Trish diva paling popular
DIANGGAP sebagai salah seorang daripada Diva paling anggun dalam gusti wanita, nama Trish Stratus semakin kukuh mencengkam dalam World Wrestling Entertainment (WWE). Kecantikannya bagaikan tiada tandingan manakala kecerdikan dan otot sasa pula melengkapkan penampilan keseluruhannya.
Dikenali sebagai model kecergasan, Trish mula menyertai arena WWE pada 2000 sebagai pengurus untuk beberapa bintang muda, termasuk bekas juara Intercontinental WWE, Val Venis. Bagaimanapun, penampilan kewanitaan serta tubuh sasanya menyebabkan peminat bagaikan tidak puas dengannya dan mahukan pembabitan yang lebih banyak daripada Trish. Ternyata Diva muda itu tidak gentar menyahut cabaran dan sebaliknya memberikan yang terbaik sehingga menduduki tangga teratas kategori wanita WWE. Trish memegang takhta Wanita WWE selama beberapa kali dan berusaha keras mengekalkan kedudukan itu.
Kesungguhannya dalam bidang pilihannya itu turut menjadikan Trish sebagai antara ahli gusti wanita paling lasak pernah memasuki gelanggang dan antara `senjata’ ampuhnya termasuk tumbukan bertenaga dan pergerakan akrobatik yang menarik minat peminat WWE setiap minggu.
Meskipun kerap bengkak dan lebam semata-mata kerana mahu bergelar bintang WWE, Trish menganggapnya sebagai asam garam dalam bidang gusti. Justeru, tidak hairanlah kecekalannya itu menyaksikannya dinamakan Diva WWE Dekad Ini ketika Ulang Tahun Istimewa Ke-10 RAW serta memasuki peringkat akhir WWE.com Babe of the Year tiga kali berturut-turut. Malah, Trish turut acap kali menghiasi muka depan WWE dan Majalah RAW dan sentiasa dianggap sebagai salah satu daripada ahli gusti yang kerap tersenarai dalam Majalah Diva WWE.
Berasal dari Toronto, Kanada, Trish dilahirkan sebagai Trisha Stratigias pada 18 Disember 1976. Bagaimanapun, dia tidak pernah bermimpi untuk menjadi model kecergasan dan kemudiannya selebriti televisyen. Percaya atau tidak, Trish sbenarnya pernah belajar biologi dan kinesiologi di York University, Toronto dengan harapan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.
Begitupun, pada masa yang sama minat terhadap latihan angkat berat dan kecergasan mula bercambah. Sambil menggunakan kecekapannya dalam latihan gimnastik serta pengetahuan terhadap bina badan, Trish berlatih enam hari seminggu dengan disulami diet ketat. Dia kemudian diterima menjadi penyambut tetamu di sebuah kelab kesihatan sebelum bakatnya ditemui.
Peluang menjadi model serta tuntutan meningkat terhadap bakatnya mempercepatkan langkahnya untuk mengambil keputusan meninggalkan universiti. Keputusan itu turut dibantu dengan tindakan kakitangan universiti itu melancarkan mogok sehingga kelasnya terpaksa dibatalkan untuk tempoh yang lama. Trish bagaimanapun tidak perlu menunggu lama sebelum WWF mula menggamitnya.
Mac 2000 menyaksikan penampilan pertamanya dalam WWE. Bagaimanapun, dia memulakan kerjayanya dengan menjadi pengurus untuk Test and Albert - T&A - sebelum menjadi pengujung tetap gelanggang gusti, bertarung menentang wanita lain seperti Lita dan Molly Holly.
Apapun, apa yang menjadikan Trish berlainan daripada wanita lain ialah dia tidak kelihatan seperti lelaki atau `kuda’. Sebaliknya, dia menampilkan kecantikan semula jadi dengan wajahnya boleh dianggap melebihi paras kecantikan biasa walaupun baki tubuh badannya mempunyai otot sasa. Hakikatnya yang dia berupaya mengekalkan ciri-ciri kewanitaannya dengan sifat fizikal sedemikian dianggap sebagai bonus.
DATA EpG
TRISH STRATUS
NAMA ASAL: Trisha Stratigias
UMUR: 18 Disember 1976
ASAL: Toronto, Ontario, Kanada
GERAKAN PEMUSNAH: Bulldog
KEMUNCAK KERJAYA: Juara wanita
Artikel lain:
|
|