World Wrestling Federation (WWF) mempunyai peminat tersendiri seluruh dunia yang terpesona menyaksikan gaya penggusti seksi dan cantik ini bertarung di gelanggang.

Namun tidak ramai yang tahu, penggusti kelahiran Fort Lauderdale, Florida itu juga pandai bermain gitar bass selain pernah menjadi pengurus kumpulan kumpulan muzik selepas menamatkan pengajiannya di universiti.

Lita menghabiskan kebanyakan masanya dengan tinggal di Jacksonville dan Orlando dekat Florida sebelum kembali ke tempat kelahirannya di Fort Lauderdale dan berpindah pula ke Atlanta, Georgia di mana dia menghabiskan era persekolahan sebelum memasuki Universiti Georgia.

Kariernya bermula pada 1999 apabila bersama ECW (Extreme Championship Wrestling) dengan dikenali sebagai ‘Angelica’ (Indies dan ECW), ‘Miss Congeniality’ (ECW) dan akhirnya WWF dengan panggilan ‘Lita’.

Mempunyai tatu menarik pada leher, bahu, lengan dan beberapa lagi bahagian tubuhnya - Lita sebenarnya mempunyai kemahiran dalam judo dan kickboxing yang membolehkan dia kekal antara diva yang dikagumi di WWF.

Sepanjang kerjayanya, dia mengalami pelbagai kecederaan termasuklah ketika dibelasah teruk oleh Eddie Guerrero menyebabkan dia terpaksa dirawat selama enam minggu selain pernah mengalami patah jari kakinya ketika melakukan aksi melompat ketika menentang Ivory dan Trish Stratus.

Dia yang bermula di ECW menyifatkan ia adalah tempat yang menggembirakan dengan banyak perkara baru dipelajarinya dalam tempoh singkat walaupun dengan saingan paling mencabar selain masalah kewangan.

“WWF lebih baik berbanding ECW dan menyertai WWF seperti mimpi menjadi kenyataan. Banyak pengalaman saya dapat di ECW dan adalah amat baik untuk seseorang yang berpengalaman untuk bersaing dalam saingan lebih mencabar,” katanya yang amat meminati sukan gusti.

Amy terlalu taksub dengan dunia gusti sehingga sanggup melihat pertarungan gusti di kaca televisyen sepanjang minggu dan berlakon seperti dia juga sedang berada di gelanggang walaupun sebenarnya berada di rumah.

Dia yang bersikap terbuka terhadap sukan itu menyifatkan adalah tidak mengapa untuk mempamerkan sesuatu jika peminat mahu menyaksikannya.

Katanya: “Peminat mahu melihat sesuatu yang tidak pernah mereka lihat dan apabila mereka melihatnya mereka akan gembira.Saya memberikan sesuatu yang lain daripada yang lain untuk dilihat oleh mereka."

DATA EpG

LITA


NAMA SEBENAR: Amy Christine Dumas
TARIKH LAHIR: 14 April, 1975
UMUR: 29 tahun
ASAL: Fort Lauderdale Florida.
TINGGI: 171sm
BERAT: 61kg
NAMA LAIN: Angelica (Indies dan ECW), Miss Congeniality (ECW)
GAYA PEMUSNAH: Moonsault from the top rope, HurricanLita, Swinging DDT's, Twist of Fate.



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768